KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Pemuda MCA menafikan berlaku perpecahan antara parti komponen Barisan Nasional (BN) malah setiap sayap pemuda perikatan itu akan bekerjasama membantu calon MCA berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.
Ketuanya Datuk Chong Sin Woon berkata perbincangan telah diadakan bersama setiap parti komponen untuk koordinasi tanggungjawab sewaktu tempoh 21 hari berkempen.
"Semalam pun ada wakil-wakil dari UMNO, Gerakan, MIC sewaktu penamaan," katanya kepada Bernama, selepas melancarkan jentera Pemuda MCA bagi PRK Balakong di Kg Baru Batu 11, di sini.
Mengulas lanjut, Chong menegaskan bahawa penggunaan logo MCA buat pertama kali bagi pilihan raya ini juga telah dipersetujui dalam mesyuarat BN sebelum ini.
"Lepas kita bincang, kita nak gunakan peluang ini untuk kita buat percubaan nak lihat sama ada kalau komponen parti bertanding atas tiket sendiri dia akan dapat undi lebih baik atau tidak. Ini penting untuk kita lihat hala tuju parti komponen kita, kita masih dalam keadaan mencari hala tuju masa depan," katanya.
Beliau berkata lebih 100 orang jentera Pemuda MCA akan turun padang antara lain bagi sesi ceramah dan mengedarkan risalah bagi kempen pilihan raya itu.
PRK DUN Balakong pada 8 Sept ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Pakatan Harapan (PH) yang menampilkan pemimpin muda wanita daripada parti gabungannya DAP Wong Siew Ki manakala MCA mempertaruhkan ahli perniagaan Tan Chee Teong.
No comments
Post a Comment