oleh: DATUK SALAHUDDIN AYUB
Sektor pertanian, atau pun agro industri, termasuk juga perikanan dan penternakan, merupakan salah satu sektor yang paling "elastik". Maksudnya teramat peka atau sensitif kepada kenaikan atau kejatuhan harga barangan dalam rantaian pengeluaran (supply chain).
Dalam proses globalisasi, di mana banyak barang dan bahan pertanian yang boleh diimport, kalau tidak melalui orang tengah, maka melalui Internet (e-commerce), sektor pertanian ini bakal menjadi lebih rumit dan sensitif lagi.
Kejatuhan nilai matawang China, misalnya, bakal menjadikan barangan China jauh lebih murah daripada apa yang boleh dikeluarkan di Malaysia.
Secara ironinya, biarpun Malaysia boleh menurunkan harga barangan Malaysia di pemasaran dunia, malah meningkatkan kualiti eksport Malaysia, petani dan nelayan Malaysia masih belum terselamat.
Kenapa begitu? Kerana dalam sektor pertanian, perikanan and penternakan, apa yang bakal berlaku akan berlaku juga sekiranya keadaan globalisasi atau kepincangan dunia sudah menjadi lebih rumit.
Dalam erti kata lain, "Anything that can go wrong, will go wrong." Iaitu sekiranya ada bencana atau elemen yang akan membawa masalah sejagat kepada sektor swasta pertanian, penternakan serta perikanan, perkara itu akan berlaku juga.
Sekiranya dilihat dari sudut ini, maka tidak hairanlah kenapa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan tanpa was-was terus mementingkan Kementerian Pertanian sebagai salah satu kementerian yang paling strategik dan penting.
Sudah semestinya seorang Menteri Pertaniaan harus tahu selok belok tentang perhubungan di antara "player," (pemain), pemborong, pembeli, dan petani; serta juga nelayan dan penternak.
Tanpa ilmu pertaniaan dan agro industri yang intim dan halus, maka Kementerian Pertaniaan akan terbawa-bawa oleh arus agro industri yang lebih berpihak kepada "big business," atau perniagaan besar.
"Big business" ini biasanya berada di luar Malaysia. Biar sekalipun Tan Sri Robert Kuok, seorang patriot Malaysia merupakan salah satu pemegang besar di dalam Wilmar, namun masih tidak cukup untuk membantu petani serta nelayan Malaysia.
Kerana kebanyakan "big business," juga harus beroperasi dengan rantaian orang tengah yang mengaut keuntungan dari para petani dan nelayan dulu.
Atas sebab musabab di atas, maka UPM, dengan para akademik serta cendekiawannya yang peka dan arif tentang masalah-masalah manipulasi harga (price manipulation), "sustainable development" (pembangunan yang boleh memberikan manfaat kepada generasi akan datang), dan teknologi genetik yang boleh menukar baka ataupun DNA segala sistem pemakanan, mempunyai peranan yang amat penting sekali.
UPM seolah-olah tombak serta perisai "food security" Malaysia. Dengan penyelidikan yang teliti, telus dan saintifik, UPM bakal menangani dua peranan yang cukup penting.
Pertama, UPM boleh menasihati Kementerian Pertaniaan tentang kepentingan negara (national interest), lebih-lebih lagi berkenaan sistem pemakanan yang selamat, di mana Malaysia tidak akan rasa tergugat oleh isu "food security," serta "food sovereignty".
Yang dimaksudkan "food sovereignty," menurut Presiden Joko Widodo merupakan kapasiti Indonesia untuk membekalkan makanan yang cukup kepada jutaan rakyat Indonesia sebelum Indonesia boleh menstabilkan harga segala pemakanan di Indonesia, termasuk juga perikanan dan penternakan.
Iaitu sebelum Indonesia boleh menjadi sebuah negara pengeksport bahan-bahan makanan yang diperlukan oleh seluruh dunia. Malaysia harus mempelajari konsep ini dengan secara komprehensif kerana ia bakal mendatangkan banyak manfaat.
Memandangkan perhubungan dua hala yang erat di antara Putrajaya dan Jakarta, UPM harus mempunyai satu jaringan atau "network" untuk berkerja sama dengan Universiti Pertanian Bogor, yang mempunyai fakulti pertanian yang terulung di rantau Asia Tenggara. Begitu juga Kasetsart Universiti di Thailand, serta Universiti Pertanian Tokyo di Jepun.
Pengetahuan dan penyelidikan yang rapi dan sistematik, amat dialu-alukan, kerana menurut Professor Peter Timmer, salah satu pencipta BULOG di Indonesia, ada tiga perkara yang menyebabkan sektor pertanian amat elastik.
Pertama, seluruh dunia tidak akan tahu apakah citarasa atau perisa sebenar pengguna. Kalau dulu, pengguna suka pelbagai makanan, kini ia telah lebih berarus kepada pemakanan yang organik, iaitu tanpa penggunaan baja yang berunsurkan bahan-bahan kimia.
Kedua, harga barangan pertanian, penternakan dan perikanan, akan selalunya menerima impak keadaan sedunia, seperti cuaca dan pengubahan iklim dunia yang mendadak.
Ketiga, tidak ada semua "big business," yang berhati perut untuk membantu para petani, nelayan atau penternak apatah lagi sektor swasta; apatah lagi kerajaan pusat yang tidak telus sebelum ini. Subsidi yang diberi, biarpun banyak, mungkin dilesapkan oleh mereka atau salah satu pihak di antara rantaian ini.
Disebabkan betapa sensitifnya peranan Kementerian Pertanian, isu-isu yang ditangani oleh Kementerian Pertaniaan tidak boleh diperlekehkan sama sekali.
Malah Nabi Muhammad s.a.w. amat peka tentang pertanian dan peranannya sebagai Rasulullah s.a.w.
Sekiranya baginda ditanya oleh sahabatnya tentang hal-hal pertanian, baginda akan mengesakan bahawa isu-isu ini dibawa kepada petani (atau penternak) yang jauh lebih arif dan mahir. Baginda tidak akan campur adukkan soal pertanian atau penternakan dengan agama Islam, menurut hadis-hadis yang sahih.
UPM merupakan benteng pertahanan "food security," serta "food sovereignty," Malaysia; itupun sekiranya UPM cuma ingin membantu Malaysia sahaja, sedangkan sebagai institusi akademik yang universal, UPM harus berpakat dengan institusi-institusi lain untuk menjaga segala umat manusia. Jangan seseorang tua atau muda yang dibiarkan kelaparan begitu sahaja. Namanya haram.
Malah menurut Islam, atau Khalifah Umar, sekiranya seseorang itu lapar dan kebuluran dalam keadaan darurat, maka jadi wajib pula untuk 'mencuri' untuk menyelamatkan diri dan keluarga. Tapi yang ditegaskan ialah kebuluran yang mendasyat.
Ini tidak bermaksud bahawa Maqasid al-Shariah, membenarkan pencurian. Cuma kebuluran itu amat serius sehingga Allah boleh memberikan pengecualian untuk meredakan keadaan itu.
Dari segi ini, UPM mempunyai tugasan yang bersifat akademik serta moral. Biarlah UPM selamatkan Malaysia dulu dan dipelopori dengan Dasar Pandang Ke Timur yang boleh berkerja sama dengan para penyelidik Jepun, Korea Selatan dan China yang telah menangani isu-isu kebuluran terdahulu.
UPM harus bangkit, terus bangkit, dengan Malaysia Baru pasca 9 Mei yang sudah menampakkan semangat rakyat Malaysia yang berkobar-kobar untuk mengharumkan nama berbilang bangsa, agama, dan sudah tentunya negara.
No comments
Post a Comment