JERTIH, 14 Zulhijjah 1439H, Ahad – Meskipun perlu berdepan dengan mereka yang lebih senior dan terdedah dengan pelbagai inovasi nuklear, tiga pelajar dari perkampungan nelayan di negeri ini bertekad mahu memberi persembahan terbaik sempena Kongres Remaja Rosatom di Russia, Isnin ini.
Berbekal pengalaman menjadi juara Program Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear di Korea Selatan pada Mei lalu, Muhammad Syazwan Mat Sidek, 17, Muhammad Anuar Abd Ghani, 17, dan Safyyah Muhammad Nasir, 16, berusaha memastikan kebaikan nuklear dapat membuka mata masyarakat di seluruh dunia.
Jika dilihat kecekapan dan keyakinan mereka berbahasa Inggeris ketika di Korea Selatan, ramai beranggapan pelajar Tingkatan Lima dan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut itu, berasal dari kawasan bandar sedangkan ibu bapa Muhammad Anuar dan Safyyah hanyalah peniaga kecil-kecilan di pasar Jertih, manakala Muhammad Syazwan adalah anak pendidik.
Pada kongres di Saint Petersburg itu, Muhammad Syazwan berkata, mereka tidak diberi had masa untuk membuat pembentangan berbanding pertandingan sebelum ini yang hanya diberi masa 13 minit termasuk sesi soal jawab.
"Pada kali ini kami adalah jemputan khas untuk membentangkan kebaikan nuklear. Kami berusaha membentangkannya dengan lebih mendalam dan membuat sedikit penambahbaikan seperti mengadakan 'game online' bersama peserta yang menyertai program di sana nanti.
"Sebelum ini kami pernah mengambil inisiatif dengan mengedarkan risalah dan membuat permainan teka-teki di sekolah-sekolah sekitar Besut untuk menggalakkan pelajar membaca berkenaan nuklear tetapi dengan 'game online', kita boleh lihat sejauh mana pemahaman peserta yang turut serta di Russia nanti," katanya ketika ditemui Bernama di sini, semalam.
Dalam keghairahan berlepas ke Russia esok, ketiga-tiga remaja itu tidak menafikan wujud perasaan takut untuk berdepan dengan pakar-pakar yang lebih mahir dalam bidang nuklear dan peserta dari 40 buah negara.
Muhammad Anuar berkata, walaupun mereka baru didedahkan dengan kebaikan nuklear, hasil kajian melalui Internet dan maklumat yang diberikan oleh Agensi Nuklear Malaysia banyak membantu mereka memahami dan mendalami ilmu berkenaan nuklear.
"Minat terhadap nuklear mulai timbul bila saya cuba mendalami ilmu berkaitan bidang ini dan berharap suatu hari nanti dapat menjadi pakar bidang nuklear di Malaysia dan dapat mengembangkan ilmu ini kepada orang ramai walaupun negara ini tidak mempunyai loji nuklear," katanya.
Bagi Safyyah, yang merupakan anggota terbaru kumpulan itu, berada di pentas dunia bukanlah suatu perkara mudah apatah lagi perlu menggunakan bahasa Inggeris sedangkan beliau hanyalah anak kampung.
Bagaimanapun, dengan kecekalan dan tekad yang tinggi, beliau berusaha sebaik mungkin hingga ada yang tidak percaya beliau mampu berkomunikasi dengan baik dan fasih menggunakan bahasa antarabangsa itu di Korea Selatan baru-baru ini.
"Walaupun kami boleh berbahasa Inggeris tetapi apabila berhadapan dengan pelbagai dialek bahasa Inggeris kami perlu lebih memberi perhatian kerana risau berlaku salah faham dan tidak menjawab soalan yang dikemukakan oleh peserta lain," katanya.
No comments
Post a Comment