UMNO dan PAS tidak boleh bergabung bagi membentuk satu parti Melayu dan Islam kerana kedua-duanya itu perlu memainkan peranan masing-masing demi kesejahteraan rakyat.
Pengarah Penyelidikan PAS Pusat Dr Zuhdi Marzuki berpendapat, peranan kedua-dua parti itu sudah berubah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu apabila parti berkenaan berjaya membentuk kerajaan di beberapa negeri.
Menurutnya, PAS dan UMNO perlu berperanan sebagai kerajaan dan pembangkang serta berfungsi untuk menyemak dan mengimbang sebarang dasar yang dilaksanakan peringkat negeri.
“Di Kelantan dan Terengganu, PAS adalah kerajaan manakala UMNO adalah pembangkang. Sama juga di Pahang, UMNO adalah kerajaan.
“Sekiranya kedua-dua parti ini bergabung, siapa yang akan main peranan sebagai pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya ketika menjadi panelis dalam forum ‘Masa Depan Islam Di Bawah Pakatan Harapan’, di Shah Alam, Sabtu malam.
Forum anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) itu menampilkan Pakar Perlembagaan dan Exco Kerajaan Negeri Perak Prof Dr Aziz Bari; Penasihat Umum Parti Amanah Negara (PAN) Ahmad Awang serta Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Sementara itu, Zuhdi dan Asyraf Wajdi sependapat bahawa semua Ahli Parlimen yang beragama Islam perlu bersepakat dan bersatu padu sekiranya ia membabitkan soal perkembangan agama itu di negara ini.
Asyraf berkata, bajet yang besar disalurkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini tidak boleh dipersoalkan kerana sebahagian besarnya digunakan bagi membayar elaun dan gaji guru-guru KAFA, imam serta guru agama di setiap negeri.
“Bajet untuk ini jangan dikurangkan untuk perkasakan Islam di negara ini, malahan beberapa aspek perlu ditambah baik di masa depan.
“Saya berpendapat masa depan Islam bergantung sepenuhnya kepada umat Islam itu sendiri, termasuk juga pemimpinnya, dan sebab itu semua Ahli Parlimen tidak kira daripada pembangkang mahu pun kerajaan perlu bersepakat apabila ia membabitkan soal agama Islam,” katanya.
Wartawan Watan-Online
No comments
Post a Comment