NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘War of ideas’ agenda halus hegemoni Barat hakis akidah


SHAH ALAM, 8 Safar 1440H, Rabu – Peringatan bahawa 'war of ideas' agenda halus hegemoni Barat dalam menghakis akidah serta syariat Islam, adalah antara sebelas resolusi yang diputuskan dalam seminar Pemikiran Pasca Moden: Pemusnah Keharmonian dan Perpaduan Umat Islam.

Selain itu, falsafah liberalisme dan pascamodenisme melalui konsep ilmu tafsiran sekular dan sistem nilai yang relatif adalah ancaman terkini terhadap akidah dan syariat Islam, juga antara resolusi seminar anjuran Pertubuhan Muafakat Malaysia dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini, semalam.

Resolusi lain yang diputuskan ialah: 

Umat Islam, khususnya ulama dan generasi muda wajib menolak sebarang usaha merosakkan Islam melalui pemikiran liberal dan metod penafsirannya dalam memahami Islam; 

Displin ilmu tauhid, fekah dan tasawuf menurut kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu terus dibudaya, disubur dan diperkasakan dalam institusi sosial dan pendidikan umat Islam sebagai perisai minda dan jiwa dalam menghadapi landaan 'tsunami' falsafah moden Barat; 

Pengajian akidah tauhid yang berpaksikan hak ketuhanan (God-centric), antaranya ilmu Sifat Dua Puluh menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu dijadikan pegangan umat Islam berbanding doktrin Humanisme Barat yang berpaksikan hak asasi manusia (Human-centri) menurut perjuangan sekularis dan liberalis; 

Para pemimpin, teknokrat dan pemegang polisi sosial perlu berperanan mendukung dasar akidah dan bingkai syariat yang sahih seiring dengan tuntutan perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang mendukung pemartabatan Islam sebagai agama negara dan konsep raja berpelembagaan sebagai pemelihara agama menurut kearifan lokal sosial masyarakat Malaysia;

Kedudukan umat Islam di Malaysia, khususnya Melayu dan sensitiviti agama mereka sebagai golongan majoriti perlu dipelihara tanpa menjejaskan hak kebebasan beragama kaum lain menurut Perlembagaan Persekutuan, lantaran ia adalah faktor asas bagi perpaduan kaum dan kestabilan negara; 

Asas persamaan nilai antara agama-agama tidak bercanggah, bahkan selaras dengan syariat Islam seperti anti-LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual) dan larangan meminum arak perlu disuburkan sebagai norma sosial yang menjadi asas keharmonian beragama, integrasi nasional dan peradaban negara; 

Fekah al-Maqasid, al-waqi' dan siyasah al-syar'iyyah yang tidak berlandaskan prinsip ijtihad yang muktabar, bahkan mencenderungi doktrin kebebasan liberalisme, pada hakikatnya adalah 'pemalsuan ilmu' dan 'jenayah akademik' yang tiada sebarang hubung kait dengan konsep keadilan Islam yang bertunjangkan syariat; 

Keghairahan diabolik dalam menilai semula tafsiran fekah klasik atas nama minda tajdid adalah selari dengan aspirasi liberalis dan sekularis yang menolak autoriti ulama, malah dibayangi semangat reformasi Kristian Protestan dan masyarakat Barat yang kecewa dan prejudis terhadap Kristian Katholik; dan 

Golongan ulama dan agamawan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah golongan berautoriti yang layak dirujuk dan dihormati oleh pemerintah dan rakyat dalam menafsirkan agama dan kehidupan bersyariat. 

Resolusi ini telah diserahkan oleh urusetia Muafakat kepada JAIS untuk tindakan selanjutnya.


Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/10/17/war-of-ideas-agenda-halus-hegemoni-barat-hakis-akidah/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo