Oleh Razif Rosli
cnews@nstp.com.my
BATU GAJAH: Persoalan parti mana yang akan disertai bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Hamidah Osman terjawab selepas beliau mengumumkan penyertaannya ke parti politik baharu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).
Hamidah yang pernah menjadi Ketua Penerangan Wanita UMNO, berkata sudah sampai masanya beliau meneruskan perjuangan dalam wadah baharu sebagai alternatif kepada parti sedia ada di negara ini dan tidak akan menyertai semula UMNO.
"Saya akan terus berjuang dan bekerja untuk rakyat menerusi platform politik yang baharu, sebaliknya bukan hanya bermain politik untuk meraih keuntungan.
"Kena faham tindakan saya bertukar parti bukan disebabkan jawatan, kedudukan atau material, sebaliknya berasaskan keadaan tertentu," katanya pada sidang media di rumahnya di Kampung Sungai Terap dekat sini hari ini.
Jumaat lalu, tular di laman media sosial surat yang menyatakan penarikan balik pemecatan Hamidah diputuskan Jwatankuasa Panel Rayuan Lembaga Disiplin UMNO Malaysia dan dipersetujui Majlis Tertinggi (MT) parti itu yang bersidang 27 Julai lalu.
Surat itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bertarikh 7 Ogos lalu.
Pada November 2015, bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemecatan Hamidah daripada UMNO selepas mendapat keputusan sebulat suara oleh MT parti berkenaan.
Hamidah yang pernah menjadi EXCO Kanan kerajaan negeri sebelum itu lantang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri dan mendesak Najib meletak jawatan, selain mempersoalkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mengulas lanjut, Hamidah mengakui pernah membuat rayuan kepada UMNO pusat untuk menyertai semula parti itu sebelum ini namun tiada kata putus berhubung rayuannya itu.
"Lebih dari tiga bulan saya tidak mendengar sebarang berita status rayuan saya dan saya jangka ia tidak berhasil hinggalah Presiden penaja parti PUTRA, Datuk Ibrahim Ali mengajak saya menyertai PUTRA dan menjadi salah seorang penaja.
"Malah, surat penarikan pemecatan itu juga saya ketahui selepas tular di laman sosial, keesokan harinya barulah saya terima namun keputusan telah saya buat untuk sertai PUTRA," katanya.
Hamidah berkata, UMNO memerlukan pemimpin yang ada kredibiliti dan integriti bagi mengembalikan kekuatan parti, selain mengetepikan pemimpin terpalit dengan sebarang skandal.
"Selepas pemilihan UMNO lalu, saya tidak nampak UMNO akan jadi parti pembangkang yang kuat kerana masih dibayangi oleh barisan pimpinan lama dan perubahan yang rakyat harapkan tidak dapat dizahirkan.
"Berbanding PUTRA, ia parti baharu dan pimpinan yang bersih atau tidak terpalit dengan apa sahaja isu, PUTRA ditubuhkan membawa agenda menjaga kepentingan umat Islam dan kaum Melayu di samping mempertahankan Perlembagaan Persekutuan," katanya.
No comments
Post a Comment