NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dakwaan pihak kuil tak benar - KPN



Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


DAKWAAN pihak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, yang menyatakan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, cedera akibat dilanggar jentera bomba adalah tidak benar.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu termasuk keterangan daripada pihak bomba yang berada di lokasi kejadian.

“Dakwaan bahawa anggota bomba itu dilanggar jentera bomba tidak benar. Kalau dia bukan dipukul, macam mana boleh cedera sebegitu.


“Siasatan lanjut berhubung dakwaan itu sedang dijalankan selepas menerima laporan dibuat pihak bomba, semalam.

“Sebelum ini, Ketua Pengarah Bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid ada menjelaskan mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Forum Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC): Ke Arah Perkhidmatan Kepolisan Yang Cemerlang di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, Cheras, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya akan memanggil pihak yang membuat dakwaan itu untuk siasatan lanjut.

“Ketika ini, kami masih mengenal pasti identiti individu yang terbabit dalam insiden itu termasuk pihak yang menyebarkan rakaman video berkaitan insiden berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, pihak kuil terbabit mendakwa anggota bomba berkenaan tidak dipukul, namun sebaliknya dilanggar jentera bomba.

Setiausaha pasukan petugas kuil itu, V K Regu memaklumkan terdapat tiga video tular di media sosial menunjukkan jentera bomba berundur secara tiba-tiba, manakala Muhammad Adib berada di belakangnya kenderaan terbabit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo