SHAH ALAM - Umno dinasihatkan memfokuskan kepada pemulihan parti berbanding meneruskan niat bertanding di PRK Sungai Kandis dengan menggunakan logo parti berkenaan.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, cadangan bertanding di Dun Sungai Kandis berkenaan, menggunakan logo sendiri mempunyai pro dan kontranya.
Menurutnya, cadangan berkenaan mampu digunakan untuk menilai sejauh mana populariti Umno dalam kalangan pengundi umumnya selepas PRU14.
Andai tewas katanya, Umno pasti berdepan dengan implikasi yang lebih besar.
“Sebelum ini dikatakan BN tidak popular tapi Umno popular. Apabila tidak menggunakan logo BN, ini dapat memberikan refleks ukuran sebab Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yakin logo Umno lebih popular dari BN.
“Namun, jika undi menurun di PRK Sungai Kandis, ini memberi implikasi dari segi imej, kredibiliti, dan persepsi terhadap Umno itu sendiri. Ini masa untuk fokus pemulihan parti. Belum sampai 100 hari sudah nak kalah lagi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Awang Azman juga tidak menolak kemungkinan Umno dan Pas tidak bertanding dalam PRK Dun Sungai Kandis.
Mengambil keputusan PRU14 lalu, beliau berkata, trend pilihan pengundi masih sama di tambah PKR meraih kemenangan dengan majoriti besar.
“Dari segi kewangan, berkempen, kita tahu sekarang ini banyak akaun Umno Bahagian sudah beku. Jadi terbatas,” katanya.
Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.
Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi Dun Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).
No comments
Post a Comment