NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rafizi atau Azmin jadi pengganti Anwar?


Oleh Zin Mahmud

Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah dipastikan menjadi presiden PKR apabila menang bertanding untuk jawatan itu 5 Ogos lalu. Hanya menunggu pengesahan selepas pemilihan parti pada 13 Oktober ini.

Pada tarikh itu bagaimanapun, akan ditentukan siapa timbalan presiden PKR dan pengganti Anwar, iaitu sama ada Datuk Seri Azmin Ali atau Rafizi Ramli.

Dalam pada itu, Pakatan Harapan (PH) sudah menentukan siapa pengganti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu Anwar. Perkara ini sudah dipersetujui Majlis Presiden PH, walaupun ada penyokong Dr Mahathir tidak mahu Anwar menjadi penggantinya.

Malah, cakap-cakap politik menyebut ada pihak yang mahu menghalang Anwar menjadi perdana menteri dan digantikan dengan Azmin.

Tetapi, Dr Mahathir menegaskan beliau berpegang pada persetujuan parti-parti PH sebelum pilihan raya lalu. Sokongan DAP dan Amanah kepada Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir adalah padu.

Walaupun secara rasmi kedudukan keempat-empat parti – PKR, PPBM, DAP dan Amanah adalah setaraf dan keputusan Majlis Presiden berbentuk konsensus, tetapi pemahamannya adalah pada asasnya PH merupakan kerjasama antara PKR dan PPBM dengan dokongan penting DAP dan Amanah, sebab itu pembahagian kawasan pilihan raya lalu didominasi PKR dan PPBM.

Walaupun PKR memenangi kerusi paling banyak di Dewan Rakyat dalam kalangan parti-parti PH, tetapi Dr Mahathir dipilih sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, PH tidak pernah berbincang siapakah yang bakal menjadi timbalan perdana menteri apabila Anwar menggantikan Dr Mahathir kelak.

Apa yang difahami ialah kerjasama PKR dan PPBM sebagai asas PH akan berterusan. Jika itu berlaku, apabila Anwar menjadi perdana menteri, seharusnya Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi timbalannya perdana menteri.

Maka, struktur penggantian pemimpin dalam PH akan berterusan seperti penggiliran antara PKR dan PPBM.
Selepas Anwar, maka Muhyiddin akan menggantikannya dengan timbalannya daripada PKR yang dijangka Azmin, jika beliau ketika itu sudah menjadi presiden partinya. Kemudian, jika Azmin menjadi perdana menteri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula menjadi timbalannya.

Tetapi, proses perjalanan politik tidak seperti itu. Apa yang dirancang atau dibayangkan ahli politik dan para pengikutnya tidak semestinya akan berlaku. Sejarah politik Malaysia penuh dengan ahli-ahli politik yang gagal menjadi pemimpin negara.

Datuk Onn Jaafar, pengasas Umno yang berpandangan jauh mahukan parti itu menjadi pertubuhan siasah Malayan ditolak para perwakilannya. Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pimpinannya juga ditolak para pengundi.

Tunku Abdul Rahman menjadi perdana menteri pertama negara dan timbalannya juga berjaya menjadi perdana menteri, tetapi harapan Tun Abdul Razak Hussein menjadikan Tun Dr Ismail Abdul Rahman sebagai penggantinya tidak pula tercapai, sebaliknya Tun Hussein Onn yang menjadi perdana menteri.

Ramai dalam kalangan Umno ketika itu membayangkan Tengku Razaleigh Hamzah akan menjadi timbalannya, tetapi Hussein memilih Dr Mahathir.

Apabila Dr Mahathir menjadi perdana menteri, beliau tidak memilih Tengku Razaleigh. Beliau mengambil Tun Musa Hitam, tetapi Musa tidak menjadi perdana menteri, begitu juga Tun Ghafar Baba yang menggantikannya.

Malah, Anwar yang tidak dihalang Dr Mahathir daripada melawan Ghafar juga tidak dapat menjadi perdana menteri, sebaliknya Tun Abdullah Ahmad Badawi yang pernah disingkirkan Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Timbalan Abdullah ialah Datuk Seri Najib Razak yang mendapat sokongan Dr Mahathir ketika itu menjadi pemimpin utama negara.

Muhyiddin yang sepatutnya menjadi perdana menteri menggantikan Najib, jika Umno terus berkuasa akhirnya hanya menjadi timbalan presiden parti itu.

Tanpa Muhyiddin, banyak pihak tentu beranggapan pemimpin yang akan menggantikan Najib kelak sama ada Datuk Seri Hishammuddin Hussein atau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selama 61 tahun, mereka yang berpeluang menjadi perdana menteri adalah orang Melayu dari Umno, itupun hanya apabila Umno berkembang ke Sabah, baru ada peluang Bumiputera negeri itu menjadi perdana menteri.

Datuk Seri Shafie Apdal pun dapat peluang menjadi naib presiden Umno setaraf dengan Zahid dan Hishammuddin.

Tetapi, pilihan raya umum ke-14 hari itu melenyapkan sebarang impian orang Umni untuk melihat Zahid atau Hishammuddin menjadi perdana menteri dalam waktu terdekat ini.

Dengan terputusnya pemerintahan Umno yang berterusan ini, kepimpinan tertinggi negara tidak lagi ditentukan para perwakilan Umno.

Jawatan perdana menteri berkemungkinan boleh dipegang ahli politik, sama ada dari Barisan Nasional (BN) atau PH. Kalau BN boleh kembali berkuasa pada pilihan raya umum, maka berpeluanglah Zahid menjadi perdana menteri.

Namun begitu, walaupun PH kini berpeluang menampilkan pemimpinnya sebagai calon perdana menteri, tokoh yang berkaliber itu masih asalnya dari Umno. Dr Mahathir, Anwar, Muhyiddin dan Azmin asalnya ialah orang Umno.

Buat masa ini, ahli politik DAP dan Amanah tidak akan berpeluang menjadi perdana menteri, walaupun ada antara mereka dikatakanlah mempunyai kemampuan.

Ini kerana kedudukan politik mereka yang rendah dalam PH, walaupun ahli politik DAP dan Amanah terdiri daripada mereka yang seumur hidup aktif menentang BN.

Dari segi peraturan demokrasi, sesiapa pun dalam PH berpeluang menjadi perdana menteri jika mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Tetapi realitinya, Amanah akan terus hanya menjadi parti pendokong, walaupun kehadiran mereka penting. Para pemimpinnya boleh dilantik sebagai anggota Kabinet, tetapi bukannya perdana menteri atau timbalannya.

Bagaimanapun, keadaannya berbeza jika Amanah bergabung dengan PPBM. Kedua-keduanya boleh menjadi lebih besar bila bersatu dan orang Amanah berpeluang menjadi perdana menteri.

Bagi DAP, keadaannya lebih sukar. Sebagai parti bukan Melayu, para pemimpinnya tidak berpeluang menjadi perdana menteri. Ini keadaannya walaupun DAP mempunyai ahli politik Melayu, tetapi bilangannya terlalu kecil.

Namun, keadaan boleh berubah jika politik Malaysia tidak mengambil kira soal kaum pemimpin. Suatu perkara yang sebenarnya tidak mustahil.

Dalam keadaan itu, orang bukan Melayu bukan saja boleh menjadi timbalan perdana menteri, malah perdana menteri. Itupun mungkin perdana menteri bukan Melayu yang pertama bukannya datang dari DAP, tetapi PKR.

Bagaimanapun, dari segi parti, pada masa akan datang juga boleh berubah. Dari segi fahaman politik, PKR dan DAP mempunyai banyak persamaan. Atau semua parti dalam PH boleh meleburkan identiti masing-masing untuk menjadi satu parti, iaitu bukan setakat menggunakan lambang yang sama.

Bagi pilihan raya umum akan datang, landskap politik juga boleh berubah di luar jangkaan. Dengan BN yang tinggal 3 parti dan boleh bekerjasama dengan PAS pula, keadaan boleh berubah.

Lima tahun akan datang, usia semua ahli politik akan meningkat 5 tahun. Mungkin dalam sejarah Malaysia, hanya Dr Mahathir yang boleh kembali menjadi perdana menteri pada usia 93 tahun. 

Ahli-ahli politik lain adalah manusia kebanyakan yang kemampuan mereka hanya sekitar 70 atau 80 tahun, tidak boleh sampai 90 tahun.

Buat masa ini, tumpuan pemerhati politik adalah pada pemilihan PKR. Apakah akan terjadi jika Rafizi dapat mengalahkan Azmin? Adakah PKR akan berpecah dan penyusunan politik kepartian akan berlaku?

Atau sebaliknya yang berlaku, tidak kiralah sama ada Azmin atau Rafizi yang menjadi timbalan presiden PKR, parti itu akan menegaskan dominannya dalam PH dengan tidak memerlukan dokongan PPBM, DAP dan Amanah.

Ada ahli dan penyokong Umno mengharapkan parti mereka akan kembali dominan seperti dahulu. Di dunia, banyak parti lama yang kehilangan kuasa, berjaya kembali memerintah negara.

Akhirnya, pilihan pemimpin negara terserah kepada pengundi. Ramai kalangan rakyat mahu maju ke depan dan tinggalkan politik lama. Itulah yang dimaksudkan Malaysia Baru.

Sebab itu sambutan Hari Kebangsaan ke-61 tahun ini amat bermakna bagi pendokong Malaysia Baru. Mereka pasti mengharapkan Dr Mahathir dan Anwar tidak mengecewakan mereka, dan tidak mengembalikan Malaysia ke zaman seperti pemerintahan parti lama mereka.

Zin Mahmud merupakan bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo