KUALA LUMPUR, 20 Rabiulawal 1440H, Rabu – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menafikan dakwaan kononnya anggota bomba yang cedera parah dalam kejadian rusuhan di hadapan Kuil Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights awal pagi semalam, akibat dilanggar.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata, dakwaan pihak kuil bahawa mangsa dilanggar adalah tidak benar.
"Kita tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara ini daripada anggota yang berada di lokasi kejadian. Jangan buat kenyataan yang tidak berasas," katanya dalam sidang media di Institut Jantung Negara (IJN), di sini hari ini.
Sebelum ini, Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman mendakwa, anggota bomba yang parah dalam insiden rusuhan di hadapan kuil berkenaan, berpunca daripada kemalangan jalan raya.
Setiausaha Badan Bertindak Kuil, V K Regu berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila jentera JBPM cuba untuk mengundurkan kenderaannya sebelum melanggar mangsa.
Beliau berkata, pihaknya mempunyai video sebagai bukti berhubung kejadian itu namun tidak membuat laporan polis kerana video tersebut telah diberikan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Mengulas mengenai perkara itu, Hamdan berkata, lelaki yang dilihat berada di belakang jentera dalam rakaman video tular bukan Muhammad Adib Mohd Kassim, sebaliknya anggota lain.
"Anggota terbabit adalah anggota dari pasukan penyelamat yang menaiki jentera FRT (jentera pemadam) bernama Mohd Hazim Mohd Rahimi," kata beliau.
Sebelum ini dilaporkan, berlaku satu lagi insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di sini sehingga menyebabkan seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera parah.
Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai mengalami kecederaan patah tulang rusuk serta beberapa kecederaan dalaman.
Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/11/28/bomba-nafi-muhammad-adib-dilanggar-jentera/
No comments
Post a Comment