JOHARI YAP
16 OKTOBER 2018
“TIDAK mahu ku ingat lagi, Apa yang telah terjadi, Tragedi Oktober, Sesalan aku hanya untukmu sayang, Ampunilah segala dosa-dosaku, Tidak sengaja aku mengasari dirimu, Bagiku kau bukanlah lawanku.”
Mungkin ramai yang tahu itu adalah antara bait-bait lagu Tragedi Oktober yang dijadikan runut bunyi (soundtrack) filem dengan tajuk yang sama pada 1996. Bagaimanapun, artikel ini bukanlah tentang filem atau lagu tersebut mahupun penyanyi yang juga pelakon utama filem Tragedi Oktober itu.
Octoberfest merupakan pesta arak yang pertama kali diadakan di Munich, Jerman pada 12 Oktober 1810 sempena perkahwinan Tengku Mahkota Jerman ketika itu, Putera Ludwig, dengan Puteri Therese von Sachsen-Hildburghausen. Seluruh rakyat Munich dijemput menyertai keraian tersebut yang menyajikan pelbagai jenis minuman beralkohol dan pesta hiburan. Lima hari selepas majlis perkahwinan, telah diadakan pertandingan lumba kuda sebagai penutup keramaian itu.
Pesta yang berasal dari Jerman ini tiada kaitan dengan budaya dan adat kita. Ia tidak juga tercatat dalam sejarah negara sebagai salah satu keraian ketika Melaka dijajah oleh Portugis dan Belanda, mahupun ketika Tanah Melayu belum merdeka di bawah pemerintahan Inggeris. Maka, agak pelik bagi saya untuk kita menerima budaya luar ini setelah 61 tahun sebuah negara Islam merdeka.
Arak ialah minuman yang memabukkan. Dalam bahasa Arab, ia disebut al-khamr, bermaksud menutup. Menutup itu mengambil sifat khamr itu yang menghilangkan kewarasan akal peminum arak kerana mabuk. Arak menjadikan si peminum terlena dan tidak sedarkan diri. Bukan Islam sahaja yang mengharamkan arak; agama lain turut melarang penganutnya meminum arak kerana ia memudaratkan kesihatan dan perlakuan mereka.
Meminum arak membuatkan otak melepaskan dopamin, suatu neurotransmiter yang terbentuk dalam otak dan organ tubuh lain, yang fungsi utamanya adalah menghantar signal ke otak atau rangsangan dari satu saraf ke saraf yang lain. Dopamin juga berperanan dalam mempengaruhi emosi, contohnya berperasaan tenang atau bahagia. Ia juga mengakibatkan perasaan khayal atau mengelamun serta jantung berdegup lebih kencang.
Kerana itulah ramai yang mengambil minuman beralkohol untuk melupakan masalah mereka. Namun, melupakan masalah bukanlah penyelesaian kerana masalah itu tetap wujud. Masalah tidak akan selesai dengan hanya melupakannya seketika. Malah, masalah lain pula bakal timbul akibat mabuk.
Alkohol mempunyai kesan serta-merta kerana ia terus bertindak ke atas sel-sel otak dengan merangsang otak sebelum mengganggu fungsinya hingga menyebabkan gangguan kepada penglihatan, hilang ingatan dan seumpamanya. Pengambilan dua hingga tiga gelas alkohol dalam masa satu jam sudah cukup untuk menjadikan seseorang tidak stabil dan menyebabkan halusinasi.
Di samping itu, ia juga boleh menyebabkan sakit jantung; radang paru-paru; batuk kering; barah mulut dan kerongkong; radang, kerosakan dan barah hati; serta melemahkan sistem pertahanan badan. Semua ini boleh didapati daripada jurnal-jurnal perubatan, hasil kajian pengamal perubatan serta saintis Barat.
Islam mengharamkan arak kerana ia boleh menjadikan manusia rosak akal dan hilang maruah diri. Saya tidak pernah dengar lagi orang ketika mabuk melakukan kerja-kerja kebajikan seperti bersedekah atau membantu orang susah. Yang biasa kita dengar, pemandu mabuk mengakibatkan kemalangan jalan raya yang kerap membawa kepada kehilangan nyawa sama ada dirinya sendiri sahaja mahupun orang lain.
Pemabuk juga biasanya akan mengeluarkan kata-kata yang sukar difahami juga menyebut perkara yang bukan-bukan, serta berkelakuan kasar. Maka, tidak kurang kita dengar mereka yang mabuk terlibat dalam pergaduhan.
Rasulullah SAW melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak; (1) yang memerasnya, (2) yang minta diperaskannya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya.” (Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Hakim dan Ibnu Majah)
Kesemua agama besar melarang pengambilan arak. Kajian saintifik juga menunjukkan arak boleh menyebabkan penyakit-penyakit malignan. Maka, usahlah diraikan arak, atau meraikan sesuatu dengan arak. Kita juga bimbang laknat ALLAH SWT dan tidak mahu berlakunya ‘Tragedi Oktober’ di negara kita.
* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/tragedi-oktober-usah-meraikan-arak-1.892297
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/tragedi-oktober-usah-meraikan-arak-1.892297
No comments
Post a Comment