Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berkata kerajaan Pakatan Harapan perlu melaksanakan janji-janji mereka yang tidak melibatkan kos.
Katanya, memandangkan keadaan negara yang sedang menanggung beban hutang yang begitu besar sehingga tidak terdaya melaksanakan kesemua janji-janji mereka di dalam tempoh yang sepatutnya.
"Rakyat faham jika tol dan bayaran PTPTN belum dapat dihapuskan, harga minyak tidak dapat diturunkan, dan gaji belum boleh dinaikkan. Ini kerana kesemua di atas memerlukan wang, sedangkan negara kita dilanda beban hutang,"katanya.
Misalnya soal beliau, kerajaan agak lambat untuk bertindak sewajarnya kepada penyangak, perasuah, pencuri dan penyelewengan kuasa ke muka pengadilan.
"Apa yang rakyat tidak faham ialah bila kerajaan lambat menyelesaikan janji dan harapan rakyat yang tidak melibatkan kos.
"Pertanyaan rakyat mudah. Bilakah penyangak, perasuah, pencuri dan penyeleweng kuasa hendak dibawa ke muka pengadilan. Mengapa begitu lambat?"soal beliau di Facebooknya.
Bukan itu sahaja, katanya janji-janji yang lain boleh dilaksanakan segera mungkin seperti reformasi institusi parlimen, Suruhanjaya Piliham Raya (SPR), dan kehakiman.
"Janji dan laungan untuk mengubahnya dah terlalu kerap didengar. Isunya, apakah yang akan diubah dan bilakah akan bermula? Mengapa begitu lambat?
"Bilakah semakan semula terhadap undang-undang yang dikatakan drakonian dahulu seperti Akta MKN, Sosma dan lainnya hendak dipinda atau dimansuhkan? Di peringkat manakah proses semakan atau pemansuhan itu?
"Rakyat sebenarnya sudah jenuh menunggu untuk melihat reformasi institusi berlaku dalam negara. Harap sekali semuanya dapat dipercepatkan. Bertindaklah segera supaya negara kita boleh cepat melangkah ke depan,"ujar beliau.
No comments
Post a Comment