PUSAT Penyelidikan PAS (PPP) berkeyakinan penyertaan PAS dalam Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Seri Setia bukanlah sekadar menguji penerimaan rakyat terhadap PAS pasca PRU ke-14, tetapi juga untuk merampas kerusi DUN tersebut dari Pakatan Harapan (PH). Keyakinan ini adalah berasaskan corak pengundian pengundi-pengundi di kawasan bandar yang dinamik serta mudah untuk membuat perubahan. Kedudukan DUN Seri Setia di tengah-tengah kawasan bandar di Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam memungkinkan perubahan corak pengundian berpotensi besar untuk berlaku.
Sebenarnya lebih separuh pengundi-pengundi di kawasan bandar termasuk pengundi Melayu adalah dikategorikan sebagai pengundi atas pagar. Manakala pengundi-pengundi partisan pula rata-rata terdiri dari penyokong Barisan Nasional (BN) dan PAS. Pengundi-pengundi atas pagar ini, lazimnya dipengaruhi oleh isu-isu semasa dan faktor keterampilan calon. Oleh sebab itu, PPP berkeyakinan sebahagian besar pengundi-pengundi yang mengundi calon PH dalam PRU ke-14 yang lalu dipengaruhi oleh sentimen menolak Perdana Menteri yang keenam yang menjadi faktor paling dominan bagi pengundi-pengundi bandar ketika itu.
Di dalam PRK DUN Seri Setia pada kali ini, pengundi-pengundi atas pagar tersebut tidak lagi dipengaruhi kuat oleh sentimen seumpama itu, memandangkan BN telahpun tumbang dalam PRU baru-baru ini. Berdasarkan kepada perkembangan politik semasa dan keputusan PRK DUN Sungai Kandis, faktor yang menentukan corak pengundi-pengundi atas pagar ialah protes mereka terhadap janji-janji manifesto PH yang tidak ditepati dan tiada perubahan yang ketara kepada taraf hidup rakyat. Bagaimanapun, di Sungai Kandis mereka menzahirkan protes mereka dengan tidak keluar mengundi, bukan dengan dengan mengundi calon lawan PH.
Manakala dalam PRK DUN Seri Setia ini pula, faktor yang sama akan turut berpotensi mencorakkan pengundian pengundi-pengundi di DUN ini, sama ada mereka terus mengambil sikap tidak keluar mengundi atau mengundi calon PAS. Dengan janji UMNO atau BN untuk membantu PAS, calon PAS dilihat mampu memperolehi undi teras sehingga 14000. Sekiranya undi protes daripada pengundi-pengundi atas pagar berpihak kepada PAS, maka calon PAS berupaya untuk melakar kemenangan. PPP yakin sekiranya situasi ini berlaku, PAS boleh memenangi PRK ini dengan majoriti tipis, tetapi cukup bermakna kepada perkembangan politik Malaysia seterusnya.
Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah PPP
No comments
Post a Comment