Oleh Mohd Sayuti Omar
PENGUMUMAN calon-calon yang akan bertanding merebut jawatan tertinggi dalam PKR bulan depan yang diketuai oleh Rafizi Ramli dibuat Sabtu lepas dipandang dengan berbagai rasa dan spekulasi. Terus terang saya nyatakan saya gerum dan bimbang melihat apa yang berlaku hari itu.
Jika pengumuman itu secara solo oleh Rafizi, ia tidak menjadi menakutkan, tetapi apa yang berlaku itu secara berpasukan. Semua jawatan penting kecuali presiden, tidak termasuk dalam pakej yang diumumkan itu.
Selain Rafizi yang mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden, diumumkan naib-naib presiden terdiri daripada Johari Abdul, K Kesavan, William Leong dan turut disebutkan juga Nurul Izzah Anwar. Bagaimana pun Nurul Izzah tidak hadir kerana dimaklumkan ada majlis lain di Permatang Pauh.
Apabila ahli parlimen Permatang Pauh itu tidak menafikan atau mencegah namanya disebut, bermakna beliau semacam mengesahkan bersama pasukan Rafizi?
Seorang pemimpin kanan PKR yang dikaitkan dengan Rafizi sebelum ini, Saifuddin Nasution Ismail bagaimana pun tidak disebut. Apakah beliau bersama dalam pasukan itu atau bersikap play safe? Apakah Saifuddin memilih jalan tengah untuk tidak terbabit dengan mana-mana kelompok? Bijak kalau itulah yang diambil oleh Saifuddin sebab beliau kini Setiausaha Agung yang sudah menjawat jawatan menteri tidak elok kalau bersikap memihak. Apa lagi yang beliau kejar melainkan perlu memastikan Anwar jadi PM?
Lain-lain pemimpin yang diumumkan, Fauziah Salleh yang diletakkan untuk merebut jawatan ketua Wanita PKR, manakala Rodziah Ismail sebagai timbalan. Akmal Nasir pula ditandai sebagai calon ketua Angkatan Muda, Raymond Ahuat selaku naib ketua Angkatan Muda. Serentak itu juga segugus kebanyakan pemimpin di peringkat cabang PKR di seluruh negara dibariskan sebagai calon-calon MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi).
Mereka yang berada dalam pasukan Rafizi mewakili semua peringkat. Melihat kombinasi itu ia menyerlahkan kesungguhan kelompok atau team Rafizi untuk menawarkan kepimpinan PKR untuk sesi akan datang. Lagak majlis hari itu ia bersuasana seakan penubuhan sebuah parti baharu atau satu tindakan reform PKR itu sendiri. Dalam bahasa bombastik mahu menyingkirkan Azmin Ali.
Rafizi bekas ahli parlimen Pandan itu, menggariskan empat perkara asas kenapa beliau menawarkan diri untuk bertanding menentang Azmin. Antaranya untuk memastikan perjuangan PKR kekal dengan reformasi, tentu juga memastikan kerajaan PH hari ini memenuhi hasrat itu. Memang betul tidak guna Malaysia mempunyai kerajaan baharu kalau agenda Reformasi tidak diimplimenkan.
Selain itu untuk menjaga kebajikan ahli dengan cadangan mahu menubuhkan koperasi. Dan yang paling penting demi memastikan Anwar Ibrahim menjadi PM ke 8?
Daripada beberapa asas itu, yang menimbulkan tanda tanya ialah, maksud untuk memastikan Anwar jadi PM. Apakah dalam perkiraan Rafizi dan pasukannya, peluang Anwar untuk menduduki kerusi itu tercabar ketika ini. Apakah jaminan PH sebelum ini yang sedia menobatkan Anwar sebagai PM selepas dua tahun disangsi? Atau pun Rafizi mempunyai tanda dan maklumat janji itu tidak akan terpenuhi dan Anwar kini berada dalam suasana membimbangkan?
Apabila beliau sedia merebut jawatan daripada Azmin Ali, apakah Azmin sudah berubah hati untuk sedia menentang Ketua Umum itu dan tidak menjadi penyokong setia Anwar lagi? Itulah yang banyak ditafsirkan umum perubahan berlaku dalam diri Azmin menjadikan orang-orang seperti Rafizi meragui. Mereka yang mencintai dan berharap Anwar akan menjadi PM, dilambung ketakutan dengan apa berlaku ke atas diri Azmin waktu ini.
Pun begitu perkara ini tidak jelas, tetapi itulah yang bermain dalam minda umum hari ini apabila mencari maksud gerakan dibuat Rafizi itu. Untuk apa Rafizi jadi begitu serius untuk bangkit kalau tidak ada apa-apa mimpi yang menggaru mindanya? Rasanya kalau setakat untuk melawan Azmin seperti pertandingan biasa tidak membawa maksud tersirat, tidak perlu Rafizi membentuk pasukan sedemikian rupa.
Tidak dinafikan ada pihak yang bimbang dengan kedudukan Azmin kini yang dilihat dikawal dan dijinaki oleh Dr Mahathir Mohamad. Pengawalan dan pennjinakan itu menyebabkan orang terfikir Azmin akan menderhaka kepada Anwar. Ia bermula apabila bekas MP Pandan itu dipanggil untuk membantu PM itu di Putrajaya dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Jika Azmin tidak penting kepada Dr Mahathir untuk apa beliau memanggil Azmin sedangkan Azmin sudah mengangkat sumpah menjadi MB Selangor? Dan terbaharu Dr Mahathir melantik pula Azmin menjadi Pengarah Khazanah Nasional dimana pelantikan itu dilihat penambahan kuasa kepada Azmin dan pengikhtirafan PM kepadanya.
Memang nampak kesongsangan sedikit dengan pelantikan Azmin itu yang sudah pun mengangkat sumpah sebagai MB Selangor. Dan Azmin pula semacam tidak membantah menuruti apa kehendak Dr Mahathir. Padahal sebelum itu sudah kedengaran yang Azmin mengimpikan jawatan menteri kabinet, tetapi yang peliknya kenapa beliau mengangkat sumpah sebagai MB Selangor. Tindakan Azmin itu semacam tamak dengan kedudukan. Hal lain juga diberitakan apa-apa berlaku ke atas Azmin tidak dirujuk kepada parti atau Anwar. Inilah yang menimbulkan keraguan sehingga menyebabkan ahli lain kecewa dan marah.
Apakah keperluan Dr Mahathir memanggil beliau? Jika dilihat keperluan ada munasabahnya Dr Mahathir berbuat demikian untuk membantunya. Tetapi dari sudut lain kepentingan itu, membolehkan orang membuat tafsiran sebaliknya. Situasi ini menimbulkan tanggapan Dr Mahathir mahu menggunakan Azmin sebagai bentengnya, ada benar juga. Kalau benteng, apakah yang beliau bimbanginya?
Persoalannya apakah Dr Mahathir takut kepada Anwar? Apa yang ditakuti? Apakah dalam kepala Dr Mahathir beliau merasakan Anwar akan melakukan "kudeta" -- rampasan kuasa yang dimilikinya? Jika itulah yang ada dalam kepala Dr Mahathir dan jika benar Anwar ada benih untuk melakukan itu, ertinya kedua mereka masih berselingkuhan dalam politik? Kemunafikan kedua-duanya masih wujud.
Dengan memahami politik itu rencam dan orang politik tidak ada yang jujur, mungkin permasalahan itu timbul. Bayangan sejarah lama (chemistry) yang bersarang dalam jiwa kedua-duanya itu masih berbagar-bagar. Umum arif mengenai sejarah politik kedua mereka. Kalau itu masih ada, makna persetiaan dan jabatan salam tempoh hari tidak ikhlas dan munafik.
Baik Dr Mahathir maupun Anwar tidak perlu meragui diantara satu sama lain. Mereka perlu menunjukkan persefahaman tinggi bagi mendamai kerajaan Pakatan Harapan. Utuh atau tidak kerajaan Harapan bergantung kepada keduanya. Apa lagi Anwar dengan kedudukannya partinya yang menang banyak kerusi, beliau berhak untuk mendapat apa yang diidamkan itu. Layanan adil kepada Anwar khasnya PKR perlu dilaksanakan. Dr Mahathir perlu melihat hakikat ini.
Satu hakikat juga perlu diketahui kemenangan Dr Mahathir yang dibesar-besar dan diagung-agungkan itu tidak dapat diketepikan ia adalah bantuan PKR dan Anwar.
Bimbang dengan langkah Rafizi.
Berbalik kepada langkah diambil Rafizi itu, kita cukup bimbang ia seakan mengesahkan apa yang dibimbangi dan bermain dalam minda umum itu. Kalau Rafizi dan teamnya berniat untuk menghalang Azmin, maka orang akan melihat benarlah apa yang dibayangkan itu. Jika tidak, kenapa begitu sekali Rafizi mengumpul rakan-rakan untuk memimpin PKR dengan harapan menjamin kedudukan Anwar terselamat. Bidalan "masakan pokok bergoyang kalau tidak ada angin" diguna dalam membuat perkiraan ini.
Dari luar konteks medan politik, Rafizi tidak seharusnya menyata dan menunjukkan kebimbangan itu, jika tidak ada apa-apa yang berlaku kerana ia bahaya boleh membekah persepsi buruk kepada parti dan juga memberi impak kepada kerajaan Harapan.
Dalam hal ini baik Rafizi dan Azmin tidak perlu mudah mendengar suara dan hasutan para penyokongnya di bawah. Mereka hanya tidak lebih daripada tukang sorak atau pun "kaki judi" yang mempertaruhkan mereka berdua untuk mencari untung dan rugi. Apa yang perlu diingatkan, kalau mereka bertempur dalam sorak sorai, tidak ada siapa yang menang nanti. Sebab kekalahan mana-mana pihak akan meletakkan Anwar di tengah-tengah jalan sukar untuk menuju ke Putrajaya. Pertembungan Rafizi dengan Azmin akan menatijahkan kalah jadi abu menang jadi arang.
Ini perkara yang perlu difikirkan semasak-masak mungkin. Bertanding gampang tetapi untuk menghadapi implikasinya memeritkan. Sudah banyak sejarah lampau pertandingan secara bepasukan dalam parti berakhir dengan perpecahan.
Dua contoh klasik dalam Umno sendiri pada tahun 1987, apabila Team A pimpinan Dr Mahathir bertembung dengan Team B, pimpinan Tengku Razaleigh yang mana berkesudahan Umno terbelah dua.
Satu lagi contoh terbaharu ialah berlaku dalam Pas, apabila berlaku pertandingan secara berpasukan (cai), di antara golongan konservatif dengan golongan profesional. Parti itu akhirnya berpecah menjadi dua kumpulan memberi natijah parah kepada Pas hingga kini.
Keadaan dan kebimbangan itulah yang ditakuti berlaku juga dalam PKR nanti. Ia tidak dapat dielakkan sekiranya mana-mana pasukan atau team menang besar menjadikan yang kalah akan menyisih lalu membawa diri. Apa lagi kalau yang kalah dinanti dihina dan dipersenda-sendakan.
Bagi mengelak kebimbangan ini Anwar selaku Penasihat Umum dan Dr Wan Azizah serta para cerdik pandai PKR lain yang ikhlas perlu mengambil kira apa yang dikatakan ini. Jangan mudah menolak kebimbangan ini dengan berdalih mengatakan demokrasi perlu disegarkan dalam PKR dan menerima secara mudah yang keahlian PKR sudah matang dan cerdik maka ia dibiarkan berperang.
Bertindaklah sementara masa masih ada. Satu-satu tindakan terbaik ialah Anwar perlu memanggil Rafizi dan Azmin bersemuka. Secara peribadi saya tidak mahu sejarah dilalui Azmin dan Ezam Mohd Noor berulang kali kedua kali dengan watak sama, Azmin dengan Rafizi pula kali ini. Perlu diketahui juga pergaduhan dan kekecewaan dialami ahli PKR khasnya penyokong tegar Anwar sesama sendiri kerana kurang bijaknya Anwar menyantuni dan mendamaikan mereka.
No comments
Post a Comment