PAS, selepas mengumumkan menarik diri daripada bertanding di PRK Sungai Kandis telah membuat satu lagi kenyataan yang jelas bahawa undi ahli PAS dan penyokongnya di Sungai Kandis adalah tidak kepada calon PH.
PAS juga dalam kenyataannya, tidak memberikan kata putus atau memestikan ahlinya mengundi calon BN yang diwakili oleh UMNO. Mengapa? Jawabannya, BN bukanlah rakan gabungan politik PAS dalam Gagasan Sejahtera. Jadi, tiada arahan wajib yang memestikan ahlinya mengundi UMNO BN.
Sebaliknya, PAS yakin dengan kebijaksanan ahlinya di dalam membuat pilihan dan mengundi yang terbaik. Petunjuknya adalah;
1) Mengundi adalah satu kewajiban demi kebaikan negara yang memerlukan pemimpin yang baik untuk menerajuinya. Justeru PAS menyeru ahlinya agar keluar mengundi.
2) Arahan PAS adalah menolak kerajaan PH. Sikap dan pendirian PAS terhadap PH adalah sama, samada sebelum atau selepas PRU14, iaitu menolak PH. Bagi PAS, PH bukanlah pilihan terbaik untuk menggantikan BN. Keadaan ekonomi dan sektor-sektor lain yang tidak stabil selepas PRU14 semakin membuktikan benarnya pendirian PAS.
3) Kegagalan awal kerajaan PH untuk mengotakan janji-janji awal manifestonya, beberapa kenyataan oleh pemimpin utamanya yang berbelit-belit bagi menjustifikasikan kegagalan mereka mengotakan janji manifesto tersebut, kegagalan mengawal prestasi ekonomi negara yang semakin perlahan, selain tindakan dan kenyataan demi kenyataan oleh para pemimpinnya yang mengelirukan dan boleh menggugat kerukunan perlembagaan dan agama Islam adalah menjadi hujah untuk rakyat menolak kerajaan PH hari ini.
4) Kehendak PH untuk menawan Kelantan dan Terengganu dalam PRU akan datang adalah jelas melalui ucapan beberapa pemimpin utamanya. Mengundi PH bererti menyuburkan dan membengkakkan lagi nafsu PH untuk mengalahkan PAS. Ertinya, ahli PAS mengundi PH adalah tindakan menikam diri sendiri. Ia tertolak.
5) UMNO telah hilang nafsunya untuk mengalahkan PAS. Tiada kenyataan yang zahir dan tindakan yang nyata oleh para pemimpin utamanya yang menunjukkan sedemikian. Ertinya, UMNO bukan lagi ancaman yang utama kepada PAS hari ini. Malah, beberapa petunjuk baru menunjukkan UMNO berusaha memperbaiki hubungannya dengan PAS. PAS amat mengalukannya.
Ada yang berhujah menghentam PAS dengan berkata, PAS berusaha menghidupkan UMNO. PAS hanya bersandiwara, kata mereka.
Saya berkata, PAS menghidupkan UMNO dengan memberi kesedaran kepada UMNO dengan Islam. UMNO adalah abang PAS yang lama lupa diri akibat terlalu lama di anjung kuasa. Kesedaran UMNO adalah kekuatan kepada PAS untuk memastikan Islam lebih berdaulat di bumi ini. Islam memerlukan umatnya sendiri untuk bangkit mempertahankan agamanya.
Jika anda bertanya, tidakkah sudah jelas difahami bahawa PAS mendorong ahlinya mengundi UMNO? Saya jawab, Ya, di PRK Sungai Kandis. Itulah yang saya fahami.
#Istiqamah
#PRKSungaiKandis
Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz ialah AJK PAS Pusat
No comments
Post a Comment