Pihak pembangkang “walkout” sebagai bantahan kepada pihak kerajaan dominasi DAP ini ekoran mereka gagal mematuhi Peraturan Urusan Mesyuarat 4(1) untuk menyediakan 2 (dua) minggu notis kepada Setiausaha Dewan Rakyat bagi tujuan perlantikan Yang Di Pertua Dewan Rakyat. (Rujuk Buku Peraturan Urusan Mesyuarat (Parlimen).
KUALA LUMPUR: Hampir semua ahli parlimen pembangkang keluar dewan susulan membantah perlantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, Dato' Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Speaker Dewan Rakyat ke-9 pada hari ini, menggantikan Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Ketua Whip PAS, Dato' Takiyuddin Hassan berkata pemilihan tersebut dibuat tidak mengikut prosedur yang dibenarkan.
"Bantahan tadi ni kerana peraturan tidak dipatuhi, Peraturan Mesyuarat 41 berhubung dengan pelantikan speaker itu tidak dipatuhi.
"Saya telah huraikan tadi, bagaimana insiden-insiden ataupun occation yang berupa fakta very factual yang menunjukkan bahawa tidak mungkin notis itu diberikan pada atau sebelum 2 Julai.
"Malangnya kita kecewa sangat kita tidak diberikan peluang untuk membangkitkan usul ini (point of order) kerana kita tidak boleh tunggu selepas lantik speaker, ini berkaitan dengan prosedur perlantikan mesti dibenarkan," katanya kepada media, di lobi utama Dewan Rakyat hari ini.
Tambah beliau, mungkin ada pihak yang akan cabar di mahkamah berhubung pelantikan tersebut.
"Sebab bila pemilihan, bukan pelantikan. Pemilihan Speaker itu pelantikan tersebut boleh dicabar di mahkamah melalui tafsiran Peraturan Mesyuarat 4(1) sama ada perlantikan tersebut bercanggah atau tidak dengan perlembagaan.
"Tak semestinya kita (ahli parlimen), orang yang ada kepentingan misalnya rakyat jelata pun ada kepentingan mereka memilih wakil rakyat, mereka mahu speaker dilantik secara sah," katanya.
Tambahnya, pihaknya akan tetap meneruskan angkat sumpah sebagai ahli parlimen demi membawa suara rakyat.
Beliau turut berkata, PAS akan tampil sebagai pembangkang yang proaktif bersama parti-parti pembangkang lain sepanjang sidang parlimen berlangsung.
"PAS akan mainkan peranan sebagai pembangkang yang proaktif. Atas nama pembangkang kami, PAS sebulat suara bersama dengan Umno, MCA, MIC dan mungkin pihak pembangkang yang lain kami akan bersama atas satu platform menjadi pembangkang yang konstruktif di dalam parlimen Malaysia," katanya yang merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu.
Namun begitu, tegas beliau, PAS tidak pernah terikat dengan BN dan masih kekal dengan pendirian sendiri dalam menyokong apa jua keputusan ke atas mana-mana usul yang akan dibahaskan nanti.
"Kita konsensus, parti yang mempunyai paling ramai ahli parlimen pembangkang, merekalah yang akan jadi Ketua Pembangkang.
"Walaupun kami menyokong kami tidak terikat dengan BN, kami boleh buat pendirian sendiri, kalaulah kata Ketua Pembangkang nak sokong satu-satu rang undang-undang kami tak nak sokong yang itu boleh, kami tidak terikat dengan mereka tapi kami sokong ia sebagai Ketua Pembangkang ini amalan demokrasi," jelasnya sebelum masuk semula ke Dewan Rakyat untuk meneruskan majlis angkat sumpah. – HARAKAHDAILY 16/7/2018
No comments
Post a Comment