Oleh : MUHAMMAD AMMAR MUBASSYIR
SIK - Penduduk dari tiga kampung merayu kerajaan negeri mencari alternatif terbaik bagi menyelesaikan isu pengambilan tanah mereka bagi projek Skim Pemindahan Air Jeniang.
Ia melibatkan Kampung Kota Bukit, Kampung Tala dan Kampung Langguk dalam Dun Jeneri.
Difahamkan, projek berkenaan diluluskan kerajaan terdahulu lebih 10 tahun lalu, namun beberapa kali ditangguhkan namun ura-ura mengatakan projek itu akan kembali dilaksanakan.
Penduduk Kampung Kota Bukit, Zulkifli Baharom, 33, berkata, sebanyak 26 rumah melibatkan 35 lot tanah bakal dirobohkan bagi projek fasa 1.
Menurutnya, lima rumah kini telah dirobohkan dan keluarga terlibat terpaksa berpindah ke kawasan lain.
“Lima telah dirobohkan melibatkan Kampung Kota Bukit. Rumah di Kampung Tala dan Kampung Langguk belum dirobohkan,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.
Terdahulu, dua wakil Exco Industri dan Pelaburan Kerajaan Tempatan Perumahan bertemu penduduk bagi membantu mencari jalan penyelesaian.
Zulkifli berkata, tiada notis pengambilan diberikan kepada penduduk.
“Sebelum ini depa bawa masuk jentera dan terus tolak tanah. Tak ada pun notis pengambilan. Bila tanya, wakil kontraktor cakap tak ada notis.
“Penduduk juga cuma dibayar RM2.40 hingga RM3 sekaki persegi. Kami cadang harga sekaki persegi ialah RM8,” katanya.
Menurutnya, notis hanya diberikan selepas wakil penduduk mengadakan pertemuan dengan menteri berkaitan.
“Bila penduduk dah kacau, jumpa menteri baru depa kalut nak bagi notis. Itupun bagi sebulan saja, mana cukup sekurang-kurangnya kena tiga bulan.
“Setahu kita di bawah Akta Pengambilan Tanah, ada borang K dan J. Jadi kami tunggu borang tu,” katanya.
Katanya, mereka juga hanya menerima notis tersebut pada 23 Julai lalu sedangkan tarikh surat dikeluarkan ialah 17 Julai lalu.
“17 Ogos ini genap tempoh sebulan surat dikeluarkan dan tanah kami akan diambil,” katanya.
Raya terakhir di rumah
Penduduk, Salbiah Mahmud, 58, dari Kampung Langguk berkata, tanah keluarganya seluas 0.719 hektar terlibat dengan pengambilan tersebut.
“Tanah dan rumah makcik akan diambil. Setuju atau tak, depa dah mula tolak pokok di kawasan tu.
“Pokok-pokok tu baru ja ditebang, sebulan pun tak sampai,” katanya.
Menurutnya, dia sekeluarga masih sempat mendiami rumah berkenaan hingga hujung bulan ini.
“Ni raya Aidiladha terakhir la makcik dan keluarga di rumah tu. Selepas ni, kami pun tak tau nak pindah pi mana,” katanya.
Bimbang pengambilan fasa kedua
Penduduk Kampung Kota Bukit, Salasiah Mohd Nor, 68, berkata, tanahnya dan keluarga seluas 1.15 hektar bergeran bakal terlibat bagi projek fasa kedua.
Menurutnya, ia satu-satunya tanah keluarga yang diwarisi.
“Di situ ada rumah makcik dan dua rumah anak. Semuanya nak diambil termasuk kebun.
“Asal tanah ni kawasan hutan, waris keluarga yang buka dah lebih 100 tahun. Di mana kami nak duduk nanti. Setakat notis sebulan dua, kami nak lari mana?," soalnya.
Menurutnya, nilai pampasan tidak setimpal lebih merugikan penduduk.
“Setiap tanah ini ada pecahan nama-nama ahli keluarga lain, fasa dua belum ditetapkan harga, tetapi fasa satu pun orang kampung dibayar hanya RM 2.40.
“Jika banyak tu berapa sangat kami akan dapat?. Tanah la ni serelung (0.29 hektar) pun dah ratus ribu. Mana cukup,” katanya.
Penduduk turut membandingkan harga bayaran bagi projek di kampung mereka dengan pembinaan jambatan di Kampung Gajah Putih.
Kata Salasiah, penduduk di Kampung Gajah Putih menerima bayaran RM6 bagi sekaki persegi bagi projek pembinaan jambatan sedangkan jarak di antara kampung itu berhampiran.
Tambahnya, jika projek tetap mahu dijalankan, kerajaan negeri perlu menyediakan pampasan setimpal termasuk penempatan seperti mana penduduk terlibat projek empangan Tasik Beris.
Penduduk Kampung Kota Bukit, Muhammad Ridzuan Baharom, 40, berkata, pengambilan fasa kedua dipercayai melibatkan lebih banyak rumah penduduk.
“Saya dengar mungkin rumah terlibat hingga 57 rumah, sampai ke kawasan Padang Lembu,” katanya.
Penduduk, Umi Khalsom Abdul Halim,48, berkata, rumah di atas tanah terlibat projek itu dihuni bersama suami dan empat anak.
“Jika nak ambil juga tak tau lah nak kata apa. Jika akhirnya kerajaan tetap ambil, harap bayaran dibuat tu berpatutan,” katanya.
Rujuk Akta Pengambilan Tanah 1960
Sementara itu, Adun Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan diharap dapat membayar pampasan berpandukan kaedah penentuan pampasan berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Penduduk juga boleh jurunilai swasta di peringkat awal. Jika tidak puas hati juga, penduduk boleh buat bantahan di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, dalam undang-undang pengambilan tanah, dua perkara akan dinilai iaitu tanah dan struktur binaan.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan undang-undang sama, kerajaan tidak boleh membayar nilai struktur apa-apa binaan sekiranya tidak dituntut penduduk.
“Jika tidak boleh terima bayaran seperti dikehendaki, perkara seperti ini boleh menambah nilai kepada tuan tanah,” katanya.
Beliau berkata, projek sedang dilaksanakan ini mempunyai prosedur berbeza dengan projek Empangan Tasik Beris.
“Projek itu melibatkan pinjaman dari Jepun. Polisi negara tersebut penduduk terlibat dibayar pampasan dan diberi rumah ganti.
“Bagi projek seperti ini, tidak ada polisi seperti itu,” katanya.
No comments
Post a Comment