PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan parti itu akan membentuk gagasan baharu dengan Pas menjelang PRU15.
Ketika berkempen pada PRK Seri Setia, Anggota Parlimen Bagan Datuk itu menyebut kedua-dua parti terbesar Melayu Islam sudah terlalu berperang sesama sendiri walaupun kedua-duanya mempunyai agenda yang sama.
Kata orang No.1 Umno yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri itu, seperti yang dipetik media: "Jika ada gagasan baru, tidak perlu bincang sekarang, Pas adalah rakan setia Umno, dan BN yang akan buka ruang (untuk) direalisasikan.
"Ketepikanlah perbezaan di kalangan kita. Cukuplah. ALLAH sudah uji kita selama enam dekad. 60 tahun untuk meraikan perbezaan ini..."
Saya percaya Zahid ikhlas dan ingin betul berpakat dengan Pas. Sebenarnya sudah banyak kali kita mendengar cakap-cakap dua parti itu hendak bersatu. Tetapi tidak pernah menjadi.
Maka bukanlah pelik Umno, dalam keadaan pasca PRU14, nampak bersungguh-sungguh hendak bersalaman dan berpeluk erat dengan Pas, walaupun PRU15 lama sangat lagi. Cuma, sekarang orang hendak dengar apa kata Presiden Pas? Semoga tiada pihak yang bertepuk sebelah tangan.
*ALKISAH bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menelefon Datuk Seri Anwar Ibrahim di penjara Sungai Buluh pada malam 9 Mei.
Ketua Umum PKR itu mendedahkan Najib cuba mengatur strategi untuk mengekalkan BN sebagai kerajaan, setelah BN – dan Umno – ditolak pengundi pada PRU14.
Dalam wawancara bersama ThaiPBS, Anwar berkata mantan PM mengemukakan beberapa cadangan untuk memungkinkan parti yang kecundang boleh kembali memerintah.
Hanya Anwar dan Najib sahaja tahu apa sebenarnya perincian perbincangan dan tawar-menawar dalam perbualan telefon pada dinihari itu.
Moral cerita: dalam keadaan terdesak dan gubra sakan, manusia yang paling berkuasa pun tidak segan-silu untuk berunding dengan seorang banduan...
*APA PUN seperti yang terbukti, Anwar @ bakal Presiden PKR itu tidak termakan pujukan, dan memberitahu pemanggil tengah malam itu supaya bercakap terus dengan Tun Dr Mahathir.
"Setelah mendengar nama Mahathir, beliau (Najib) terkedu," kata Anwar dalam wawancara dengan media Siam itu.
Pasti Najib kecewa tidak keruan, dan mungkin tidak dapat tidur hingga ke subuh. Setelah gagal menyusun strategi, Najib akhirnya menerima hakikat, dan mengaku partinya yang telah berkuasa selama 60 tahun, kalah pada PRU14.
Lagi moral cerita: hidup memang seperti roda, sekejap di atas, sekejap di bawah. Sekejap melenyek, sekejap kena lenyek.
*ADA pihak yang cepat marah dan melenting apabila Syarikat Petron Fuel International Sdn Bhd (Petron) dilantik sebagai pembekal petrol dan diesel untuk kerajaan.
Memo pelantikan itu tular di media sosial, dan segera mencetuskan andaian kronisme kerajaan PH, kerana syarikat tersebut dikaitkan dengan Mirzan, anak Tun Dr Mahathir Mohamad.
Petron dalam satu kenyataan menjelaskan permohonan menjadi pembekal kerajaan telah dibuat sejak Mac 2015 dan diluluskan November tahun sama.
Ertinya kelulusan diberikan oleh kerajaan terdahulu, bukan kerajaan sekarang.
Untuk makluman, pada tahun 2013, Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (Petron Malaysia) mengesahkan kepada Bursa Malaysia yang Mirzan tidak memiliki sebarang saham atau peranan dalam syarikat tersebut. Ada sesiapa lagi yang tidak puas hati?
*ANGGOTA Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan menyarankan pengundi yang tidak berpuas hati dengan kegagalan PH menghapuskan tol supaya tidak membayar caj tol.
Ketika berkempen untuk calon MCA pada PRK Balakong, anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata: "Nak hapuskan tol, adakah mereka (PH) hapuskan tol? Ada?"
Kata beliau lagi: "Saya harap ada antara kita ni yang berani melanggar palang-palang tol yang berada di mana-mana. Langgar je!"
Tetapi pemimpin Umno itu menambah: "Kalau kena tangkap jangan cari saya. Tuan-tuan jawab sendiri!"
Ada sesiapa yang hendak dengar cakap Ahmad Maslan?
*
TOK PERAK
No comments
Post a Comment