NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perhilitan pindahkan gajah liar betina ke Tasik Kenyir


KEMAMAN - Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjalankan operasi memindahkan seekor gajah liar betina yang ditangkap di Kampung Air Putih di sini ke habitat asalnya di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pada Rabu lalu.

Timbalan Ketua Unit Gajah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang, Mohd. Khairul Adha Mat Amin berkata, operasi memindahkan gajah seberat 2.8 tan yang bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir empat jam kemudian berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Menurut beliau, gajah liar yang dijejaki oleh anggota Perhilitan di pinggir Hutan Simpan Air Putih itu berjaya dipindahkan dengan menggunakan bantuan dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Rambai.

“Kita gunakan khidmat Abot dan Rambai bagi memujuk gajah liar itu supaya ia tidak bertindak agresif sepanjang proses pemindahan untuk dibawa ke dalam lori.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati gajah betina itu mengalami kecederaan pada beberapa anggota badannya dan kita percaya ia berpunca daripada serangan haiwan liar. Gajah itu telah diberikan rawatan awal oleh anggota Perhilitan sebelum proses pemindahan dijalankan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Jelas Mohd. Khairul Adha, gajah betina itu dilepaskan ke habitat asalnya di kawasan Tasik Kenyir dan pemantauan lanjut masih diteruskan di hutan simpan berkenaan bagi menjejaki baki gajah liar yang lain. - K! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo