NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Janji 100 hari ..Apakah HARAPAN tinggal harapan?


Seusai PRU14 saya tidak buat sebarang komen untuk mengelak daripada membuat sebarang komen yang menyentuh tentang prestasi kerajaan baru ini. 

Berlaku adillah, kita harus beri ruang dan peluang kepada pemimpin yang dipilih oleh rakyat majoriti ini bagi berperanan dan melaksanakan agenda kebajikan dan pembangunan demi rakyat. 

Rakyat Malaysia telah memilih, mereka memilih dengan harapan agar kerajaan BN dan Datuk Sri Najib Razak dihumban ke longkang setelah 61 tahun memerintah. 

Walaupun negara berada di landasan yang betul menurut pakar ekonomi, menuju ke arah negara berpendapatan tinggi dengan nilai dagangan ekonominya telah menjangkau RM 1 trilion, Datuk Sri Najib mesti disingkirkan! Beliau dilihat sebagai perompak dan penyamun yang mengkhianati rakyat dengan kes 1MDB nya. 

Pelbagai strategi dirangka bagi menuntaskan tugasan ini. Rakyat melalui suatu fasa di mana mereka dihidang dengan pelbagai bahan di media sosial yang telah berjaya meningkatkan tahap meluat dan kebencian yang melampau kepada kerajaan yang memerintah dulu. 

Strategi dan pendekatan ini sangat berjaya, hinggakan rata-rata pengundi pertama kali dan pengundi muda mengetuai segmen pengundi yang paling besar mengundi gabungan pakatan Harapan. 

Tuhan Yang Maha Esa telah mentakdirkan BN dipilih sebagai pembangkang dan hilang kepercayaan di banyak kerusi Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat. 

Sesungguhnya rakyat terlalu yakin dan berharap akan ada perubahan dasar yang menguntungkan. Rakyat juga amat pasti bahawa hanya gabungan pakatan Harapan sajalah yang dilihat lebih berwibawa dan terkedepan dalam agenda mereka untuk membebaskan rakyat dari dibelenggu isui kos sara hidup yang tinggi. 

Lantas, dengan 10 janji dalam masa 100 hari yang ditawarkan sebagai sajian utama, kerajaan pakatan Harapan telah berjaya membuat anjakan paradigma yang besar bagi meyakinkan rakyat. 

Kini 100 hari telah tiba, dan ia menjadi ukuran prestasi atau pun KPI bagi mana-mana kerajaan di dunia ini. Malah, pentadbiran Donald Trump yang dipilih sebagai Presiden Amerika juga diukur prestasinya dalam tempoh 100 hari pentadbirannya. 

Kerajaan baru Pakatan Harapan juga tidak terlepas daripada penilaian dan ukuran pencapaian prestasi mereka. Pelbagai usaha dan pendekatan diambil oleh pak-pak Menteri yang baru dilantik bagi mengotakan janji-janji yang dibuat oleh mereka sendiri. 

Kajian demi kajian dijalankan, perbincangan demi perbincangan diusahakan, dan pelbagai urus setia ditubuhkan bagi membina kembali negara Malaysia ini yang telah musnah akibat kerakusan kerajaan 
terdahulu. 

Mereka berjaya meyakinkan rakyat bahawa kerajaan terdahulu telah melakukan kerosakan yang sukar untuk dibaiki, apalagi dengan pelbagai kebejatan seperti salah guna kuasa, rasuah dan ketidakupayaan membina integriti yang tinggi. 

Skandal antara terbesar di dunia berkaitan 1MDB menjadi keutamaan untuk dibongkar dan dirungkai agar pelakunya dibawa ke pengadilan dan melalui proses pengadilan. 

Keutamaan memerangi rasuah dapat dilihat dengan pelbagai jawatankuasa ditubuhkan bagi mengkaji setiap salahlaku dan salah guna kuasa, apalagi amalan rasuah di setiap kementerian dan agensi kerajaan. 

Rasuah menjadi mantera yang sering diulang dan diulang bagi mencerminkan betapa tingginya nilai integriti kerajaan baru ini. 

Justeru, pelbagai projek mega dikaji dan dinilai semula agar benar-benar memberi manfaat secara langsung kepada rakyat. Dan hasilnya, beberapa keputusan yang tidak konsisten dicapai dengan membatalkan, kemudian mengkaji semula, menilai semula, menangguhkan dahulu, dan yang terkini mahu merundingkan semula projek-projek ini yang dilihat berat sebelah dan tidak menguntungkan kerajaan Malaysia. 

Projek-projek seperti HSR, ECRL, MRT 3 melalui proses tergantung akibat ketidakbolehpercayaan kerajaan sekarang terhadap kerajaan terdahulu. 

Bukan itu saja, malahan kos projek dinilai semula dan telah dinaikkan nilai kosnya ke satu tahap yang tidak masuk akal. 

Kos hutang negara juga telah dinilai semula dan dikatakan melepasi RM 1 trillion akibat keborosan kerajaan terdahulu. Suatu perkara yang amat aneh, sebelum 9 Mei 2018, nilai ekonomi negara berjumlah RM 1 trilion dengan jangkaan pertumbuhan KDNK sekitar 5.2 ke 5.4%, dijana dengan rizab negara sekitar RM 430 billion, tiba-tiba menjadi sebaliknya selepas tarikh tersebut. 

Aliran keluar dana asing di pasaran modal, penjualan besar-besaran saham 'blue chips' telah berlaku beberapa minggu selepas itu. KWSP melalui masa sukar dengan kehilangan jumlah puluhan billion melalui penjualan saham syarikat-syarikat pelaburannya seperti AXIATA, Telekom 

Malaysia, GAMUDA dan beberapa yang lain. Bursa Malaysia menyusut dalam sekelip mata. Tetapi isu ini tidak diberi keutamaan, malahan kenyataan-kenyataan tidak cermat beberapa pemimpin negara dilihat amat menakutkan pelabur asing dan langsung tidak memberi manfaat kepada ekonomi semasa negara. 

Pengumuman beberapa dasar baru kerajaan juga dilihat terlalu pelik dan aneh. Pengumuman demi pengumuman dibuat bagi menjustifikasi ketidakupayaan kerajaan melaksanakan 10 janji dalam 100 hari! GST tidak dimansuhkan, hanya disifarkan. Kemudiannya ia digantikan dengan pengumuman SST sebanyak 10% dan 6%. 

Yang paling mendukacitakan pengundi muda ialah berkenaan kegagalan kerajaan memansuhkan PTPTN secara total. Ianya tidak dimansuhkan malah hanya dikaji semula kaedah pembayarannya. Namun sekatan perjalanan ke atas lebih 400,000 peminjam telah pun ditarik balik. 

Rakyat berharap agar mereka dapat menikmati penurunan kos sara hidup dengan seberapa segera. Namun, dengan dasar GST sifar telah pun tidak berjaya menurunkan harga bagi kebanyakan barangan asas. 

Rakyat masih lagi ditekan dengan bebanan harga barangan yang tidak turun kecuali tomato, kelapa sawit dan getah. Malah pak Menteri pertanian juga gagal memahami mengapa harga ikan kembung tidak turun sedangkan terdapat lebih 3 bilion ekor kembung berada di perairan Malaysia. 

Harapan pengundi juga meleset jauh apabila harga minyak petrol tidak mampu diturunkan walaupun harga minyak dunia mengalami trend penurunan. Harga RON 95 dikekalkan, namun harga RON97 dan Diesel diapungkan mengikut pendekatan kerajaan terdahulu. 

Harapan rakyat yang amat yakin bahawa kutipan tol akan dimansuhkan, juga tidak kesampaian. Ini memandangkan bahawa, ianya akan menjejaskan kemampuan negara pada skala yang besar. 

Banyak lagi janji yang tidak tertunai seperti pemberian caruman KWSP sebanyak 2% kepada isteri, pemberian royalti sebanyak 20% kepada negeri pengeluar minyak telah tidak dapat ditunaikan kerana memerlukan akta-akta berkaitan dipinda dahulu di Dewan Rakyat sebelum boleh dilaksanakan. 

Belum lagi menyentuh perkara-perkara lain yang menjadi harapan rakyat seperti kenaikan satu mata anak tangga gaji penjawat awam, penghapusan hutang peneroka felda, malahan hajat besar 1200 rakyat yang sepatutnya pergi menunaikan haji tahun ini telah dibatalkan oleh kerajaan. 

Harapan rakyat telah digagalkan oleh HARAPAN dalam tempoh 100 hari ini. Bagi pengundi yang mendokong visi dan misi pakatan Harapan, sudah tentulah sedikit sebanyak ianya mencalarkan hati nurani mereka. 

Tidak kurang juga masih ramai yang tidak tahu apa yang telah terjadi dan mengapa mereka terpaksa menyaksikan bahawa negara sedang bergelut dengan masalah ekonomi. 

Ramai yang masih gagal memahami mengapa janji-janji tersebut tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh 100 hari. Namun ramai yang menerima hakikat bahawa, mana mungkin kahwin hari ini, esok sudah boleh bakal menimang anak! 

Di mana-mana sudah kedengaran rungutan rakyat yang mengundi kerajaan baru akan kekesalan mereka. Harapan mereka tidak menjadi kenyataan. 

Harapan mereka untuk menikmati peluang pekerjaan, pendapatan yang lebih tinggi dan menangani kos sara hidup yang tinggi ternyata hanyalah sekadar sebuah HARAPAN. 

Orang-orang melayu beragama islam dan beriktikad dengan Ahlus Sunnah Waljamaah juga semakin resah akibat provokasi dan cubaan segelintir pihak yang cuba memberi HARAPAN baru bahawa mereka seharusnya lebih terbuka dan bertoleransi dalam beberapa isu. 

Cubaan untuk memperjuangkan hak kesamarataan antara kaum di negara ini akan hanya membuka ruang perdebatan dan pertelingkahan yang boleh membawa kepada berlakunya 'social unrest'! apabila ini berlaku, siapakah yang bakal dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan kelak? 

Penggunaan Bahasa Melayu yang diperlekehkan, sijil UEC yang mahu diangkat dan diiktiraf sebagai syarat kemasukan ke IPTA, penghinaan keterlaluan sesetengah pihak kepada kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu hanyalah akan mengancam keselamatan dan ketenteraman awam. 

Malahan, dengan penarikan semula pendakwaan ke atas aktivis-aktivis pakatan Harapan di mahkamah amat membingungkan pengamal dan pencinta keadilan. Walaupun menjadi hak mutlak Peguam Negara bagi memutuskan pendakwaan kes-kes ke mahkamah, tetapi kecenderungan mutakhir ini amat membingungkan kita apabila mereka yang mesra kerajaan baru digugurkan kes mahkamah mereka. Apakah ini bentuk amalan keadilan dan penegakkan konsep 'The Rule of Law' yang dicanangkan selama ini? 

Apakah rakyat yang mahukan harapan baru boleh menerima hakikat bahawa seorang Menteri portfolio kanan yang sedang berhadapan dengan pertuduhan rasuah masih boleh dilantik dan tidak dipertikaikan integritinya? 

Pak Menteri inilah yang paling kuat suaranya di parlimen membicarakan soal integriti orang lain sedangkan integritinya juga sedang dipersoalkan, bukan saja di khalayak umum malahan ada pertuduhan di mahkamah? Rakyat sedang menanti apakah kesnya juga bakal digugurkan juga! 

Malaysia tercinta ini mempunyai ramai yang bijak pandai. Anda nilaikanlah sendiri dengan mata hati. Dunia sedang berhadapan dengan satu lagi resesi atau kemelesetan ekonomi akibat persengketaan antara Amerika Syarikat dan China berkenaan tariff barangan. Tidak dapat tidak, negara akan mendapat tempiasnya juga. 

Dengan keadaan terkini negara, apakah rakyat boleh berharap kebajikan mereka dilindungi? Perut rakyat tidak kenyang dengan pembongkaran skandal-skandal. 

Perut rakyat semakin kosong apabila ramai yang dibuang kerja dan hilang mata pencarian. Fikiran mereka akan bercelaru dan jadi tidak rasional bila mereka terlalu lapar. Jiwa mereka akan memberontak kalau hak mereka dicabul dan diinjak-injak. 

Jika itu berlaku, apakah HARAPAN akan tinggal sekadar harapan? 


Tulisan Dato' Alexander Noor pada asalnya disiarkan dalam umno online.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo