oleh: Oleh: Abdul Muein Abadi
1. Dalam tempoh seminggu, dua pemimpin dari negara kita telah mengadakan pertemuan dengan dua pemimpin yang berpengaruh dalam arena geopolitik kontemporari. Pada 8 November lalu Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menyertai pertemuan tertutup bersama Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, manakala pada 13 November pula Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah bertemu dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
2. Kedua-dua pertemuan ini tentulah memiliki konteks yang tersendiri, dengan impak yang tersendiri. Presiden PAS Tuan Guru Hj Hadi dijemput oleh Presiden Erdogan untuk sesi pertemuan tertutup di Istanbul bersama-sama tujuh pemimpin Kesatuan Ulama Islam Sedunia – termasuklah Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dan Syeikh Dr. Ahmad Ar-Raisuni.
3. Dalam pertemuan ini, terdapat beberapa isu besar yang telah dibincangkan dan antara yang disentuh secara langsung ialah perpecahan dalaman umat Islam yang menjadikan mazhab sebagai alasan untuk saling menumpahkan darah.
4. Secara kebetulan, ada media di Malaysia telah terjatuh dalam ‘jerat’ yang sama ketika melaporkan kecaman Yusuf al-Qaradhawi ke atas Tuan Guru Hj Hadi Awang yang menyertai majlis Taqhrib di Iran dan bertemu Ayatollah Ali Khamenei pada 2016.
5. Tindakan Presiden PAS ini terbukti langkah yang betul pada waktu itu dalam merundingkan pengenduran Perang Syria – bahkan Presiden Erdogan sendiri mengambil langkah yang sama seperti mana Presiden PAS tersebut.
6. Hal ini terbukti menerusi penyertaan beliau dalam rundingan dengan Presiden Iran, Hassan Rohani di Sochi, Rusia pada November 2017 bersama-sama Putin yang membawa kepada Rundingan Keamanan Astana.
7. Jika logik kecaman atas dasar mazhab yang sempit yang dilempar ke atas Presiden PAS pada waktu itu turut diikuti Erdogan, tentulah gencatan senjata dalam Perang Syria yang berjaya dicapai pada hari ini tidak akan terlaksana.
8. Isu kedua yang disentuh ialah kewajiban mempertahankan Baitulmaqdis. Saat ini, Gaza telah kembali diperangi rejim Zionis. Terbaru, pengasas Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Nadir al-Nuri Kamaruzzaman melaporkan mengenai pembunuhan Komander Briged Al-Qassam di Khan Younis, Syeikh Nur Barakah bersama enam orang mujahidin yang telah syahid. Amaran Perang Gaza Keempat juga telah dilaungkan.
9. Situasi ini jelas menghimpit Turki sebagai satu-satunya negara Islam dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk mengimbangi antara Dunia Islam dan juga Eropah.
10. Di Eropah, Presiden Perancis Emmanuel Macron telah membangkitkan kembali gagasan ‘angkatan tentera Eropah’ EuroArmy sewaktu sambutan Peringatan Perang Dunia Pertama. Gagasan ini berpotensi mengasingkan Turki daripada negara jiran Eropahnya. Sedangkan pada waktu ini Turki yang merupakan anggota NATO sekali pun telah dinafikan kelayakan untuk menjadi warga Kesatuan Eropah (EU), apatah lagi sekiranya EuroArmy ini menjadi kenyataan.
11. Pertemuan Tun M dengan Presiden Vladimir Putin di Shangri-La, Singapura pula menyaksikan kebimbangan mengenai isu pesawat pejuang negara Sukhoi SU-30MKM berkaitan masalah alat ganti dan kesukaran berkerjasama dengan Syarikat Russia menjadi fokus utama.
12. Tun M telah memaklumkan mengenai status kerajaan semasa yang dalam proses melantik kontraktor penyelenggaraan yang baharu. Walau bagaimanapun, langkah ini kurang dipersetujui laman Malaysia Military Power (MMP) yang sebaliknya mencadangkan TUDM diberi kepercayaan untuk menguruskan penyelenggaraan SU-30MKM – sama seperti mana dalam kes pesawat Hornet.
13. Langkah sebegini dikatakan mampu mengurangkan risiko ‘ketirisan’ seperti mana yang terjadi dalam kes penyelenggaraan sebelum ini.
14. Meski pun MMP jelas skeptik dengan kualiti dan sikap Rusia dalam isu penyelenggaraan pesawat Sukhoi (juga MIG29N) selama ini, namun mereka turut mengemukakan satu lagi cadangan yang cukup praktikal – kolaborasi dengan India dan China. Perlu diketahui bahawa India sememangnya ada mengadaptasi sistem Rusia dengan modifikasi tersendiri dengan kadar yang lebih murah – yang turut memanfaatkan SU-30MKM kita. Begitu juga China yang pada hari ini telah berjaya menghasilkan pesawat pejuang Generasi Kelima J-20.
15. Begitulah dinamiknya landskap geopolitik hari ini. Semoga kedua-dua Tuan Guru Hj Hadi dan Tun Mahathir berkesempatan untuk menyumbang impak yang berterusan di pentas antarabangsa – dengan pendekatan masing-masing yang tersendiri.
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Sumber: https://www.facebook.com/muein.abadi/posts/10212739225425018
Sumber: https://www.facebook.com/muein.abadi/posts/10212739225425018
No comments
Post a Comment