Khamis – Itali mengisytiharkan darurat selama 12 bulan, susulan tragedi besar Jambatan Morandi di lebuh raya di tengah bandar Genoa, yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 39 orang.
Perdana Menterinya, Giuseppe Conte mengesahkan kerajaan akan membatalkan kontrak pemegang konsesi jambatan itu, Autostrade, syarikat pembinaan jalan raya Itali dari unit kumpulan Atlantia.
Autostrade adalah firma swasta yang bertanggungjawab mengendalikan dan menyelenggara jambatan dan lebuh raya bertol A10.
"Dalam satu mesyuarat kabinet yang diadakan, kerajaan mengisytiharkan darurat selama 12 bulan dan menyediakan peruntukan bernilai lima juta Euro (RM23.4juta) untuk tabung kecemasan kebangsaan," katanya.
Difahamkan 12 mangsa masih hilang, 15 cedera parah dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi Selasa, apabila struktur jambatan runtuh dari ketinggian 80 meter.
Conte turut meluahkan rasa dukacita dengan tragedi yang berlaku, yang dianggap paling tragis.
"Tragedi ini tidak dapat diterima dalam masyarakat moden dan kerajaan akan melakukan segala-galanya untuk mencegah perkara ini daripada berlaku.
"Kami sudah mengumumkan bahawa kami akan memulakan proses membatalkan konsesi Autostrade," katanya.
Jambatan Morandi itu dibina pada tahun 1960-an, ia merupakan laluan penting bagi penduduk tempatan kerana menghubungkan Riviera dengan Perancis. – Agensi
No comments
Post a Comment