NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangka Hayat PH, BN dan PAS - Nik Abduh



Dalam ucapan perbahasan titah diraja yang agak pendek berdurasi 10 minit pada pembukaan mesyuarat pertama Parlimen ke14 baru-baru ini, saya mengambil kesempatan berharga itu untuk menitipkan beberapa butiran penting berkaitan parti-parti politik yang bersaing di serambi kuasa dan pemerintahan negara pasca PRU14.

Ia adalah daripada pengamatan mudah saya terhadap masa depan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi dan menguasai Putrajaya, UMNO BN yang kalah teruk selepas lama berkuasa dan juga PAS (GAGASAN) yang turut menang dan menguasai 2 buah negeri dan banyak DUN di beberapa negeri yang lain. Turut saya sentuh secara imbasan adalah Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS) yang bertindak keluar daripada BN selepas PRU14 tersebut.

Pertama, saya mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan Ahli Parlimen PH yang menang bergaya dan menguasai Putrajaya buat kali pertama bagi sebuah gabungan pembangkang semenjak kemerdekaan negara. Ia adalah satu sejarah yang besar buat negara dan rakyat. Ia menghapuskan mitos lama bahawa BN tidak mungkin dikalahkan oleh parti pembangkang yang sentiasa dipandang lemah berbanding parti pemerintah BN.

Kemudian saya mengingatkan PH agar mereka memastikan dua perkara penting terlaksana demi jangka hayat mereka yang lebih panjang. Pertama, mereka mestilah menunaikan janji manifesto yang mereka taburkan sepanjang kempen pilihan raya baru-baru ini. Sebuah kerajaan sudah pasti terikat dengan janji-janji mereka kepada rakyat.

Tunaikan janji, kekalkan kesatuan

Manifesto PH yang begitu menggiurkan sehingga dilihat mampu menyelesaikan isu-isu besar negara adalah menjadi antara sebab utama kemenangan yang dicapai oleh PH baru-baru ini. Apatah lagi mereka dilihat lebih tahu dan berpengalaman di dalam menguruskan ekonomi negara berbanding parti PAS yang nyata kesemua pemimpin utama mereka belum pernah mentadbir negara.

Kedua, PH mestilah mengekalkan kesepaduan dan kesatuan di antara parti-parti komponen yang nyata berbeza di dalam matlamat perjuangan mereka. Tetapi demi mengalahkan BN yang dilihat begitu zalim dan merosakkan negara, mereka mampu bersatu di dalam PH, sesuatu yang tidak mampu dicapai oleh PAS. PAS pula dilihat terlalu mementingkan keaslian matlamat perjuangan Islam mereka yang sukar diterima oleh rakan-rakan pembangkang yang lain.

Kesatuan yang wujud di dalam PH itulah juga yang menjadi faktor utama keyakinan rakyat berpindah kepada mereka. Rakyat sudah pasti mahukan sebuah kerajaan yang kuat bagi menggantikan BN yang terbukti berjaya memimpin negara semenjak kemerdekaan dan belum pernah ditolak oleh mereka sebelum ini.

Saya mengingatkan PH bahawa kegagalan menunaikan janji manifesto dan kegagalan mengekalkan kesatuan di antara parti-parti di dalam PH akan menjadi sebab yang kuat dan valid untuk rakyat Malaysia membuat keputusan nekad dan berani untuk kembali menolak PH pada pilihanraya akan datang.

Takziah buat UMNO BN

Selepas itu saya mengalihkan ucapan pendek saya itu kepada UMNO BN dengan mengucapkan takziah di atas kekalahan besar yang dialami. Ia adalah ujian terbesar yang belum pernah menimpa UMNO BN. Sudah pasti mereka perlu bersedia dengan segala kekuatan menghadapi kesukaran yang tidak pernah dijangkakan sebelum ini.

Saya turut mengucapkan takziah kepada GPS yang walaupun mereka kekal menguasai negeri Sarawak, tetapi kekuasaan mereka di Putrajaya juga berakhir bersama BN. GPS akhirnya membuat keputusan segera keluar daripada BN walaupun kekal bersama barisan pembangkang.

Saya berkata, oleh kerana kekalahan besar UMNO BN belum mematikan mereka, bahkan mereka masih memiliki kerusi yang banyak di Parlimen, maka UMNO berhak dan masih berpeluang untuk kembali bangkit di dalam arena politik negara.

Saya mengingatkan mereka dengan dua perkara utama sebagai penawar kebangkitan. Pertama, jangan terlalu menyalahkan orang lain di atas kekalahan dan hukuman rakyat ke atas mereka. Ya, mereka mungkin berang dan marasai keperitan akibat wujudnya fitnah ke atas mereka, tetapi untuk sebuah kebangkitan yang berjaya, UMNO BN mestilah lebih melihat kepada kesalahan sendiri.

Malah, jika mereka merasa difitnah sehingga membawa kepada kekalahan, adalah lebih baik untuk mereka sendiri merasai betapa besarnya fitnah yang mereka sendiri lakukan ke atas parti pembangkang sebelum ini terutamannya ke atas PAS. Itu adalah lebih baik untuk pengubatan dan kebangkitan.

Bangkit dengan Islam

Kedua, saya menyeru mereka kepada perjuangan yang menjadikan Islam sebagai matlamatnya. Perjuangan berteraskan ideologi kebangsaan sudah berlalu dan amat sukar sekali diterima hari ini terutama oleh generasi muda negara yang lebih terbuka dan bebas berfikir. Ia sementelahan pula dengan persembahan parti UMNO sendiri yang semakin dilihat menjadikan perjuangan kebangsaan Melayu hanyalah sebagai slogan kosong dan umpan untuk terus memerintah, sedangkan bangsa Melayu sendiri terus lemah dan gagal di bumi sendiri.

Maka sebaik-baik kebangkitan oleh UMNO ialah kembali kepada perjuangan yang sebenar dan hakiki iaitu perjuangan berlandaskan Islam. Ia bukanlah sukar dan janggal. Islam adalah asas kejayaan ketamadunan dan sejarah bangsa Melayu. Bangsa Melayu tidak pernah terpisah daripada agama Islam yang gagah dan mulia.

Tahniah tertinggi buat PAS

Kemudian saya mengambil kesempatan untuk turut mengucapkan tahniah tertinggi kepada PAS (GAGASAN) dan seluruh rakyat dan pengundi yang telah mengundi PAS di dalam Pilihan Raya Umum ke14 yang lalu. PAS walaupun gagal memenangi Putrajaya, tetapi ia telah berjaya menjadi sebuah parti yang lebih kuat berbanding sebelum ini.

PAS kembali menguasai Terengganu di samping mengekalkan Kelantan dengan kemenangan yang meyakinkan. PAS juga hampir menawan kembali Kedah, selain turut menang lebih besar di Pahang. PAS mempunyai wakil hampir di semua DUN negeri di seluruh Malaysia. Paling nyata, menguasai 18 kerusi Parlimen walaupun bergerak dengan gabungan parti-parti kecil (GAGASAN) adalah kejayaan yang belum pernah dicapai oleh PAS sebelum ini. Ia adalah kekuatan yang diakui oleh ramai pihak.

Rakyat mahukan Islam

Saya mengingatkan kerajaan PH agar melihat kejayaan PAS tersebut sebagai satu isyarat nyata daripada rakyat Malaysia yang cintakan Islam dan mahukannya menjadi asas kepada kehidupan dan pemerintahan negara. Ia adalah suara yang benar yang perlu dihormati dan diberi ruang secara demokratik untuk terus berkembang tanpa halangan yang tidak berasaskan keadilan dan hak.

Itulah antara butiran awal ucapan perbahasan saya yang terpaksa dicatukan dan diringkaskan akibat ruang masa yang terhad. Masa yang berbaki saya gunakan seadanya untuk menyentuhkan beberapa butiran utama berkaitan politik dan demokrasi yang perlu ditambah baik sebagaimana ianya diperjuangkan secara bersama oleh parti-parti pembangkang yang tidak pernah berpuas hati dengan tahap demokrasi yang lemah dan gagal pada zaman pemerintahan kerajaan tersahulu.

Kerajaan PH mestilah bertanggung jawab menunaikan amanah dan janji mereka untuk sebuah kehidupan rakyat yang lebih baik dan merdeka yang bersedia melakukan perubahan tanpa rasa takut dan tertekan. Parti-parti pembangkang mestilah diberi hak demokrasi yang sebenarnya. Kita bersetuju bahawa di negara-negara maju, tiada parti-parti politik yang diwakili rakyat watan yang dipinggirkan akibat perbezaan ideologi dan pandangan.

Hari ini, Malaysia adalah Malaysia baharu. Di sebalik perdebatan yang hangat di antara sesama rakyat, biarkan ia berlangsung dalam ruang udara yang segar dan sejahtera. Itulah yang diimpikan oleh seluruh kita.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo