Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah hari ini selamat ditabal sebagai Sultan Kedah Ke-29 dalam satu istiadat pertabalan yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, Alor Setar, pada Isnin.
Sebaik selesai ditabalkan, baginda Sultan kini bergelar Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Istiadat Pertabalan baginda itu juga berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Kedah selepas kali terakhir istiadat yang sama diadakan pada 1959, iaitu ketika Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ditabalkan sebagai Sultan Kedah Ke-28.
Berangkat hadir menyaksikan istiadat penuh gilang-gemilang itu adalah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan isteri Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan isteri Tok Puan Norzieta Zakaria; Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan isteri Puan Seri Datuk Nora Abdullah; Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Turut berangkat wakil peribadi Sultan Brunei, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah Muizzaddin Wadaullah dan Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman; Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff; Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob; Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Norlidah R M Jasni; Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Ragad Kurdi Taib; Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah; Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin; Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa; Tunku Besar Seri Menanti Negeri Sembilan Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz; Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Hadir sama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Istiadat bermula dengan keberangkatan masuk Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha ke Balairung Seri diiringi oleh pegawai-pegawai yang membawa Cogan Agama, Cogan Alam, Cokmar, Pedang, Tombak dan Lembing, Juru-juru iring tentera dan polis didahului oleh Datuk Paduka Seri Maharajalela, Ketua Istiadat Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahbuddin.
Kemudiannya bacaan selawat dilafazkan sebaik baginda berdua berangkat masuk ke Balairung Seri yang kemudiannya nobat turut dipalukan.
Baginda berdua selepas itu berangkat bersemayam di atas singgahsana dengan pembawa-pembawa alat kebesaran Diraja serta juru-juru iring mengambil tempat.
Datuk Paduka Ketua Istiadat kemudiannya mengadap baginda dan memohon limpah perkenan untuk memulakan istiadat dan Datuk-Datuk Bergelar membawa masuk peralatan pertabalan dan diletak di meja khas.
Peralatan pertabalan itu terdiri daripada al-Quran, Watikah Kebawah DYMM Tuanku Sultan, Surat Perisytiharan, Surat Sumpah DiRaja, Keris Kerajaan, Puan Sirih, Tengkolok Emas, Kendi Emas, Benian (sebuah peti yang mengandungi barang-barang berharga yang melambangkan kekuasaan dan kekayaan Sultan Kedah) dan Bekas Perasap Kemeyan.
Mufti Kedah Datuk Sheikh Fadzil Awang diiringi Datuk Setia Jaya dan Datuk Murshid DiRaja selepas itu memimpin bacaan doa serta membaca lapan kalimah ayat dari Surah Al-Imran, Ayat 26.
Ketua Istiadat mengadap baginda Sultan dan mempersembahkan al-Quran dan baginda menerima, mengucup dan meletakkan al-Quran itu di tempat khas.
Mukhriz selepas itu membacakan Watikah Perisytiharan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah dan Datuk Paduka Ketua Istiadat mengadap baginda untuk mempersembahkan skrol Watikah Sumpah Jawatan untuk dibaca baginda Sultan.
Selesai pembacaan watikah itu, Datuk Paduka Ketua Istiadat mengadap baginda untuk mempersembahkan Keris Kerajaan dengan lafaz “Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun, Sembah Patik Pohon Di Ampun, Patik menyembahkan Keris Kerajaan sebagai lambang kebesaran kedaulatan dan kekuasaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku“.
Sultan Sallehuddin kemudiannya mengambil Keris Kerajaan, menghunus serta mengucup dan meletaknya di meja khas.
Datuk Paduka Ketua Istiadat selepas itu membuat pengumuman “Dengan Izin Allah Subhanahu Wa Ta’ala Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah ditabal sebagai Sultan Negeri Kedah Yang Ke-29” Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang disusuli laungan, “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali diikuti oleh para hadirin yang hadir.
Nobat kemudiannya dipalu disusuli tembakan meriam 21 das dan Payung Istiadat dikembangkan dan setelah paluan nobat itu, lagu ‘Allah Selamat Sultan’ dimainkan.
Sebaik Sultan Sallehuddin berangkat bersemayam semula di atas singgahsana, Raja Muda Kedah mempersembahkan ucapan tahniah bagi mewakili kerabat Diraja dan selepas itu Mukhriz mengambil giliran memberikan ucapan tahniah bagi mewakili kerajaan dan rakyat.
Sebaik tamat, Sheikh Fadzil sekali lagi memimpin bacaan doa dan selepas itu Datuk Paduka Ketua Istiadat mengadap baginda dan mempersembah maklum memohon limpah perkenan untuk menamatkan istiadat.
Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 itu membabitkan beberapa istiadat iaitu bermula dengan Istiadat Letak Kerja pada 20 Sept lepas diikuti Istiadat Ziarah Makam (5 Okt), Istiadat Siram Tabal (14 Oktober), Istiadat Perarakan dan Perbarisan Kehormatan (20 Okt) dan Istiadat Pertabalan pada hari ini.
Pada 12 September 2017, baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat sehari sebelumnya.
Sultan Sallehuddin diputerakan pada 30 April 1942 dan mendirikan rumah tangga dengan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha serta dikurniakan dua putera, Tengku Sarafudin Badlishah dan Tunku Shazuddin Ariff.
Baginda adalah anakanda kesembilan daripada 14 putera dan puteri Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang memerintah Kedah dari 1943 hingga 1958.
Pertabalan ini adalah istimewa kerana kali terakhir istiadat ini berlangsung adalah pada 59 tahun yang lalu ketika pertabalan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ketika itu. - BERNAMA
No comments
Post a Comment