NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu jana tenaga elektrik dari tenaga solar



KEMAMAN – Kerajaan negeri menerusi anak syarikatnya, Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Bhd berjaya menghasilkan sumber bekalan tenaga baharu ('renewable-energy') dengan siapnya Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 18.5 megawat (mw) di Teluk Kalong, di sini, sekali gus menjadi loji janakuasa solar terbesar beroperasi di negara ini sekarang.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek bernilai kira-kira RM86 juta membabitkan tapak seluas kira-kira 28.3 hektar itu telah beroperasi sejak 14 Januari 2018 lalu berjaya menghasilkan tenaga solar berkapasiti 18.5 mw.

Katanya, kejayaan EPIC Bhd mengeluarkan tenaga elektrik melalui teknologi kuasa solar itu adalah sebahagian daripada usaha serius kerajaan negeri untuk mencuba pelbagai kaedah baru bagi mempelbagaikan sumber pendapatan termasuk menjimatkan perbelanjaan negeri.


"Ia juga dapat memberi peluang kepada rakyat Terengganu menceburi bidang baharu seperti teknologi penggunaan kuasa solar dan angin seterusnya menjadi pengeluar tenaga itu pada masa hadapan.

"Kelebihan teknologi solar ini, kos penyelenggaraannya rendah. Untuk projek ini, EPIC Bhd dijangka meraih keuntungan berjumlah RM273 juta untuk kontrak selama 21 tahun," katanya pada sidang media selepas melancarkan secara rasmi loji janakuasa tenaga solar itu, hari ini.Loji janakuasa tenaga solar ini menjadi loji janakuasa solar terbesar di negara ini sekarang


Ahmad Samsuri berkata, penggunaan tenaga solar adalah percuma namun kerajaan negeri terpaksa membuat pelaburan yang agak tinggi dan ianya dapat membantu bidang industri yang ada di sekitarnya untuk mencipta pembangunan teknologi baharu.

Katanya, tenaga solar yang dihasilkan itu dijual kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan ia sekaligus dapat membantu kerajaan negeri mendapat sumber pendapatan baharu.

Menurut Dr Ahmad Samsuri, sebelum ini juga kerajaan negeri turut membuat pelaburan bagi mencuba mencari tenaga baharu seperti menggunakan teknologi daripada angin tetapi ianya agak kurang berjaya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Bhd, Noor Fadzil Mohamed Nor berkata, projek itu menjadikan EPIC Bhd melangkah setapak lagi ke hadapan dengan melibatkan diri dalam perkhidmatan pembangunan Stesen Janakuasa Solar Berskala Besar 'Photovoltaic' bagi mengetengahkan sumber tenaga baharu atau 'renewable-energy' menggunakan teknologi sumber tenaga hijau iaitu tenaga suria atau solar di pantai timur.

Katanya, secara keseluruhannya pencapaian dan kemajuan projek itu telah mencapai sasarannya.

"Dengan adanya loji janakuasa ini secara langsung akan memberi impak yang positif kepada Terengganu. Ini kerana projek solar ini merupakan sebuah model contoh dan teras bagi memacu pertumbuhan ekonomi apabila inovasi dalam bidang berkenaan dapat digunapakai oleh industri.

"Ia juga membawa manfaat kepada pengguna termasuk kilang, bangunan komersial, pentadbiran dan juga perumahan penduduk," katanya lagi.

Noor Fadzil berkata, penubuhan sebuah syarikat usahasama EPIC Solar Sdn Bhd iaitu antara EPIC Bhd dan MIE Industrial Sdn Bhd telah berjaya memperoleh lantikan oleh Suruhanjaya Tenaga bagi melaksanakan projek itu bagi pusingan pertama.

MIE Industrial Sdn Bhd merupakan syarikat pembekal perkhidmatan reka bentuk dan pembinaan bagi industri yang berkaitan minyak dan gas, penapisan dan petrokimia, kuasa dan oleokimia.

Katanya, dalam projek itu, MIE Industrial Sdn Bhd bertindak sebagai 'Engineering Procurement Construction dan Commisioning' (EPCC) dan juga sebagai pembawa teknologi yang mempunyai kepakaran tinggi dalam pembinaan loji janakuasa tenaga solar itu.




Adakah PH mampu tunai janji 100 hari?

Ya
Tidak

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo