PETALING JAYA: Keputusan PRU lalu meletakkan kerusi kerajaan di kedudukan tidak seimbang pada demografi kaum, selain menatijahkan keadaan kalut tanpa dapat menyelesaikan masalah negara.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, dengan komposisi kaum terdiri daripada lebih 60 peratus Muslim, tetapi kerajaan pula didominasi bukan Islam dengan 66 kerusi.
"Tak seimbang kerusi ini. Jangan main-main. Kita menyaksikan Perdana Menteri (PM) terpaksa 'bersilat' nak hadapi PRU yang keputusannya begini.
"Ada orang yang nak cepat jadi PM pula (sesama mereka) berlawan," ujarnya pada Ceramah Umum PRK N.32 Dun Seri Setia di PPRT Lembah Subang, di sini semalam.
Sedangkan menurut beliau, masalah politik, ekonomi dan sosial negara yang ditinggalkan BN perlu dibetulkan, namun PH tidak punyai penyelesaian, malah banyak janji manifestonya tidak dapat dibuat.
Tuan Guru mengemukakan isu percukaian dalam menjelaskan hal tersebut di mana tanpa cara baharu menyelesaikan masalah, PH menukar kembali GST kepada SST yang juga sebenarnya bermasalah.
SST terangnya, akan menyebabkan kekurangan hasil negara dan peluang melarikan cukai, termasuk tidak mengatasi masalah inflasi, kenaikan harga barang, nilai wang tidak stabil dan kuasa beli rakyat yang lemah.
Tegas beliau, selain SST, terdapat banyak lagi masalah lain di mana semua itu akibat dari kesilapan mengundi antaranya berpandukan maklumat media sosial dan berita-berita palsu.
Jelasnya, generasi baharu yang tidak memahami telah menganggap pilihan raya sebagai main-main dan melepaskan geram tanpa menilai natijahnya bukan semata keputusan hari mengundi, tapi untuk masa depan.
Malah katanya, sokongan diberi kepada PH juga adalah berdasarkan janji-janji dalam manifesto tanpa mengira kemampuan melaksana seperti menurunkan harga petrol serta merta, hapus tol dan banyak lainnya dalam 100 hari.
Sehubungan itu beliau menyeru agar menjadikan PRK Seri Setia peluang untuk membuat perubahan dan membetulkan semula langkah yang silap dengan menyedari kewajipan besar memilih calon yang dapat mewakili rakyat.
"Mesti memilih wakil yang boleh membawa mesej, suara kita dalam Dewan Negeri. Kita alu-alukan rakan-rakan Umno, termasuk parti-parti lain bersama kita. Termasuk PH yang nak 'merujuk balik' setelah melakukan perhitungan dengan perkembangan yang berlaku ini.
"PAS memilih calon Dr Halimah Ali. Calon yang ada pengalaman jadi Exco, wakil rakyat. Kami saksikan (beliau) calon yang turun lapangan, bukan calon yang letak gambar di poster saja. Calon yang boleh menyampaikan suara rakyat.
"Ini sangat penting. (Dr Halimah) bukan menyampaikan ucapan masa nak mengundi, kempen (sahaja). (Tetapi) Menyampaikan pandangan selepas kita pilih dia," terang Tuan Guru.
No comments
Post a Comment