NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Azmin tidak bertanding Ketua Cabang Gombak


SHAH ALAM – Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Anggota Parlimen Gombak Datuk Seri Azmin Ali tidak bertanding untuk jawatan Ketua Cabang PKR Gombak buat pertama kalinya sejak memenangi jawatan tersebut pada pemilihan 1998, kata Ketua Koordinator PKR Negeri Selangor Hassan Yusof.

Sebaliknya Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang akan bertanding untuk jawatan tersebut dan pencabarnya adalah Datuk Nizam Saad.

Beliau berkata hanya dua jawatan mencatat kemenangan tanpa bertanding iaitu Anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang kekal Ketua Cabang Ampang dan Salmah Ismail, kekal Ketua Wanita Cabang Ampang.


"Jumlah pendaftaran calon yang bertanding bagi peringkat cabang di Selangor juga meningkat lebih 20 peratus berbanding jumlah calon yang bertanding pada pemilihan lepas," katanya kepada Bernama di sini.

Tambah beliau lagi, jumlah kutipan yuran pencalonan bagi negeri itu adalah tertinggi iaitu sebanyak RM201,000 diikuti Sabah sebanyak RM169,000.

Sesi pencalonan pemilihan 22 cabang PKR Selangor di Dewan Teratai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini semalam berjalan lancar dengan kira-kira 2,200 borang pencalonan diterima untuk pelbagai jawatan.

Kaunter pendaftaran dibuka pada pukul 10 pagi dan ditutup pada pukul 5 petang tetapi pemprosesan pendaftaran masih diteruskan sehingga 6 petang.

Para calon, pencadang dan penyokong bagi cabang masing-masing juga dilihat telah menunggu seawal 7.30 pagi di luar perkarangan dewan tersebut.

Selangor adalah negeri terakhir melakukan pencalonan pemilihan dan pengundian akan diadakan bermula September sehingga awal Oktober di seluruh negara. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo