NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Seri Setia: PAS Sedia Kaji Untuk Bertanding? 


PAS membuka ruang seluas-luasnya kepada mana-mana pihak termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk membantu kempen calon parti itu jika bertanding pada Pillihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu akan bermesyuarat Sabtu ini dan memutuskan cadangan meletakkan calon untuk bertanding bagi DUN Setia.

"Sesiapa nak tolong PAS kita terima termasuk UMNO dan Pakatan Harapan (PH) pun, tapi dari segi kerjasama tak ada usaha ke arah itu yang dibuat antara parti.

"Dalam konteks PRK, mana pihak yang sedia bantu PAS kita terima dan alu-alukan," katanya ketika ditemui di Lobi Bangunan Parlimen, pada Isnin.

Jumaat lalu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, BN akan memberi laluan kepada PAS dalam PRK DUN Seri Setia.

Katanya, laluan itu adalah titik permulaan dan persefahaman antara kedua-dua parti sebagai gerakan politik baharu dalam Malaysia baharu.

Mengulas kenyataan Mohamad, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, perkara itu akan diteliti kelak.

"Kita akan tengok nanti (sejauh mana UMNO sedia membantu PAS).

"Bagi saya, PRK ini bukan medan utama tapi sekurang-kurangnya ia memberi isyarat kepada kerajaan dan PAS.

"Kekuatan PAS kita akan turunkan sepenuhnya dan jentera kita mencukupi di Seri Setia tapi kalau ada tambahan (bantuan) kita anggap bonus," katanya.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan wakil rakyatnya, Prof Dr Shaharuddin Baharuddin meninggal dunia akibat barah usus, 2 Ogos lalu.

Ia adalah PRK ketiga di Selangor selepas DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu dan Balakong, 8 September ini.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo