NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bantahan IKSIM Terhadap Sikap Tidak Professional & Dakwaan Berbaur Fitnah Menteri Agama


IKSIM ingin merakamkan bantahan dan kekesalan dengan cara Menteri Agama, Yang Berhormat Mujahid bin Yusof Rawa, menangani publisiti tindakan pra matang pihaknya membuat tuduhan tidak berasas berkenaan isu dana RM 7.6 Juta yang dinyatakannya sebagai tidak dapat dikesan.

IKSIM juga ingin merakamkan kekesalan dengan pemilihan bahasa yang tidak sesuai yang telah digunakan Menteri Agama yang seharusnya menjunjung tinggi prinsip Islam Rahmatun lil Alamin ke atas institusi ini yang telah bergerak sepanjang penubuhannya menyediakan elemen semak dan imbang kepada elemen-elemen yang menentang Kedaulatan Islam Sebagai Agama Negara. 

IKSIM memahami niat suci dan baik YB Menteri Agama di dalam menyantuni golongan LGBT, dan amat memahami keterbiasaan beliau dengan bahasa golongan yang disantuni beliau. Tetapi menggunakan bahasa dengan konotasi lucah yang sama dengan menyatakan ‘seluar IKSIM dilondeh’ dalam isu audit tidak sah oleh MAIWP, YB Mujahid telah merendahkan martabat jawatan Menteri Agama yang dipegangnya.

IKSIM juga ingin merekodkan untuk makluman awam, bahawa dana zakat fi sabilillah itu telah diluluskan oleh Jawatankuasa Baitulmal iaitu badan berotriti di bawah Akta 505 yang menentukan penyaluran zakat pada  bulan Januari, Mei dan seterusnya pada September. Untuk rekod, dana ini telah dibekukan sebulan sebelum audit dalaman MAIWP memulakan proses pengauditan di IKSIM. Untuk rekod juga, sehingga tarikh kenyataan ini dikeluarkan (10 Ogos 2018) “exit conference” audit dalam MAIWP tersebut masih belum dijalankan setelah ianya ditangguhkan sebanyak 3 kali.

Ini membawa maksud dana IKSIM yang telah diluluskan JKB tersebut telah dibekukan selama hampir 3 bulan tanpa sebarang alasan yang sah sebagai salah satu dari proses tekanan berkait politik yang sedang dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertangungjawab.

Apa yang berlaku selepas proses audit tersebut dan sebelum “exit conference” selesai seolah-olah menunjukkan bahawa proses pengauditan itu dipaksakan ke atas IKSIM hanya dengan tujuan untuk mencari alasan bagi memberi justifikasi salah laku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP yang menghentikan secara tiba-tiba dana zakat untuk IKSIM yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Baitulmal.

Selain dari terjahan Audit Dalam MAIWP itu  yang tidak mempunyai justifikasi undang-undang, dapatan mereka juga masih mentah kerana belum dilaksanakan “exit conference”. Dokumen-dokumen kewangan yang berada di dalam simpanan IKSIM dengan jelas mendedahkan segala bentuk pembayaran termasuk pembayaran sehingga ke jumlah sen yang terkecil.

Dari RM 7.6 juta yang menjadi fokus kenyataan dalam dan luar Parlimen YB Menteri Agama itu, 30 peratus darinya adalah untuk sewaan dan emolumen. Jelas, adalah sangat tidak masuk akal pembayaran sewa dan gaji didakwa sebagai tiada dokumen sokongan.

Selebihnya 70 peratus lagi adalah bayaran bagi penganjuran kursus-kursus Transformasi Pemikiran Islam (TRAPI) dan Perhimpunan Deklarasi Ijtima’ Penegasan Kedaulatan Islam (DIPKI) yang mencecah hampir 350 program dalam masa 10 bulan.

KPE IKSIM telah pun membuat aduan kepada Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan mengenai salahlaku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP itu dan Pasukan Audit Dalam yang kelihatan seolah-olah bersubahat dengannya. Namun proses siasatannya dilihat perlahan kerana bimbang dengan tindakbalas politik.

IKSIM akan mengambil langkah susulan menerangkan isu-isu yang menjadi polemik ini kepada Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja apabila Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tun Ahmad Sarji itu mula bersidang termasuk terjahan-terjahan yang dilakukan oleh Pegawai-pegawai dan ahli-ahli politik yang bertentangan dengan Akta Jenayah Syariah itu. 

IKSIM meminta agar ahli-ahli politik tidak menyalahgunakan jawatan-jawatan kerajaan yang sedang mereka pegang sekarang untuk menekan IKSIM dan penggerak-penggeraknya semata-mata kerana agenda dan dendam politik, sebaliknya hendaklah berlaku adil mengikut lunas undang-undang.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo