NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

SOSMA: Pinda bukannya mansuh - Ahli Akademik



Dr Muhammad Fathi Yusof
24 Julai 2018

Saya dan rakan-rakan ada terlibat dengan satu penyelidikan yang berkaitan dengan isu keganasan. Beberapa bulan lepas kami berpeluang membuat temubual dengan tahanan-tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Saya melihat bahawa isu penglibatan segelintir rakyat Malaysia dalam kegiatan keganasan adalah satu realiti. Ada yang fikirannya yang telah diracuni hingga sanggup membunuh atas dorongan kepercayaan palsu dan kefahaman songsang tentang perjuangan, politik dan penentuan status keagamaan.

Baru-baru ini timbul cadangan untuk menghapuskan SOSMA. Akta ini secara asasnya bertujuan untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat dengan kesalahan yang menjejaskan keselamatan termasuklah keganasan. Akta ini juga mempunyai kaitan rapat dengan POTA atau Akta Pencegahan Keganasan 2015.

Beberapa peruntukan akta ini menjadi kritikan kerana beban pembuktiannya adalah longgar berbanding pengendalian kes jenayah lain. Maksudnya seorang yang disyaki lebih mudah ditangkap, didakwa dan disabitkan salah walau pun buktinya lemah. Oleh itu, timbul persoalan, adakah akta ini zalim dan perlu dimansuhkan.

Pada pendapat saya, akta ini perlu dipinda bukan dihapuskan. Pindaan ini perlu dibuat bersama-sama dengan usaha penambahbaikan berasaskan tiga aspek berikut:

(1) Perlu wujud sekatan agar akta itu tidak digunakan untuk tujuan politik atau apa-apa tujuan yang berkaitan tidak berkaitan dengan masalah keselamatan dan keganasan. Penahanan Dato’ Seri Paduka Khairuddin Abu Hassan, Encik Mathias Chang dan YB Puan Maria Chin Abdullah di bawah SOSMA sebelum ini jelas menunjukkan salah guna akta untuk tujuan politik. Sekatan sedia ada dalam akta belum cukup jelas untuk menghalang salah guna akta untuk kepentingan politik dan peribadi.

(2) Tempoh tahanan pencegahan perlu disingkatkan kepada 14 hari, dan jika ingin dilanjutkan, ia perlu melalui proses permohonan ke mahkamah dengan alasan-alasan yang wajar. Tertuduh perlu diberikan hak untuk membela diri dan mendapat khidmat peguam.

(3) Pihak berkuasa yang terlibat dalam penguatkuasaan SOSMA dan juga POTA perlu mempunyai ilmu serta kefahaman yang betul berkaitan keganasan. Usaha penyelidikan dan risikan berkaitan keganasan perlu lebih maju bagi memastikan tidak berlaku kesilapan dalam membuat penangkapan dan penahanan. Proses membuat kategori dan tahap penglibatan keganasan juga perlu tepat agar pesalah dapat disalurkan kepada hukuman dan proses pemulihan yang terbaik.

(4) Program pemulihan tahanan perlu dilaksanakan secara lebih menyeluruh, teliti, dan strategik. Aspek kefahaman agama, bimbingan rohani dan tasauf, pembangunan dalam aspek psikologi, pembinaan kehidupan dan persekitaran baru dan pandangan alam yang betul tentang hakikat kehidupan perlu diberikan perhatian. Kesilapan dalam menentukan punca kecenderungan keganasan—seperti misalnya terlalu menumpukan kepada soal perbezaan aliran pemikiran dalam Islam—menyebabkan pihak berkuasa gagal menyelami punca sebenar yang mendorong kepada isu keganasan.

(5) Peningkatan bilangan sumber manusia yang terlibat dalam usaha pemulihan serta pembangunan prasarana yang lebih sesuai. Bilangan pembimbing agama dan kaunseling perlu ditingkatkan bagi memberikan bimbingan, pemantauan dan panduan yang lebih berkesan kepada pesalah keganasan di bawah SOSMA atau POTA. Prasarana yang lebih sesuai juga perlu dibina kerana mereka adalah banduan yang berlainan kerana mereka terlibat dalam jenayah berasaskan ideologi (ideological crime), bukannya jenayah konvensional. Kawalan dari sudut komunikasi, pergaulan dan pertemuan sesama banduan amat kritikal bagi mereka. Namun dalam masa yang sama mereka tidak boleh dinafikan hak untuk berkumpul serta terlibat dalam aktiviti yang sesuai.

Tegasnya, SOSMA yang diperkenalkan ini adalah jauh lebih baik berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). Bahkan SOSMA diperkenalkan bagi menggantikan ISA yang zalim dan kerap disalah gunakan oleh kerajaan untuk menangkap musuh-musuh politik. Memori kezaliman ISA seperi yang berlaku dalam operasi penangkapan pemuda PAS 1984, Operasi Lalang 1987, Operasi Kenari 1988 dan operasi aktivis reformasi 1998 adalah antara memori hitam kezaliman pemerintah terhadap rakyat. Penghapusan ISA dan penggantiannya dengan SOSMA adalah sebahagian dari usaha untuk mengawal dan mengurangkan kuasa kerajaan agar kezaliman dapat dihentikan.

Walau bagaimana pun isu jenayah yang melibatkan keselamatan negara memerlukan tindakan yang berbeza berbanding dengan jenayah lain. Dari aspek-aspek tertentu kerajaan perlu diberikan kuasa yang lebih untuk mengekang keganasan, namun kuasa itu perlu diseimbangkan agar tidak berlaku kezaliman. Ringkasnya, kita berharap kerajaan hari ini meminda SOSMA dan menambahbaik pelaksanaannya, tanpa perlu memansuhkannya. Kita tidak mahu negara kembali ke zaman ISA.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo