ST PETERSBURG – Belgium melakar penamatan Piala Dunia terbaik selepas gol menerusi Thomas Meunier dan Eden Hazard memastikan kemenangan 2-0 ke atas England pada penentuan tepat ketiga di St Petersburg, sebentar tadi.
Meunier yang tidak beraksi di separuh akhir ketika pasukannya kalah di tangan Perancis gara-gara penggantungan, menjaringkan gol pada minit keempat sebelum Hazard memastikan kemenangan pada hujung permainan sekali gus membolehkan mereka mengatasi pencapaian tempat keempat yang dicipta pada edisi 1986.
Belgium menewaskan England dua kali dalam tempoh dua minggu selepas menamatkan kemarau 82 tahun dengan mengalahkan seteru sama 1-0 di peringkat kumpulan.
“Ia adalah mengenai pencapaian. Ini adalah catatan terbaik Belgium di Piala Dunia. Pemain berhak menang dan mereka mahu membanggakan negara,” kata jurulatih Belgium, Roberto Martinez.
England yang dikendalikan Gareth Southgate pula sekadar menyamai catatan terbaik skuad 1990 mereka di Piala Dunia yang diadakan di luar negara.
“Kami sudah melakukan yang terbaik. Belgium pasukan lebih bagus. Saya tidak boleh menyalahkan rakan-rakan, kami sudah memberikan segala-galanya,” kata kapten England, Harry Kane.
Penyerang Tottenham masih lagi muncul pemain pilihan untuk memenangi anugerah Kasut Emas dengan enam gol tetapi pada masa sama mengaku kecewa apabila gagal menjaringkan gol sepanjang tiga aksi terakhir England.
“Ia membuktikan kami mengharungi peringkat kumpulan dengan baik dan menjaringkan banyak gol. Secara jujurnya, saya kecewa kerana gagal menjaringkan gol pada baki permainan,” katanya.
“Jika saya menang anugerah itu, ia memang boleh dibanggakan.”
Southgate melakukan lima perubahan ke atas pasukan yang dikalahkan 1-2 oleh Croatia di separuh akhir manakala England menurunkan pasukan termuda dalam sejarah Piala Dunia mereka dengan purata usia 25 tahun 174 hari.
Phil Jones, Danny Rose, Eric Dier, Fabian Delph dan Ruben Loftus-Cheek semuanya diturunkan manakala Martinez memasukkan Meunier selain Youri Tielemans.
Pertahanan Paris Saint-Germain, Meunier pantas memecah kebuntuan dengan meletakkan Belgium di depan hasils erangan yang dimulakan Romelu Lukaku.
Penggempur Manchester United itu membuat hantaran kepada Nacer Chadli yang memperdayakan pertahanan England sebelum menghantar bola yang disudahkan Meunier.
Jordan Pickford melayangkan badannya untuk menghalang rembatan Kevin De Bruyne tidak lama kemudian dan penjaga gol Everton itu sekali lagi bertindak bijak dengan mendakap bola yang terkena Kieran Trippier.
England mula menyesuaikan diri tidak lama kemudian dan tandukan Loftus-Cheek pada minit ke-15 menuju tepat ke arah Thibaut Courtois.
Kane berpeluang mengatasi catatan Gary Lineker selaku pemain England yang paling banyak menjaringkan gol pada satu edisi Piala Dunia tetapi rembatannya hasil hantaran Raheem Sterling tersasar.
Toby Alderweireld – seorang daripada enam pemain Tottenham di atas padang – melakukan percubaan tetapi rembatannya hasil hantaran Tielemans gagal menemui sasaran.
Eric Dier hampir mengikat kedudukan dan tolakan yang dilakukannya berjaya mengatasi Courtois tetapi Alderweireld berjaya mengeluarkan bola yang hampir melepasi garisan gol.
Ketika England asyik mengasak, gandingan De Bruyne dan Hazard pantas menghukum The Three Lions pada minit ke-82 untuk gol kedua Belgium. – AFP
No comments
Post a Comment