KOTA BHARU: Kerajaan negeri menafikan dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bahawa permohonan bantuan pinjaman pendahuluan yang dikemukakan mereka adalah untuk membayar gaji kakitangan awam.
Sebaliknya, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, menjelaskan pinjaman pendahuluan yang dimohon itu sebagai sandaran seandainya kerajaan negeri tidak mencapai bajet dari segi pendapatan negeri pada akhir tahun ini.
Selain itu, katanya, pinjaman pendahuluan itu juga dijadikan sandaran kerana Kerajaan Persekutuan masih belum menjelaskan beberapa bayaran kepada kerajaan negeri seperti premium tanah Institut Pendidikan Guru (IPG) Pengkalan Chepa berjumlah RM113 juta, premium tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berjumlah RM144 juta serta hasil tanah (RM18 juta).
“Menteri Kewangan mungkin salah faham dengan semua kerajaan negeri termasuk Kelantan yang memohon dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan pendahuluan kerana kita bimbang jika akhir tahun ini kita tidak dapat memenuhi komitmen dalam soal pemberian termasuk kebajikan, bukannya bayaran gaji.
“Bayar gaji sudah cukup dengan jumlah RM300 juta kerana pendapatan daripada hasil tanah dan kayu sudah melebihi RM300 juta. Bermakna soal gaji tidak berbangkit untuk memohon pinjaman pendahuluan.
“Kita juga mempunyai sandaran memohon pendahuluan kerana Kerajaan Persekutuan masih lagi belum membayar beberapa bayaran yang perlu dibayar kepada kerajaan negeri pada tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.
Guan Eng hari ini tampil mengemukakan bukti dokumen bagi mengesahkan kerajaan Kelantan memohon bantuan pinjaman pendahuluan untuk membayar gaji kakitangan awam.
Katanya, daripada bantuan pinjaman pendahuluan itu, kerajaan Kelantan memohon RM24.5 juta untuk pembayaran gaji kakitangan termasuk sambilan pada tahun ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, permohonan pinjaman pendahuluan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan adalah perkara biasa dilakukan sejak Barisan Nasional (BN) memerintah lagi.
“Kita akan mohon supaya kita dapat membuat penyelarasan antara pendahuluan dengan bayaran wajib yang perlu dijelaskan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
No comments
Post a Comment