NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Oktoberfest: Kerajaan PH ‘belai’ golongan liberal



BANGI, 2 Safar 1440H, Khamis – Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman menyelar tindakan kerajaan yang masih membenarkan pesta menjulang budaya meminum arak – 'Oktoberfest 2018' – diadakan di ibu negara, hari ini.

Beliau turut kesal dengan sikap mengambil mudah Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad yang memberikan 'lampu hijau' terhadap penganjuran pesta itu dengan hanya mengenakan syarat kepada penganjur, untuk membuat permohonan permit dan mematuhi semua garis panduan ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Keadaan itu, katanya, jelas menunjukkan kerajaan masih mahu membelai kaum sekular liberal yang membawa budaya tidak sihat ke Malaysia.

"Saya melihat sejak Mei 2018 hingga kini, kerajaan PH kelihatan amat lunak dan mesra dengan kehendak minoriti liberal yang mahukan aktiviti bebas tetapi merosakkan, menjalar ke dalam ruang sosial negara kita. Pada masa sama, mengetepikan kepentingan dan hak rakyat majoriti yang berpaksikan moral, kehidupan segar dan sihat.

"Selain gagal melunaskan janji membaiki ekonomi negara, malah semakin menjadikannya kian parah, mengakibatkan kehilangan kerja bagi 20,000 pekerja tempatan. Kini, kerajaan kelihatan ghairah meraikan budaya liberal seumpama Oktoberfest ini. 

"Banyak sudah paparan berita kematian akibat arak, kemalangan dan keganasan akibat arak disiarkan, namun kerajaan masih memekakkan diri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Gerakan Srikandi Malaysia (GSIM) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), semalam menghantar memorandum mendesak Kementerian Wilayah Persekutuan dan pihak berkenaan membatalkan Oktoberfest 2018 yang dijadualkan berlangsung di Brotzeit, Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, malam ini.

Penaja utama GSIM, Wan Asshima Kamaruddin berkata, hasil perbincangan bersama kementerian membawa kata persetujuan untuk menghantar pihak yang sepatutnya membuat pemantauan pesta tersebut.

Beliau berharap kementerian itu memantau setiap aktiviti tidak sihat di ibu kota serta membersihkan anasir negatif yang memburukkan imej negara Islam.

"Oktoberfest patut diperangi sepertimana memerangi gejala LGBT di Malaysia. Kami mahu Kementerian Wilayah Persekutuan memantau setiap aktiviti yang tidak sihat," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo