Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis merupakan penanda aras terhadap perjalanan sistem pilihan raya di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Pemangku Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Shahrul Aman Mohd Saari berkata, pihaknya berharap PRK Sungai Kandis berjalan dengan bersih serta adil, termasuk tiada lagi penyalahgunaan jentera kerajaan bagi kepentingan pihak tertentu.
“PRK pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal mempengaruhi perjalanan PRU dan PRK dalam tempoh masa akan datang.
“PRK Sungai Kandis perlu menjadi model pilihan raya serta tidak mengulangi salah guna kuasa serta penyelewengan yang berlaku pada PRU-14 serta pilihan raya sebelumnya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersih 2.0 di Pusat Perniagaan Avenue 8 di Subang Jaya pada Rabu.
Dalam pada itu, Shahrul Aman berkata, pihaknya akan memantau perjalanan PRK Sungai Kandis bermula tarikh penamaan calon pada 21 Julai hingga tarikh pengundian 4 Ogos nanti.
“Antara perkara yang dipantau adalah rasuah dan pembelian undi, penjamuan dan pemberian hadiah; bantuan dan pemberian tidak wajar kerajaan; penggunaan jentera kerajaan dalam berkempen; perbelanjaan berlebihan atau majlis mewah; intimidasi, keganasan dan gangguan.
“Selain itu sikap berat sebelah oleh institusi awam; masalah undi awal dan undi pos; masalah daftar pemilih dan masalah ketika hari pengundian,” katanya. - Wartawan Watan-Online
No comments
Post a Comment