Bekas menteri penerangan, Tan Sri Rais Yatim berkata rakyat Malaysia kini gusar kerana harga barangan dan kos sara hidup tetap sama meskipun kerajaan telah bertukar.
Katanya, dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, Pakatan Harapan (HARAPAN) menjanjikan kenaikan kos sara hidup akan dapat diatasi sekiranya mereka berkuasa.
Bagaimanapun, Rais berkata keadaan hidup rakyat pada tetap sama sepeti sebelum PRU lalu.
“Harga barang tak dapat diturunkan, tahap kos kehidupan belum nampak berada di paras selesa, harga minyak sedang digusarkan oleh rakyat juga tidak ada turunnya. Malah tak ada ansurnya dari kerajaan yang dulu, kena lihat dari mereka berkuasa.
“Tentang tol yang dihujahkan oleh rakyat, (mereka kata) kami sudah bayar cukai jalan dan cukai jalan itu nilainya berbilion setiap tahun, adakah ini tak dapat diambil kira oleh kerajaan,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini, Khamis lalu.
Rais yang disebut-sebut antara calon speaker Dewan Rakyat berkata rakyat tidak kisah siapa yang menjadi anggota kabinet kerajaan baru asalkan kos sara hidup dapat diatasi dan mengecapi kehidupan yang selesa.
“Yang mereka kisah sama ada kehidupan itu bertambah selesa, keamanan wujud, berniaga mudah, interaksi dengan kerajaan dalam keadaan menggalakkan,” katanya.
Pada kempen PRU14, HARAPAN melalui manifestonya berjanji akan menangani kos sara hidup dalam masa 100 hari pentadbirannya antaranya menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Selain itu HARAPAN juga berjanji akan menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar serta menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum.
Kini masuk lebih 50 hari pentadbiran HARAPAN dan mereka sudah pun melaksanakan kadar sifar GST, 1 Jun lepas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail turut berkata hasil kajian pihaknya yang mendapati 70 peratus barangan pengguna mengalami penurunan harga sejak pelaksanaan kadar sifar GST.
Bagaimanapun pelbagai pihak mempersoalkan kenyataan Saifuddin itu termasuk Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Sufian Hamdan yang mendesak menteri berkenaan mendedahkan laporan kajian supaya rakyat dapat membuat perbandingan dengan realiti harga di pasaran.
Saifuddin bagaimanapun mempertahankan hasil kajiannya selain pemantauan oleh penguat kuasa KPDNHEP selama sebulan, beliau sendiri dimaklumkan mengenai perkara itu oleh peniaga ketika melakukan tinjauan termasuk di Pasar Bayan Baru, di George Town.
Sementara itu, Rais berkata menteri berwajib dalam HARAPAN seharusnya berterus terang kepada rakyat berkaitan kos sara hidup termasuk kewangan negara.
“Kita kena berterus terang dengan apa yang diluahkan sebenarnya berada di tahap rakyat hari ini, saya rasa keadaan paras kedudukan kewangan negara, pertukaran wang menampakkan matawang Malaysia turun, ini pun menjadi isu kepada rakyat biasa.
“Perlu juga menteri kewangan banteras keadaan ini kepada munasabah dan tak boleh dikatakan faktor itu ini sebab masa kita berkempen dulu, kita kata menang sahaja esok minyak turun, menang sahaja, esok tol mula kita redakan kedudukannya, yang itu nampak belum berlaku,” katanya.
No comments
Post a Comment