NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Liberalisme ancam akidah umat Islam: Ulama Muda Indonesia



Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

KUALA LUMPUR, 16 Rabiulawal 1440H, Sabtu – Konsep amar makruf dan nahi mungkar bukan sahaja tidak relevan bagi golongan liberal, malah dianggap bertentangan dengan perjuangan liberalisme, kata ulama tersohor Indonesia, Ustaz Bachtiar Nasir.

Beliau berkata, dalam dunia Islam, 'virus' liberalisme berjaya menerap masuk dalam kalangan cendekiawan, yang konon dianggap sebagai 'pembaharu' (mujaddid).

Misalnya di Indonesia, wujud Gerakan Jaringan Islam Liberal yang bertujuan untuk menentang gerakan Islam militan atau Islam fundamental.

"Mereka memiliki pengaruh negatif kerana terlampau banyak penyimpangan yang dibawa sehingga membahayakan agama Islam dan umatnya.

"Mereka menggunakan kaedah hermeneutik dalam mentafsirkan al-Quran. Antaranya membolehkan perkahwinan berbeza agama; penolakan penerapan syariat Islam; serta menentang autoriti ulama (semua dianggap sama) dan masih banyak lagi yang memberi pengaruh negatif bagi agama dan umat Islam.

"Justeru, melihat betapa bahayanya ancaman liberalisme itu, Majlis Ulama Indonesia (MUI) pada tahun 2005 bertindak mengharamkan umat Islam daripada mengikuti fahaman itu," katanya dalam kertas kerja bertajuk Jaringan Islam Liberal di Indonesia: Pengajaran Buat Malaysia.

Untuk makluman, teks ucapan kertas kerja berkenaan dibacakan oleh Ketua Biro Islamiyat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Omar Kassim di Konvensyen Pertahankan Wilayah Islam (Pertiwi) 2018 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Ustaz Bachtiar yang juga Sekretariat Majlis Intelektual dan Ulama Muda Indonesia (MIUMI) berkata, konsep liberalisme pada awalnya berasal dari negara Barat, kemudian berkembang di serata dunia termasuk Islam.

Katanya, mengikut sejarah dan ajarannya, jika ia diserapkan dalam Islam, sudah tentu akan membahayakan akidah dan syariat umat Islam.

"Justeru, umat Islam wajib bersikap eksklusif dalam erti kata lain, haram mencampur adukkan akidah dan ibadah umat Islam dengan penganut agama lain.

"Bagaimanapun bagi masyarakat Islam yang tinggal bersama penganut agama lain, dalam isu sosial yang tidak berkaitan dengan akidah dan ibadah, umat Islam perlu bersikap inklusif bermaksud melakukan pergaulan sosial dengan agama lain selagi ia tidak mendatangkan kemudaratan," katanya.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/11/24/1liberalisme-ancam-akidah-umat-islam-ulama-muda-indonesia/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo