Mukadimah
Pada 16 hingga 19 Oktober 2018 yang lalu bersamaan 7 hingga 9 Safar 1440 H kami dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah dijemput untuk menghadiri Persidangan Fatwa Antarabangsa kali ke- 4 yang bertempat di Hotel Al Masah, Kaherah, Mesir. Persidangan yang dianjurkan oleh pihak ''Sekretariat Umum Badan-badan Fatwa Berautoriti Sedunia''[1] pada tahun ini menetapkan topik perbincangan di bawah tajuk ''Tajdid Dalam Fatwa: Antara Teori dan Praktikal''.
Kami sempat mengikuti pembentangan-pembentangan yang disampaikan oleh para tokoh dan ilmuan di dalam persidangan ini, dan kami mendapat beberapa maklumat baharu yang boleh digarap dan diaplikasikan dalam institusi kefatwaan di Malaysia, khususnya Wilayah Persekutuan.
Justeru, dalam Bayan Linnas edisi kali ini kami akan mengupas secara lebih lanjut berkenaan perbahasan konsep tajdid dalam fatwa ini yang kami tajukkan ia dengan Tajdid Dalam Fatwa: Antara Teori dan Praktikal.
Pengenalan Fatwa
Kepentingan fatwa dalam melayari kehidupan ini jelas terbukti. Kewujudan fatwa membolehkan perlaksanaan hukum-hukum syarak ditegakkan berlandaskan kaedah-kaedah syarak.
Fatwa yang benar dan tepat dapat menjamin perlaksanaan atau perjalanan syariat islamiah. Justeru, fatwa memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan undang-undang Islam atau hukum syarak. Dengan kedudukannya itu, institusi fatwa diberikan perhatian yang utama oleh dunia Islam. Ini terbukti dengan wujudnya Darul Ifta' atau nama yang lain seperti Idarah al-Ifta' (Jabatan Fatwa) yang mempunyai fungsi yang sama, hampir di seluruh Negara Islam.
Al-Quran dan Al-Sunnah yang menjadi sumber utama dalam syariah Islam tidak mungkin difahami oleh semua golongan muslim kecuali mereka yang mengkaji secara mendalam tentang bidang dan ilmu agama. Justeru, para Ulama memainkan peranan yang amat penting dalam merealisasikan tuntutan agama bagi memberi kefahaman yang jelas dan benar melalui pengajaran, nasihat, tunjuk ajar, dan juga fatwa.
Memberikan fatwa merupakan tugas yang mulia dan agung, tetapi mempunyai risiko yang tinggi. Hal ini kerana, seorang mufti seperti mana pendapat Imam al-Syathibi adalah menempati kedudukan Nabi Muhammad S.A.W sebagai pengganti dan pewaris baginda dalam menyampaikan ajaran Allah, mengajar, memberi petunjuk kepada manusia ke arah jalan yang benar serta memberi peringatan kepada mereka akan ancaman seksa bagi yang menyeleweng. Seorang mufti di samping berkewajipan menyampaikan segala hukum Allah yang sedia ada, mengkaji dan menggali ketentuan-ketentuan hukum bagi permasalahan dan kemusykilan baharu berdasarkan kaedah-kaedah syariat Islam dalam kerangka ijtihad. Pada posisi inilah seorang mufti menempati kedudukan Rasulullah S.A.W yang wajib diikuti dan dipatuhi fatwanya. Inilah makna khilafah yang sebenar.
Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menganggap bahawa seorang mufti adalah sebagai pemberi khabar tentang ketentuan hukum Allah SWT dalam satu-satu perkara melalui ijtihad dan fatwanya. Dalam mukadimah kitab beliau I'laam al Muwaqqi'een beliau berkata: "Apabila tandatangan seorang raja dan persetujuannya tentang sesuatu memiliki keistimewaan dan kemuliaan yang tidak dinafikan, apatah lagi tandatangan dan persetujuan Rabb al-'Alamin, penguasa langit dan bumi. Rujuk I'laam al-Muwaqqi'een, Ibn al-Qayyim (1/10-11).
Fatwa Dari Sudut Bahasa Dan Istilah
Definisi Fatwa Dari Segi Bahasa
Memandangkan perkataan 'fatwa' berasal daripada bahasa Arab, sudah tentu rujukan makna dan maksudnya dipetik daripada buku-buku bahasa Arab yang muktabar. Rujukan yang dilakukan oleh penulis mendapati bahawa perkataan fatwa disebut dalam tiga sebutan, iaitu fatwa, futya, dan futwa yang memberi maksud:
Penjelasan tentang sebarang perkara oleh seseorang yang faqih.
Penerangan berkenaan perkara yang mempunyai kemusykilan dan kesamaran tentang hukum oleh seorang faqih.
Memberi jawapan bagi sesuatu permasalahan oleh seorang faqih.
Asal sebutan-sebutan ini adalah dari kalimah 'fata' yang bermaksud seorang pemuda yang sihat, cergas, dan gagah. Hubungkaitnya dengan fatwa pula ialah apabila seseorang mufti mengeluarkan fatwa terhadap perkara yang menjadi kesamaran, lantaran itu fatwanya menjadikan sesuatu hukum tersebut lebih kuat dan kukuh.
Ia juga dikatakan berasal daripada perkataan 'fata' iaitu seorang lelaki yang berusia muda. Perkaitannya juga jelas, seseorang mufti apabila mengeluarkan fatwa tentang sesuatu permasalahan bermakna dia memperbaharui hukum tersebut.
Lantaran itu, perkataan futya dan fatwa mempunyai maksud yang sama dengan salah satunya digunakan di tempat yang berbeza. Kedua-duanya juga merupakan kata nama (isim).
Kata Ibn Manzhur: "Perkataan fatwa lebih banyak digunakan berbanding futya kerana ia sesuai untuk menjadi masdar iaitu kata nama. Seterusnya, kedua-dua perkataan ini iaitu futya dan fatwa digunakan di tempat al-ifta' yang bermaksud satu perbuatan menetapkan fatwa tentang sesuatu hukum atau kepentingan hukum yang dikeluarkan oleh seorang faqih.
Definisi Fatwa Dari Segi Istilah
Oleh kerana fatwa dibahaskan di dalam kitab-kitab usul fikah sebagai salah satu cara mengeluarkan hukum secara mendalam, justeru para ulama telah mendefinisikan fatwa seperti berikut:
Kata Al-Imam Al-Qarafi (684 h.) fatwa ialah mengkhabarkan hukum Allah sama ada pada yang mesti ataupun harus. Rujuk Al-Furuq, alQarafi (4/53).
Kata Al-Jurjani (816 ) fatwa adalah: Menjelaskan hukum bagi suatu permasalahan.
Syeikh al-Qunawi al-Hanafi (978 h.) mengatakan bahawa fatwa adalah menyebutkan hukum perkara yang ditanyakan kepada penyoal. Rujuk Anis al-Fuqaha (1/319).
Kata Al-Imam al-Munawi (1031 h.) fatwa adalah jawapan dari seorang mufti. Rujuk Al Ta'arif Lil Munawi (hlm. 550).
Kata Al-Imam al-Buhuti (1051 h.): Fatwa adalah menjelaskan hukum syarak kepada sesiapa yang bertanya tentangnya. Rujuk Syarah Muntaha al Iradaat, Mansur bin Yunus al-Buhuti (3/483).
Al-Syaukani (1250 h.) mengatakan bahawa fatwa adalah hasil daripada ijtihad.
Kata al-Syeikh Muhammad Sulaiman al-Asyqar (1430 h.): Fatwa adalah memberi perkhabaran akan hukum Allah daripada dalil syarak kepada sesiapa yang bertanya tentang perkara tersebut disebabkan berlakunya sesuatu kejadian
Wahbah al-Zuhaili (1436 h.) mengatakan bahawa fatwa adalah jawapan yang diberikan oleh seorang mufti terhadap sesuatu perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya.
Abdullah Abdul Muhsin al-Turki mendefinisikan fatwa sebagai suatu perkhabaran dari seorang mufti sebagai jawapan kepada soalan atau penjelasan bagi hukum sekalipun ia bukan merupakan soalan yang khas. Rujuk Usul Mazhab al-Imam Ahmad, Muassasah al- Risalah.
Muhammad Husin al-Jizani pula mendefinisikan fatwa sebagai penjelasan hukum syarak. Rujuk Ma'alim Usul al-Fiqh 'Inda Ahli al-Sunnah.
Sementara itu ulama fikah pula telah mendefinisikan fatwa dengan pelbagai takrif antaranya:
Menerangkan hukum sesuatu permasalahan.
Menjawab segala kemusykilan baik dari sudut syarak atau undang-undang. Kedua takrifan di atas merupakan pendapat mazhab Hanafi.
Mengkhabarkan hukum syarak tanpa sebarang kemestian untuk diikuti. Ini adalah pendapat ulama Maliki.
Memberikan penjelasan hukum syarak bagi sesuatu permasalahan sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya, baik secara individu mahupun secara berjamaah.
Tarjih
Setelah meneliti kesemua takrifan yang dikemukakan, penulis berpendapat bahawa terdapat titik persamaan di antara kesemua takrif adalah: Menjawab, menerangkan, menjelaskan, atau mengkhabarkan hukum.
Pengenalan Tajdid Dalam Fatwa
Perkataan tajdid ini tidaklah asing dalam penggunaan syarak. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Ų„ِŁَّ Ų§ŁŁَّŁَ ŁَŲØْŲ¹َŲ«ُ ŁِŁَŲ°ِŁِ Ų§ŁŲ£ُŁ
َّŲ©ِ Ų¹َŁَŁ Ų±َŲ£ْŲ³ِ ŁُŁِّ Ł
ِŲ§Ų¦َŲ©ِ Ų³َŁَŲ©ٍ Ł
َŁْ ŁُŲ¬َŲÆِّŲÆُ ŁَŁَŲ§ ŲÆِŁŁَŁَŲ§
Maksudnya: Sesungguhnya Allah akan membangkitkan buat umat ini pada setiap permulaan seratus tahun itu mereka yang akan mentajdidkan agama buat mereka. - Riwayat Abu Dawud (4291)
Hadis di atas secara umumnya menyatakan bahawa akan muncul pada setiap permulaan seratus tahun mereka yang akan mentajdidkan urusan agama bagi umat Islam. Nas nabawi menggunakan perkataan Ł
َŁْ yang merupakan di antara lafaz mutlak. Ini menjadikan bahawa, mujaddid (tokoh pembaharuan) itu tidak semestinya bersifat individu semata-mata, dan boleh jadi ianya merupakan sekelompok dari kalangan para ulama.
Imam Al-Zahabi (w. 748 h.) apabila mengulas hadis ini beliau berkata: Pendapat yang aku pegang dari hadis ini adalah, lafaz Ł
َŁْ ŁŲ¬َŲÆِŲÆُ itu merujuk kepada jamak (sekumpulan manusia) bukannya individu. Rujuk Tarikh Al-Islam, Al-Zahabi (23/180).
Ucapan ini juga senada dengan apa yang disebutkan oleh Imam Ibn Kathir (w. 774 h.) yang menyatakan: Yang sahihnya adalah, hadis ini meliputi setiap individu dari kalangan para ulama dalam setiap zaman, dari kalangan mereka yang menjalankan fardu kifayah dalam usaha menyampaikan ilmu daripada kumpulan salaf yang mereka temui, kepada kumpulan khalaf selepas mereka. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh sebuah hadis yang datang dari jalan yang mursal dan juga jalan yang tidak mursal:
ŁَŲْŁ
ِŁُ ŁَŲ°َŲ§ Ų§ŁŲ¹ِŁŁ
َ Ł
ِŁ ŁُŁِ Ų®ŁَŁٍ Ų¹ُŲÆŁŁŁ ُ، ŁŁŁŁŁَ Ų¹ŁْŁ ŲŖŲَŲ±ŁŁَ Ų§ŁŲŗَŲ§ŁŁŁَ ŁŲ§ŁŲŖِŲَŲ§Łَ Ų§ŁŁ
ُŲØŲ·ِŁŁŁَ
Maksudnya: Akan memikul ilmu ini dari setiap generasi itu golongan yang adil dari kalangan mereka. Mereka akan menafikan darinya (ilmu) penyelewengan kelompok yang melampau, serta serangan kelompok penyerang. - Riwayat Al-Baihaqi
Kemudian kata Ibn Kathir lagi: Dan hal ini wujud Alhamdulillah sehinggalah ke zaman kita ini. Rujuk Al-Bidayah wal-Nihayah (6/256).
Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani (w. 852 h.) pula dalam mengulas hadis ini beliau berkata: Tidaklah menjadu satu kemestian bahawa pada setiap permulaan seratus tahun itu terdapat seorang individu sahaja. Bahkan keadaan padanya adalah seperti yang disebutkan kepada sekumpulan manusia (iaitu boleh jadi jumlahnya ramai). Sesungguhnya terkumpulnya sifat-sifat yang perlu dalam mentajdidkannya (umat) tidaklah terbatas pada satu jenis dari jenis-jenis kebaikan. Demikian juga tidak menjadi kemestian semua ciri-ciri kebaikan itu terkumpul pada seorang individu sahaja. Lihat Fath al-Bari Syarah Sahih al Bukhari, Ibn Hajar (13/295).
Oleh yang demikian, kami merumuskan berkenaan isu tajdid dalam fatwa ini dengan beberapa kenyataan berikut:
Perlunya institusi fatwa itu bergerak secara kolektif dalam erti kata sebarang fatwa yang ingin dikeluarkan adalah hasil dari perolehan maklumat terhadap sesuatu permasalahan dari golongan yang pakar dan berkelayakan.
Fatwa yang dihasilkan perlulah bersifat membumi iaitu sesuai dengan realiti setempat dan juga zaman. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebut:
ŲŖŲŗŁŲ±ُّ Ų§ŁŲ£ŲŁŲ§Ł
ِ ŲØŲŖŲŗŁŲ±ِّ Ų§ŁŲ£Ų²Ł
Ų§Ł
Maksudnya: Berubahnya hukum-hakam dengan berubahnya masa dan ketika.
Atas asas inilah Imam Al-Syafi'e Rahimahullah terkenal memiliki dua pendapat yang disebut sebagai Al-Qaul Al-Qadim (pendapat lama, iaitu semasa berada di Iraq) dan juga Al-Qaul Al Jadid (pendapat baharu iaitu semasa berada di Mesir).
Keperluan bagi seseorang yang ingin berfatwa untuk memahami isu dan permasalahan yang bersifat tsabit atau tsawabit (tetap dan tidak boleh berubah) serta permasalahan yang bersifat al-mutaghayyirat (boleh berubah).
Kesilapan dalam memakaikan hukum mutaghayyirat kepada hukum tsawabit pastilah akan menyebabkan kejumudan berlaku dalam pengamalan beragama.
Tajdid dalam berfatwa bukanlah bermakna menyelisihi apa yang telah dilakukan oleh generasi terdahulu dari kalangan para ulama dan fuqaha', namun ia adalah proses penyegaran dan pengembalian agama kepada prinsip yang asal dengan meraikan keadaan setempat, masa dan ketika, serta adat yang tidak bercanggah dengan syara'.
Kepentingan menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kefatwaan seperti ilmu maqasid syara', fiqh al-ma'al (melihat kepada natijah atau kesan sesuatu), fiqh al-ta'ayush (kefahaman dalam proses interaksi dengan masyarakat majmuk), fiqh al-tawazun (timbangtara antara maslahah dan mafsadah), fiqh al-awlawiyyat (menilai keutamaan sesuatu sebelum pengeluaran fatwa tertentu), dan selainnya seperti yang dapat dilihat dalam kitab-kitab yang menceritakan soal kefatwaan.
Resolusi Persidangan
Berikut merupakan beberapa resolusi yang diperoleh dari persidangan bertajuk ''Tajdid Dalam Fatwa: Antara Teori dan Praktikal'' tersebut:
Pertama: Para peserta persidangan menzahirkan penghargaan ke atas kesungguhan pihak penganjur dalam usaha melakukan pembaharuan terhadap penyampaian agama, khususnya dalam ruang lingkup kefatwaan. Begitu juga memuji langkah penganjur dalam menghimpunkan pendapatpendapat mereka yang terlibat dalam bidang kefatwaan akan keperluan tajdid dan juga kepentingannya.
Kedua: Persidangan menegaskan bahawa proses tajdid yang tepat adalah jalan yang paling berkesan dalam membantah dakyah-dakyah kelompok pelampau dari segenap lapisan.[2]
Ketiga: Persidangan menegaskan bahawa jawapan ke atas persoalan-persoalan dan permasalahan kontemporari merupakan suatu bahagian yang tidak terpisah dari proses tajdid yang tidak boleh ditangguhkan. Sekiranya tidak, nescaya ia termasuk dalam perbuatan melewatkan penjelasan dari waktu yang diperlukan.[3]
Keempat: Penegasan ke atas wajibnya menyebarkan tsaqafah tajdid. Bertitik tolak dari proses tajdid itu merupakan suatu sistem yang lengkap yang meliputi ruang lingkup kefatwaan dan juga agama serta tidak terpisah dari ruang lingkup kehidupan individu dan masyarakat yang lain. Oleh yang demikian, persidangan menyeru kepada semua supaya membina apa yang kita namakan sebagai ''tajdid umum''.[4]
Kelima: Usaha yang berterusan ke arah menggerakkan kesungguhan pihak ''Sekretariat Umum Badan-badan Fatwa Berautoriti Sedunia'', dan kami khususkan antaranya adalah mengaktifkan perjanjian antarabangsa bagi isu-isu kefatwaan, sebagai langkah untuk keluar dari keadaan kemunduran yang dihadapi oleh organisasi kefatwaan, juga memberi sumbangan amal dalam pembaharuan ilmu-ilmu kefatwaan.
Keenam: Galakan kepada institusi fatwa dengan pelbagai jenisnya agar mengambil faedah dari alat-alat teknologi moden dalam menyebarkan dan memudahkan pencarian fatwa yang tepat, khususnya alat-alat komunikasi masyarakat.[5]
Ketujuh: Sekretariat Umum Badan-badan Fatwa Berautoriti Sedunia berpesan kepada para penyelidik dan juga pelajar peringkat tertinggi[6] dalam pengajian syariah, kemasyarakatan, kemanusiaan, agar memberi perhatian terhadap kajian berkaitan: ''Tajdid (pembaharuan) dalam fatwa'' dan juga menitik beratkan kajian terhadap ilmu-ilmu yang bersifat realiti (semasa) serta ilmu-ilmu yang diperlukan untuk menggabungkan antara pengetahuan syariah dan juga realiti semasa.
Kelapan: Penegasan terhadap kepentingan tajdid dalam isu-isu kefatwaan secara menyeluruh serta mewujudkan kemahiran-kemahiran moden untuk berinteraksi dengan permasalahan-permasalahan dan isu-isu semasa supaya dapat menggabungkan - bersama dengan sudut syarak - jarak antara individu dan kemasyarakatan.
Kesembilan: Penubuhan lajnah 'ilmiyyah di bawah pihak Sekretariat Umum Badan-badan Fatwa Berautoriti Sedunia yang mana fokusnya adalah untuk melaksanakan resolusi-resolusi persidangan serta memberi tumpuan kepada proses pembaharuan pada fatwa dari sudut ilmu dan amal.
Kesepuluh: Seruan kepada kesemua mu'assasah (pertubuhan) fatwa di seluruh negara untuk bernaung di bawah naungan Sekretariat Umum Badan-badan Fatwa Berautoriti Sedunia.
Kesebelas: Penegasan ke atas kepentingan agar mengaktifkan organisasi yang berautoriti dalam mengeluarkan fatwa-fatwa syar'ie, serta kayu ukur yang bagus dan ilmiyah dan memberi penguasaan kepada institusi-institusi fatwa yang dipertanggungjawabkan.
Kedua belas: Melebarkan kerjasama yang membuahkan hasil antara Sekretariat Umum Badan-badan Fatwa Berautoriti Sedunia dengan pertubuhan-pertubuhan yang berkerja dalam lapangan hak-hak kemanusiaan bagi bertukar pandangan dan kepakaran.
Ketiga belas: Memperluaskan usaha untuk meminta pandangan golongan yang pakar dan berpengalaman dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, perubatan, politik, kemasyarakatan, melalui cara muzakarah kesefahaman dan protokol-protokol kerjasama di antara institusi-institusi fatwa dan juga pertubuhan-pertubuhan negara yang berkaitan dengannya, untuk mengeluarkan fatwa yang 'ilmiyyah, tepat, dan terbina di atas maklumat yang terpercaya.[7]
Keempat belas: Penegasan supaya institusi-institusi fatwa lebih aktif dalam isu-isu kekeluargaan, dan (penegasan) ke atas kepentingan pertubuhan pertubuhan fatwa agar sentiasa membentangkan pandangan-pandangan dan juga latihan kekeluargaan yang tepat. Dan juga pertubuhan fatwa menyertai persidangan-persidangan yang menghakimi setiap kategori permasalahan kekeluargaan yang pelbagai.
Kelima belas: Peringatan atas bahayanya peningkatan statistik kes perceraian yang berlaku dalam sebahagian masyarakat dan negara.[8] Serta seruan ke arah penelitian sebab-sebab yang menjadi faktor ke arahnya, juga mengambil apa sahaja langkah dan juga penjagaan yang perlu untuk menghadapinya.
Keenam belas: Melancarkan suatu panduan pertama yang boleh mengawal selia kefatwaan pada masa hadapan terhadap bagaimanakah keadaan pergerakan kefatwaan pada masa akan datang. Berdasarkan persoalan-persoalan, dan konteks, serta teknik menjawab persoalan.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Fatwa adalah rujukan utama kepada masyarakat awam dalam melaksanakan tuntutan agama dengan sempurna. Melalui fatwa, pendapat yang terpilih dengan meraikan maslahah dijunjung agar keharmonian masyarakat berlangsung dengan baik tanpa sebarang permasalahan dan pertelingkahan.
Kedatangan kami ke bumi Mesir bagi menghadiri persidangan antarabangsa dengan tajuk yang segar iaitu 'Tajdid Dalam Fatwa: Antara Teori dan Praktikal' telah memberi satu jawapan yang bernas dalam mebentuk gambaran bahawa Islam itu sesuai di sepanjang zaman dan masa begitu juga tempat dan geografi. Ini kerana, zuruf dan biah masyarakat itu berubah dari semasa ke semasa, begitu juga budaya yang boleh jadi berubah mengikut peredaran zaman dan tempat. Keanjalan Islam melalui proses tajdid dalam fatwa dapat direalisasikan. Sebaliknya, jika dibiarkan dalam kejumudan akan pasti membawa kepada kesukaran dan kemunduran.
Menariknya, kenyataan Menteri Wakaf Mesir, Dr. Muhammad Mukhtar Jum'ah yang menyebut: Istilah tsawabit dan mutaghayyirat apabila diilzamkan dengan cara yang salah boleh menatijahkan kejumudan dan kemelampauan. Justeru, saranan dan resolusi yang dikemukakan untuk mereka yang menjadi ahli ikhtisas dalam bidang kefatwaan amat perlu untuk dilaksanakan, berserta dengan penyediaan jawapan yang pantas dan autentik.
Tambahan pula, penggunaan media masa yang bersifat moden seperti laman web, facebook, Instagram, twitter, dan lain-lain dalam penyampaian fatwa merupakan antara bentuk tajdid yang dapat memberikan penyelesaian yang penuh dengan ketenangan dan memuaskan.
Akhir kalam, semoga pandangan yang dikemukakan ini dapat memberi kefahaman yang jelas dan tuntas kepada para pembaca. Ameen.
[1] Ia dikenali dengan nama Ų§ŁŲ£Ł
Ų§ŁŲ© Ų§ŁŲ¹Ų§Ł
Ų© ŁŲÆŁŲ± ŁŁŁŲ¦Ų§ŲŖ Ų§ŁŲ„ŁŲŖŲ§Ų” ŁŁ Ų§ŁŲ¹Ų§ŁŁ
atau di dalam bahasa Inggerisnya sebagai General Secretariat For Fatwa Authorities Worldwide. Ia ditubuhkan pada bulan Disember 2015 bersamaan bulan Rabi' al-Awwal 1437 H. Sehingga kini, ia dipengerusikan oleh Mufti Besar Republik Arab Mesir, Fadhilah al-Syeikh Dr. Shauqi Ibrahim Abd al-Karim 'Allam.
[2] Ini seperti yang dinyatakan di dalam hadis Nabi S.A.W melalui sabda baginda:
ŁَŲْŁ
ِŁُ ŁَŲ°َ Ų§ Ų§ŁŲ¹ِŁŁ
َ Ł
ِŁ ŁُŁِ Ų®ŁَŁٍ Ų¹ُŲÆŁŁŁ ُ، ŁŁŁŁŁَ Ų¹ŁْŁ ŲŖŲَŲ±ŁŁَ Ų§ŁŲŗَŲ§ŁŁŁَ ŁŲ§ŁŲŖِŲَ Ų§Łَ Ų§ŁŁ
ُŲØŲ·ِŁŁŁَ
Maksudnya: Akan memikul ilmu ini dari setiap generasi itu golongan yang adil dari kalangan mereka. Mereka akan menafikan darinya (ilmu) penyelewengan kelompok yang melampau, serta serangan kelompok penyerang. - Riwayat Al-Baihaqi
Ini menggambarkan bahawa cara pembawakan ilmu maklumat serta pengeluaran fatwa melalui generasi yang 'adil dari kalangan para ulama sudah barang tentu menatijahkan hasil paling ampuh dalam menangani dakyah kumpulan pelampau.
[3] Ini merupakan pedoman kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam usaha menjadikan institusi fatwa ini mampu berfungsi sebagai badan autoriti mesra masyarakat dalam menjawab sebarang permasalahan hukum dari mereka. Oleh kerana itu, kami menjadi antara institusi fatwa terawal yang mengenalkan sistem chat bot atau imurasalah melalui page Facebook rasmi Mufti Wilayah Persekutuan bagi memudahkan capaian segera para pengunjung kepada permasalahan hukum yang mereka hadapi. Kami berpegang dengan kaedah yang menyatakan:
ŁَŲ§ ŁŲ¬ُŁŲ²ُ ŲŖŲ£َŲ®ِŁŲ± Ų§ŁŲØŁَŲ§Łِ Ų¹َŁْ ŁَŁْŲŖِ Ų§ŁŲَŲ§Ų¬َŲ©
Maksudnya: Tidak sayugia melewatkan penjelasan dari waktu ia diperlukan.
[4] Istilah tajdid umum adalah antara kalimah yang sering diulangi oleh para pembentang semasa persidangan tersebut. Antaranya adalah Fadhilah alSyeikh Dr. Ali Jumu'ah yang menyifatkan ia dengan kata lain 'al-tajdid al-jama'ie' iaitu proses pembaharuan yang bersifat kolektif dalam fatwa.
[5] Dalam isu ini, kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga berusaha untuk menjadi istitusi fatwa yang terkehadapan dalam memanfaatkan alat-alat telekomunikasi moden dalam usaha menyalurkan pandangan hukum kepada masyarakat umum. Ini melalui laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang boleh dilayari di www.muftiwp.gov.my yang telahpun mencecah 9.94 juta pengunjung sehingga saat ini. Begitu juga laman Facebook rasmi Mufti Wilayah Persekutuan yang telah mempunyai 294, 816 pengikut, demikian juga laman Instagram rasmi Mufti Wilayah Persekutuan telah diwujudkan dan sehingga kini telah mempunyai 309 ribu pengikut. Selain itu, Mufti Wilayah Persekutuan juga turut mempunyai kumpulan Telegramnya yang tersendiri serta laman Twitter dalam usaha memudahkan sebaran jawapan ke atas persoalan hukum.
[6] Para pelajar di peringkat ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran.
[7] Ini juga menjadi prinsip kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertitik tolak dari firman Allah S.W.T:
ŁَŲ§Ų³ْŲ£ŁَŁُŲ§ْ Ų£ŁْŁَ Ų§ŁŲ°ِ ŁْŲ±ِ Ų„ِŁ ŁُŁŲŖŁ
ْ ŁَŲ§ ŲŖŲ¹ْŁŁ
ُŁŁَ
Maksudnya: Bertanyalah kamu kepada golongan yang pakar sekiranya kamu tidak tahu.
Surah Al-Nahl (43)
Kami sentiasa merujuk kepada golongan pakar sebelum mengeluarkan sebarang persoalan hukum, khususnya di dalam bidang yang kami kurang pengetahuan padanya. Ini seperti usaha kami mendapatkan golongan pakar perubatan dari kalangan doktor dan ahli farmasi mengenai penggunaan inhaler apabila kami ingin mengeluarkan pandangan tentang hukum penggunaan inhaler bagi pesakit asma semasa sedang berpuasa Ramadan. Situasi sama turut kami amalkan dalam mengeluarkan artikel panjang lebar berkaitan hukum vaksin menurut perspektif syarak.
[8] Isu peningkatan kadar perceraian dalam kalangan masyarakat ini merupakan isu sejagat. Ini barangkali terhasil dari kekurangan ilmu dan pedoman dalam kalangan sebahagian masyarakat khususnya berkenaan ilmu rumah tangga. Justeru, institusi fatwa perlu memandang serius dalam isu ini dengan mencari ikhtiar agar isu cerai tidak merebak menjadi lebih parah.
Hasil perbincangan kami dengan Penasihat Khas kepada Mufti Besar Mesir iaitu Dr. Majdi Muhammad 'Asyur, beliau memaklumkan bahawa Dar al-Ifta' AlMisriyyah telah pun mengeluarkan pandangan yang menyatakan bahawa talak tiga itu jatuh satu dalam usaha mengurangkan kadar perceraian dalam kalangan masyarakat mereka.
- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan - Bayan Linnas
http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2709-bayan-linnas-siri-ke-151-tajdid-dalam-fatwa-antara-teori-dan-praktikal
http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2709-bayan-linnas-siri-ke-151-tajdid-dalam-fatwa-antara-teori-dan-praktikal
No comments
Post a Comment