09 Julai 2018 3:00 AM
DEMAM Piala Dunia 2018 masih belum kebah. Seluruh dunia bercerita tentang aura Piala Dunia - kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia yang diadakan empat tahun sekali itu. Apa lagi Piala Dunia 2018 kini memasuki minggu terakhir, semuanya cerita tentang bola.
Tidak terkecuali peminat di Malaysia. Masing-masing begitu ligat bercerita betapa hebatnya Piala Dunia. Jika pasukan yang menjadi dambaan hati, ceritanya sudah pasti 'berapi-api'. Bagi penyokong yang mana langkah pasukan pilihannya sudah terhenti, mereka juga tak mahu kalah dengan cerita-cerita sensasi.
Baik di pejabat, rumah mahupun kedai kopi, cerita Piala Dunia 2018 seakan-akan sudah tidak boleh diketepi. Tak kisahlah Malaysia tak layak 'pergi', asalkan pasukan kesayangan mereka ada di bumi Rusia, itu sudah memadai. Kata mereka: "Nak harap Malaysia main Piala Dunia tak tahu bila, jadi sokonglah pasukan luar negara."
Penulis sendiri juga tidak terlepas mengikuti Piala Dunia kali ini. Biarpun tidak mempunyai mana-mana pasukan kegemaran, penulis tetap 'ikut' cerita Piala Dunia 2018. Bukan apa, tak mahu nanti penulis diibaratkan seperti katak di bawah tempurung. Orang bercerita tentang bola sepak, penulis ternganga seribu bahasa.
Apa pun sekalung tahniah diucapkan kepada empat pasukan Eropah iaitu Perancis, Belgium, England dan Croatia. Tiket separuh akhir sudah ditempah, kini hanya dua langkah lagi sebelum mengecap kemasyhuran di puncak dunia. Peminat dan penyokong keempat-empat pasukan itu juga sudah pasti tak senang duduk.
Apa tidaknya, tiket separuh akhir sudah ada di tangan pasukan pilihan mereka. Inilah masanya nak 'membahan' kawan-kawan atau ahli keluarga yang lain. Bagi yang boleh terima, tiada masalah tetapi yang tak boleh terima, mungkin boleh jadi pergaduhan besar nanti.
Yang penting, semangat kesukanan dan kekeluargaan harus ada. Buat apa sampai nak gaduh-gaduh, tak ke mana pun. Ingatlah, yang menang tak menang semua, yang kalah tak kalah semua. Jangan sebab cerita bola Piala Dunia, kita lupa adab dan tatasusila sebagai kawan, ahli keluarga mahupun orang Melayu Islam.
Dalam kita sibuk bercerita tentang Piala Dunia, jangan leka kurang seminggu lagi kita umat Islam akan meninggalkan bulan Syawal. Hari ini, 25 Syawal bermakna kita kini sudah berada di penghujung bulan penuh kemuliaan. Masa berlalu cukup pantas, baru saja kita meninggalkan Ramadan, tidak lama lagi kita akan meninggalkan Syawal.
Jika Ramadan dikenali sebagai bulan penuh keberkatan dan keampunan, Syawal pula adalah bulan merapatkan silaturahim sesama kita. Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada kita yang mana Syawal dan sambutan Aidilfitri kali ini tidak jauh bezanya dengan tahun-tahun sebelumnya.
Sepanjang bulan Syawal ini, dapat kita lihat di mana-mana, kemeriahan rumah terbuka yang disulami amalan kunjung-mengunjungi dan ziarah-menziarahi antara ahli keluarga mahupun sahabat-handai, tak kira jauh dan dekat.
Bagi umat Islam, usaha merapatkan silaturahim adalah amat dituntut seperti mana firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 10: "Sebenarnya orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat."
Baginda Rasulullah SAW juga ada bersabda dalam hadis Riwayat Bukhari: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah ia menyakiti jirannya dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam."
Jelas di situ betapa Islam menitikberatkan hubungan silaturahim, bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga, bahkan juga jiran tetangga dan secara tidak langsung sahabat handai dan kenalan.
Apa pun, bersyukur kita tinggal di Malaysia - bumi bertuah ini yang tiada pergolakan dan peperangan. Bayangkan bagaimana umat Islam Palestin di Gaza, rakyat Syria dan penduduk Rohingya di Myanmar mengharungi bulan Ramadan dan Syawal.Mereka dibelenggu dengan peperangan, penderitaan, ditimpa pelbagai musibah, kemiskinan dan bermacam-macam lagi.
Menjelang berakhirnya Syawal tahun ini, sama-samalah kita mengungkap pengertian Syawal. Pentingnya usaha merapatkan silaturahim secara berterusan, bukan terhad kepada mana-mana tempoh masa dan berdoalah semoga kita diberi peluang meraikan Syawal di tahun hadapan pula, Insya-Allah.
Salam Aidilfitri penulis ucapkan.
No comments
Post a Comment