NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

SST 10% (Jualan) Dan 6% (Servis) Rakyat Dimangsakan!"


1.     Keputusan mengenakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mengesahkan kerajaan yang diterajui PH tandus idea dari mengemukakan penyelesaian ke arah meringankan beban rakyat. Juga menunjukkan PH kontang pendekatan menjana ekonomi. Rakyat masih juga menjadi 'sasaran empuk' kepada pemerintah untuk 'menanggung' keperluan negara.

2.     Keadaan demikian tiada bezanya PH dengan BN yang memerintah sebelum ini. Sewajarnya kerajaan selaku kepimpinan kepada rakyat membiayai keperluan dan pengurusan dengan segala hasil mahsul kekayaan negara. Malangnya, SST dikenakan ke atas rakyat bertujuan menampung negara.

3.     Sedangkan di dalam sistem pemerintahan Islam, negara berhak mengambil kepunyaan atau mengenakan cukai kepada rakyat hanya pada kedudukan darurat. Malah, prinsip percukaian Islam mengalirkan kemampuan atau lebihan pendapatan daripada golongan kaya kepada miskin, selain tidak berlegar kekayaan dalam golongan berada atau kroni sahaja.


4.     Itupun dengan kadar sangat minimum yakni 2.5 peratus serta cukup syaratnya yang adil. Kerana itu PAS menerusi Dokumen Hijau yang diterbitkan mengemuka solusi ke arah membebaskan rakyat dari himpitan bebanan sedemikian. Ia sekali gus mengatasi masalah dispariti atau kesenjangan pendapatan yang sangat ketara dalam kalangan rakyat.

5.     SST yang bakal dikuatkuasakan semula 1 September depan dilihat lebih menjerut leher rakyat. Dengan kadar 10 peratus bagi jualan dan 6 peratus atas perkhidmatan, ia bagai mimpi buruk kepada rakyat. Apatah lagi ianya selepas memberi 'isyarat menolak' Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berkadar 6 peratus hingga menjatuhkan BN menerusi undi PRU14.

6.     Sudahlah kadar sifar peratus GST tidak menzahirkan signifikan pengurangan harga barang dan perkhidmatan, dihadirkan kembali SST pasti menjadi satu tekanan awam. Harga barangan dan perkhidmatan dijangka tetap melonjak setelah pula kenaikan tarif elektrik pada 1 Julai lalu. Kesan berangkai ini telah menjadi satu perkara yang pasti berlaku sebagaimana sebelumnya.

7.     Contohnya SST bagi jualan yakni 10 peratus walaupun dikenakan di peringkat pengilang dari kos awal pengeluaran, nilainya tetap lebih besar daripada GST 6 peratus. Setelah pula nanti ia melalui peringkat pemborong dan peruncit, akhirnya rakyat selaku pengguna jugalah yang akan terus menjadi mangsa menghadapi harga berganda.

8.     SST yang dihasratkan menjana perolehan kerajaan juga hakikatnya kabur berikutan risiko penipuan tanpa ia tertera di dalam resit urusniaga. Secara tidak langsung juga menyukarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia melaksanakan kutipan. Apakah nanti bila unjuran lebih rendah diperolehi maka kerajaan akan 'memeras' pula entiti seperti Petronas dan lain-lain?

9.     Jika begitu, segala perubahan berdegar-degar dilaungkan selama ini hakikatnya tidak ada yang 'Baharu', melainkan sekadar 'bertukar kulit' sahaja. Malah, segala olahan dilakukan oleh Kerajaan Malaysian Malaysia yang dibayangi DAP ini tidak lebih seperti kata orang Utara Malaysia "Pi mai pi mai tang tu" atau seperti "Kata dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih".

"Sejahtera Bersama Islam"
"Mara Menuju Cita"

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN ialah Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo