NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MCA takut bayang-bayang sendiri - PAS


KUALA LUMPUR : PAS membidas tindakan MCA mengancam UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai tidak realistik dan seolah-olah ‘takut kepada bayang-bayang sendiri’.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata parti mewakili suara masyarakat Cina itu sewajarnya bertindak sebagai parti politik matang dan lebih terbuka.

Katanya, MCA perlu menunjukkan semangat demokratik dalam menghadapi suasana landskap politik yang sudah berubah.

"Jangan kerana bimbang kehilangan sokongan orang Cina kepada DAP, MCA beralih (mengancam) kepada PAS yang kononnya tidak mempertimbangkan realiti masyarakat majmuk di Malaysia dan tidak mementingkan keharmonian kaum di negara ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu mendakwa MCA sudah tersilap membuat 'persepsi' kepada parti Islam itu.

Katanya, PAS sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk MCA, demi untuk kebaikan rakyat dan negara.

"Walaupun MCA seolah-olah menafikan kerjasama dengan PAS semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong baru-baru ini, mereka perlu sedar PAS bukan sahaja bekerjasama dengan UMNO atas dasar solidariti pembangkang tetapi juga dengan MIC dan beberapa parti serta individu lain lagi, " katanya.

Semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, ketika berucap pada Konvensyen MCA 2018, memberi dua kata putus berhubung kerjasama PAS-UMNO iaitu bubar Barisan Nasional (BN) atau singkirkan UMNO daripada BN.

Tiong Lai memberi amaran akan mengambil tindakan drastik berkenaan jika UMNO bergerak ke arah politik teokrasi.

Dakwanya, BN mengamalkan kesederhanaan dan perlu terus memegang prinsip kemajmukan budaya dan mempertahankan keharmonian kaum di negara ini.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo