NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Polis menangis lihat kanak-kanak pelarian bertarung nyawa selepas bot karam



MUGLA (TURKI), 14 Safar 1440H, Selasa – Seorang anggota polis Turki memerhati dengan linangan air mata, bagaimana seorang kanak-kanak pelarian yang didukungnya selepas lemas akibat bot dinaiki karam di Laut Aegean di sini, bertarung nyawa untuk hidup.

Sekurang-kurangnya, dua kanak-kanak lemas selepas bot membawa 34 pendatang asing karam kira-kira jam 5.47 pagi semalam di wilayah Bodrum, kata pengawal pantai.

Anggota polis, Harun Kilicoglu tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan dan terus mendukung seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun, sambil berlari ke arah ambulans kira-kira 100 meter dari situ.

Paramedik kemudian memberi bantuan pernafasan, sambil Kilicoglu memerhati dengan perasaan penuh emosi dan linangan air mata.

"Harapan menjelma di dalam hati saya apabila paramedik berkata kanak-kanak itu mungkin selamat. Saya gembira mendengarnya. Saya berharap dia hidup. Saya berharap dapat memegang tangannya esok. Saya merasakan sama seperti yang dirasakan seorang bapa apabila mereka mendukung kanak-kanak.

"Saya sendiri mempunyai dua anak. Pertama, saya memikirkan anak-anak saya. Kemudian saya memikirkan kanak-kanak di sekeliling saya. Saya cuma memikirkan untuk menyelamatkan nyawanya," katanya.

Kanak-kanak itu bagaimanapun, disahkan meninggal dunia di hospital.

Turki menjadi laluan utama pelarian, terutama dari Syria, yang cuba menyeberangi ke Eropah, khususnya sejak perang saudara di Syria tercetus pada 2011. – Agensi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo