NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Usah paksa prinsip songsang menjarah undang-undang Islam



oleh: Sharifah Abdul Samad,
Aktivis National Young Women of Change (NOW)

AMAT mengecewakan apabila sejak diangkat menjadi menteri yang menjaga agama di Malaysia, Datuk Mujahid Yusof Rawa mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang mencetuskan polimik perundangan jenayah syariah di negara ini.

Malah, cubaan untuk memasukkan prinsip rahmatan lil alamin oleh kerajaan baharu kini dilihat lebih cenderung kepada mencairkan prinsip Islam itu sendiri.

Meneliti setiap kalimat yang dilontarkannya, Mujahid lebih cenderung menekankan isu 'ruang peribadi' dan 'ruang awam' dalam konteks dosa dan kesalahan. Amat membimbangkan, kerana sehingga menidakkan kuasa kerajaan dalam membanteras kesalahan jenayah syariah sebagaimana yang disebut oleh menteri terbabit:

"Sebagai contoh, pengambilan alkohol adalah satu kesalahan bagi seorang muslim. Tetapi jika anda melakukan kesalahan tersebut di dalam kawasan anda maka sebagai sebahagian daripada kerajaan, saya tidak akan campur tangan."

Kenyataan itu bukan sahaja amat jelas mempamerkan pemikiran sekular liberal yang mengehadkan kuasa kerajaan dalam urusan agama, malah mengecilkan skop pengamalan agama, dan mengagungkan kebebasan manusia yang mengatasi agama yang juga asas pemikiran songsang liberalisme.

Sedangkan nahi mungkar juga adalah tanggungjawab besar pihak berkuasa, khususnya kerajaan sesebuah negara.

Tidak kira perbuatan di ruang peribadi atau awam, ia tetap termaktub di bawah salah satu hukum sama ada wajib, sunat, harus, makruh atau haram. Dan ia menjadi kewajipan kerajaan untuk memastikan penguatkuasaan jenayah syariah ini dilaksana dan bukan mengecilkan lagi bidang kuasa yang memang sudah sangat terhad.

Kenyataan Mujahid berkaitan hukuman sebat dua wanita yang ditangkap melakukan hubungan songsang di Terangganu juga amat mengecewakan. Bagi beliau, hukuman sebat itu adalah perkara yang mengaibkan kerana ditonton oleh umum walaupun hukuman dijalankan di dalam mahkamah tertutup. Dan seharusnya perlu ditegur dahulu dan bukan terus dihukum.

Amatlah jauh masa depan kita untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia, sedangkan hukuman berapa kali sebatan ini pun sudah menjadi perkara yang mengaibkan bagi seorang menteri agama. Sedangkan tertuduh telah mengaku salah dan bersedia menerima hukuman sebat.

Menteri agama juga kelihatan tidak arif di dalam kes sebatan yang berlaku di Terengganu apabila beliau mengatakan bahawa dua pesalah itu tidak diadili dengan baik kerana tidak mendapat peguam dan terus dikenakan hukuman bagi kesalahan pertama.

Tetapi, apa yang sebenarnya berlaku ialah pesalah sendiri memilih untuk dikenakan hukuman dan enggan diwakili peguam. Jelas dilihat bahawa menteri memilih untuk tidak tabayyun, sebaliknya terus menuduh sebatan itu sebagai tidak 'rahmah'.

Islam bukanlah agama yang dahaga untuk menghukum. Amat menekankan zahir dan bukti bagi setiap pendakwaan. Seterusnya apabila terbukti bersalah, hukuman akan dibuat di kawasan umum sebagai pengajaran agar jenayah dapat dicegah dan mendidik masyarakat.

Allah SAW berfirman berkenaan hukuman sebat adalah perlu ditonton oleh umum sebagai pengajaran kepada manusia lain:

"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat setiap seorang daripada keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Allah SAW, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat serta hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan itu oleh sekumpulan daripada orang yang beriman (surah An Nur: 2)

Usahlah terus mencorak undang-undang jenayah Islam di negara ini menurut kehendak manusia dan hak asasi berteraskan liberalisme.

Sedangkan pada masa dahulu di Amerika Syarikat, perkahwinan golongan homoseksual adalah menyalahi undang-undang dan dikutuk oleh rakyat di negaranya.

Namun kini, undang-undang melarang homoseksual itu dianggap lapuk dan tidak lagi relevan hanya semata-mata mencabuli hak kemanusiaan. Itulah kesannya apabila meletakkan hak dan kebebasan kemanusiaan lebih tinggi dari agama itu sendiri.

Adakah kita mahu tanah air kita yang selama ini harmoni kerana berprinsipkan Islam menghadapi nasib buruk yang sama? Usah terus memaksa prinsip songsang liberal ini menjarah undang-undang Islam negara kita dengan bertopengkan kalimah 'rahmatan lil alamin'.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo