BANGI, 29 Zulhijjah 1439H, Isnin – PAS berpendapat pihak yang terlibat dalam isu hukuman sebatan ke atas pesalah dua wanita lesbian baru-baru ini seharusnya membuat perbandingan terlebih dahulu antara sebatan syariah dan sebatan sivil.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan yang dibuat pada hari ini kebanyakkan diperoleh secara spontan.
"Sepatutnya mereka perlu kaji dahulu perbezaan sebatan syariah dan sivil. Saya yakin sekiranya perbandingan dibuat secara adil, orang bukan Islam juga akan pilih sebatan syariah yang tujuannya mendidik dan tidak menyeksa pesalah. Saya percaya ini akan berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi video pendek berdurasi seminit yang dimuat naik di laman Twitter rasmi beliau.
Dalam pada itu, rata-rata pengikut Hadi turut bersetuju dengan kenyataannya dan menganggap mereka yang menentang isu berkenaan sebenarnya adalah golongan tegar politik tanpa mengira agama yang takut terhadap penguatkuasaan serta pematuhan kepada sistem perundangan Islam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa hukuman sebat yang dilakukan oleh Mahkamah Syariah Terengganu dianggap satu hukuman yang melihatkan Islam sebagai agama yang suka menghukum dan bengis.
Dr Mahathir berkata, hukuman tersebut bukan cara yang digalakkan oleh Islam dan kerajaan berharap agar semua pihak berhati-hati dalam mempamerkan Islam sebagai agama yang tidak ada tolak ansur dan tidak ada bertimbang rasa.
No comments
Post a Comment