NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ICERD jalan belakang benar campur tangan luar




oleh: 
Lukman Sheriff Alias

KENAPA semua rakyat Malaysia (bumiputera dan bukan bumiputera) patut menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Kerana ICERD adalah jalan belakang yang membenarkan orang luar campurtangan dalam mengubah dan menentukan kompromi perlembagaan dan sosial kita.

Misalnya kalau ICERD ditandatangani, ia memaksa kita memansuhkan atau meminda Akta UiTM dari objektif asalnya. Negara luar dan orang awam boleh membawa perkara ini kepada badan luar negara untuk meminta kepatuhan terma ICERD. Kerajaan akibat tekanan ini, akhirnya terpaksa akur dan memansuh/meminda atas alasan bercanggah dengan ICERD.

Ini sebenarnya cara dan jalan yang salah. Ia boleh mengundang kemarahan ramai rakyat kerana mereka dikelirukan oleh beberapa NGO atau personaliti Yang mengatakan bahawa ini perlu 2/3 majoriti Parlimen dan persetujuan Raja-Raja. Tetapi hakikatnya tidak.

Pada saya cara ini salah langsung dengan asas perlembagaan. Katalah ICERD diratifikasi dan Akta UiTM perlu dimansuh, kerajaan di bawah Artikel 38(5) mesti berunding dengan Majlis Raja-Raja sebelum memansuhkan atau memindanya. Artikel 38 (5) menyatakan:

"(5) Majlis Raja-Raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153."

Kalau sudah diratifikasikan, alasan yang akan diberi kepada Majlis Raja-Raja hanyalah ia patut dimansuhkan oleh kerana menghormati ICERD. Jadi apa yang hendak dirundingkan lagi? Majlis Raja-Raja terpaksalah akur kepada kepada undang-undang pada masa itu.

Ini sebenarnya bertentangan dengan niat 38(5) dan "defeat the purpose" Artikel 38(5). Majlis Raja-Raja adalah pelindung Artikel 153 dan sebab itu konsultasi terlebih dahulu perlu diadakan. Keadaan ini sepatutnya tidak berlaku. Sebelum ICERD ditandatangani majlis Raja-Raja sepatutnya dibawa berunding. Mereka tidak sepatutnya dibelakangkan dalam perdebatan ini.

Dalam erti kata lain sekiranya ICERD diratifikasikan, ini akan memaksa Sultan dan mereka yang menyokong Akta UiTM tunduk kepada ICERD. Ini sebenarnya cara yang salah dan tidak pernah dibayangkan oleh perlembagaan. Kedaulatan Sultan dan negara telah dikompromikan.

Sama juga dengan sekolah vernakular. Sekolah ini dibuat untuk melindungi "budaya dan adat" hanya dua kaum. Ini sebenarnya diskriminasi kaum kerana banyak lagi kaum yang ada yang mempunyai bahasa sendiri tetapi tidak diberi kedudukan SJK yang sama. Kalau sekolah vernakular mengutamakan sesuatu bangsa, ia juga satu diskriminasi.

Kita tidak mempunyai undang-undang melarang pembelajaran bahasa selain dari BM. Tetapi SJK adalah peruntukan sekolah istimewa oleh kerajaan untuk dua kaum sahaja.

Maka dengan ini jelas ia bercanggah dengan ICERD. Walaupun bukan kompromi perlembagaan, ia adalah kompromi sosial. Apabila ICERD ini diratikasikan, sekolah ini hendaklah dimansuhkan atas alasan kepatuhan ICERD. Isu ini belum diarus perdanakan lagi.

Seperti maklum, walaupun saya adalah penyokong kuat satu sekolah untuk semua, saya rasa menggunakan ICERD adalah cara yang salah sepertimana menghapuskan Akta UiTM. Ini adalah kompromi kita.

Walaupun ramai di antara kedua belah pihak tidak bersetuju dengan satu sama lain, kita sendiri hendaklah menyelesaikannya. Kita mencapai kemuafakatan secara tolak ansur tanpa campurtangan orang asing. Kalau ICERD diratifikasi, ruang kompromi dan tolak ansur ini tidak wujud lagi.

Lukman Sheriff Alias ialah  Pengasas Malaysian Lawyers Circle (MLC)

Sumber: 
https://www.ismaweb.net/2018/11/14/icerd-jalan-belakang-benar-campur-tangan-luar/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo