BANGI, 25 Muharram 1440H, Jumaat – Derhaka dan ingkar kepada Allah Subhanahu Wa Taala bukan hanya dengan cara menyembah berhala, sebaliknya ia termasuk tidak yakin kepada hukum dan janji Allah mengenai Hari Kiamat, dosa dan pahala.
Ia ditambah pula dengan keadaan umat Islam sendiri hari ini yang sesetengahnya tidak menghiraukan amaran Nabi dan Rasul, bahkan berterusan melakukan kerosakan dan kezaliman sebagaimana firman Allah menerusi ayat 59 surah Al-Qasas yang bermaksud:
"Dan tidaklah menjadi kebiasaan Kami membinasakan mana-mana negeri melainkan setelah penduduknya berlaku zalim".
Ayat ini menjelaskan bahawa kita sentiasa dalam pemerhatian Allah Subhanahu Wa Taala yang mencipta kita, kata khutbah Jumaat hari ini yang diterbitkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
"Apa sahaja musibah yang menimpa manusia pasti ada sebabnya sama ada disedari atau tidak disedari. Yang pastinya tiada kebinasaan yang ditimpakan melainkan kerana kezaliman manusia itu sendiri," kata JAIS.
JAIS berkata, kezaliman yang dimaksudkan ialah syirik kepada Allah dan segala bentuk maksiat serta dosa yang dilakukan oleh manusia, termasuk meninggalkan solat, zina, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), minum arak, berjudi, mendedahkan aurat, memakan riba, dan sebagainya.
Khutbah Jumaat juga melahirkan kesedihan kerana sebahagian masyarakat kita sanggup mempertahankan bahawa penyalahgunaan dadah, riba, zina secara rela dan gejala LGBT hanyalah maksiat dan dosa yang bersifat hak peribadi, dan tidak boleh diambil tindakan undang-undang ke atas pelakunya.
JAIS berkata, al-Quran telah memperingatkan kisah umat terdahulu yang dibinasakan kerana melakukan maksiat, kezaliman dan penderhakaan terhadap Allah Subhanahu Wa Taala sepertimana kisah kaum Nabi Lut yang mengamalkan gaya hidup songsang yang ditimpakan dengan azab sebagaimana dalam surah Hud ayat 82-83 yang bermaksud:
"Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan Kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu."
Khutbah Jumaat juga memetik kisah Firaun yang sombong dan angkuh mengaku sebagai Tuhan lalu Allah Subhanahu Wa Taala tenggelamkannya bersama tentera-tenteranya di dalam laut.
"Marilah kita tinggalkan dosa dan maksiat yang boleh mengundang bala dan bencana. Jangan kita tunggu sehingga bala melanda ke atas kita, barulah kita insaf dan menyesal. Ini kerana apabila dosa dan maksiat berleluasa maka ia akan mengundang bala dan bencana daripada Allah Subhanahu Wa Taala," kata JAIS.
Khutbah Jumaat turut memetik hadis riwayat al-Bukhari bahawa Zainab binti Jahsyi radhiallahu anha bertanya kepada Rasulullah dengan berkata:
"Wahai Rasulullah, apakah kita akan binasa sedangkan dalam kalangan kami ada orang-orang yang soleh?". Baginda menjawab: "Ya,benar jika keburukan telah bermaharajalela".
Sehubungan itu, umat Islam diminta menjauhi dan bersama-sama membanteras gejala maksiat yang boleh merosakkan ummah dan negara serta mengundang bala daripada Allah Subhanahu Wa Taala.
No comments
Post a Comment