Seramai 1,200 pegawai dan anggota polis Selangor akan ditugaskan bagi mengawal perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, bermula Sabtu ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihak polis akan berkerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses penamaan calon, kempen serta hari pengundian berjalan lancar.
“Pegawai dan anggota polis hanya melibatkan keanggotaan dari negeri ini sahaja. Buat masa ini jumlah keanggotaan adalah cukup tanpa memerlukan bantuan polis dari negeri lain.
“Setakat ini pihak polis tidak melihat apa-apa masalah atau kemungkinan berlaku pertembungan melibatkan penyokong parti yang boleh menjejaskan kenteraman awam,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan di Perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam pada Selasa.
Mazlan berkata, pihaknya turut menguatkuasakan larangan penggunaaan dron terhadap semua parti bertanding pada PRK Sungai Kandis.
“Polis akan merampas dron yang digunakan. Polis ada undang-undang khas melarang penggunaan dron dan kita tidak teragak-agak mengambil tindakan,” katanya.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia akibat kanser limfoma.
Berikutan itu, SPR menetapkan 21 Julai ini sebagai hari penamaan calon serta 4 Ogos depan sebagai hari pengundian.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis dengan majoriti 12,480 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu Datuk Kamaruzzaman Johari daripada Barisan Nasional (BN), Mohd Yusof Abdullah (PAS) dan Hanafiah Husin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Wartawan Watan-Online
No comments
Post a Comment