Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menolak desas-desus bahawa beliau akan bertanding pilihan raya kecil (PRK) DUN Seri Setia dan melepaskan kerusi parlimennya di Permatang Pauh.
"Saya baru dengar mengenai perkara ini dan ia khabar yang tidak benar," kata Nurul Izzah pada jawapan ringkas pesanan aplikasi WhatsApp kepada Malaysiakini.
Ura-ura Nurul Izzah bertanding di Seri Setia berputar sekitar rancangan ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR untuk kembali ke parlimen.
Bagaimanapun, Nurul Izzah sebelum ini berkata tidak akan melepaskan kerusi Permatang Pauh untuk Anwar. Anwar juga menolak spekulasi berkenaan.
"Saya tak pernah dengar. Kenapa Izzah pergi ke (peringkat) negeri?
"Tiada yang mencadangkannya. Jika ada, mungkin saya akan mempertimbangkannya," katanya, petik Malay Mail.
Namun demikian, akhbar Star pula memetik sumbernya berkata beberapa kem yang melobi Nurul Izzah untuk bertanding di Seri Setia telah membocorkan maklumat berkenaan kepada media bagi menyokong Anwar.
Satu sumber menyamakan rancangan tersebut sebagai menyerupai langkah Kajang pada 2014.
Langkah Kajang merupakan pilihan raya kecil yang dirancang Rafizi Ramli bagi menjadikan Anwar menteri besar Selangor.
Perbicaraan kes liwat kedua Anwar dan pertikaian dengan pihak istana Selangor menyaksikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengambil alih jawatan menteri besar Selangor.
Rafizi mencabar Azmin bagi jawatan timbalan presiden PKR.
Dua anggota parlimen dalam kem Rafizi, MP Selayang William Leong dan MP Sungai Petani Datuk Johari Abdul telah menawarkan untuk mengosongkan kerusi mereka buat Anwar.
No comments
Post a Comment