NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PH Janji, Kaji..Let It Be..


Oleh: SHAH ADYLL DADAMEAH 

SORAK-SORAI sudah reda. Bendera,panji dan poster yang mewarna-warnikan jalanraya, pagar,dinding dan tiang tepian sudah diturunkan.

Kerajaan persekutuan baru sudah dibentuk . Dr Mahathir Mohamad dan menteri-menteri yang dilantik sudah pun memulakan tugasan masing-masing.

Sementara itu, rakyat marhaen telah pulang balik ke tempat kerja atau ke kebun masing-masing untuk menghadapi hidup harian seperti biasa.

Namun suasana di bawah pemerintahan baru seolah-olah macam suasana kempen pihanraya umum (PRU) yang baru sudah; iaitu pihak Pakatan Harapan,yang merupakan blok pembangkang sebelum PRU, asyik mencari kesilapan lawan saja.

Dari hari pertama ia memerintah, kerajaan baru tak habis-habis menerkam mantan perdana menteri Najib Abdul Razak, hingga memerintah kediaman-kediaman beliau dan kepunyaan anak-pinak diserbu dan geladah.

Dr Mahathir Mohamad, selaku Perdana Menteri yang dilantik di bawah kerajaan Harapan, mahu segala perkara yang boleh dijadikan bukti penyalahan kuasa dan rasuah berkaitan dengan syarikat pelabuhan pelaburan 1MDB, dibongkarkan.

Namun, bukan setakat Dr Mahathir saja yang menunjukkan keinginan yang tinggi untuk membawa Najib ke muka penghakiman, Menteri Kewangan baru Lim Guan Eng juga nak tunjuk taring.

Maka, dengan kesibukan penyiasatan isu 1MDB ini, kerajaan baru macam terlupa keadaan rakyat marhean yang mengharapkan bantuannya dalam keadaan kesempitan hidupan seharian.

Harga barang keperluan meningkat; meresahkan isirumah dan keluarga yang sedang bersiap sedia untuk menyambut perayaan Aidil Fitri.

Namun, tiada suara dari menteri-menteri baru bagaimana kerajaan bercadang hendak mengurangkan beban ini ke atas pengguna.

Cuma ada khabaran bahawa kerajaan akan mencaari sesuatu penyelesaian dalam seminggu dua ini.

Sejak hari pertama Harapan memulakan peranan sebagai parti pemerintah, satu demi satu pegumuman dibuat mengenai beberapa pindaan kepada dasar-dasar yang sediada.

Menteri-menterinya dilihat keluar masuk bilik mesyuarat dan sidang media untuk memberi laporan awal mengenai tugasan masing-masing.

Itu pun kita tidak boleh menganggap kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh para menteri dan maklumat yang diberi itu benar dan akan pasti berlaku.

Mereka seolah-olah nak mengalihkan isu penderitaan rakyat dengan hanya menumpu kepada isu-isu berkaitan dengan Najib dan 1MDB.

Malah, Guan Eng ditegur oleh seorang penulis asing supaya beri perhatian kepada tugasan hariannya daripada berulang-ulang cakap pasal Najib dan 1MDB yang kini dalam penyiasatan..

Pada awalnya, sememangnya ramai yang mengikuti perkembangan di television yang mendedahkan serbuan ke atas beberapa kediaman di mana disimpannya wang tunai, barangan kemas dan beg tangan yang kesemuanya bernnilai berjuta ringgit.

Selepas dua minggu, kes itu tidak lagi menggegarkan dan rakyat mengambil sikap "jika siapa melakukan salah, terimalah hukuman."

Kini rakyat lebih mengingini maklumat yang penting tentang hidup harian mereka, iaiitu dengan pelbagai tindakan kerajaan,termasuk menyekat bantuan, memotong kos dan melucutkan jawatan ribuan pekerja, adakah ia akan membantu menurunkan kos barang seharian?

SALAHKAN CUACA PULA

Di tahun-tahun sudah kementerian yang menjaga kepentingan pengguna mengawal harga barang di pasar; malah,meletakkan harga siling agar tiada peniaga ambil kesempatan dengan menjual lebih daripada harga yang dianggap memadai.

Tapi, bila harga terlajak naik menjelang musim perayaan semua pihak – pembekal,peruncit dan pengguna – menuding jari ke parti pemerintah ketika itu, Barisan Nasional.

Barisan di cemuh, di herdik dan dikecam akibat keangkuhan dan ketegaran peniaga yang tidak langsung peduli tentang kawalan harga yang dilaksanakan.

Walaupun daging, ayam, telur dan sayur-sayuran, misalnya, tidak dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST), peniaga pasar dan pekedai runcit tetap menyalahkan cukai itu yang kononnya membebankan kos pengangkutan dan pengendalian yang berkaitan.

Kini, disebabkan kerajaan persekutuan telahpun diambilalih oleh blok Harapan, tiada pula bunyi rungutan atau meroyan membising pada pihak pemerintah.

Sebaliknya, kesalahan dialih kepada hujan kuat yang sering berlaku kebelakangan ini.

Kononnya, cuaca buruk telah memusnahkan banyak kebun sayur, reban ayam serta kandang kambing dan lembu di samping mencegahkan para nelayan keluar ke laut menangkap ikan.

Sememangnya setiap tahun ada kalanya hujan dan ribut menguasai harga pasaran tapi alasan sebegitu tidak diendahkan oleh pembangkang ketika itu, yang Cuma mahu menggasak Najib.

Bila ditanya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Salahuddin Ayub memberi jawapan yang lazimnya diberi oleh rakan-rakan kabinet yang masih meraba-raba ertinya tugasan mereka: "Kami akan mengkaji perkara ini."

Ungkapan umpama ini telah mendorong netizen mengejek: "Nampaknya, pentadbiran Harapan sudah ada slogan tersendiri, iaitu: Janji, buat kajian dan lengah-lengahkan tindakan."

Okaylah tu.Asalkan jangan,"Janji, kaji, let it be."

Bila cukai GST dimansuhkan?

"Ia mengambil masa. Sementara itu, kita akan menurun kadar 6% yang dilaksanakan sekarang ke 0% mulai I Jun. Biar kami kaji dulu."

Bila boleh dikuatkuasakan caruman ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk surirumah?"

"Kita mesti bersetuju mengenai mekanismanya. Kami akan mengkaji dulu."

Adakah pemberian BR1M kepada golongan yang perlu akan terus dibayar?

"Ia akan tetap dibayar menjelang Hari Raya Puasa. Tapi,atas nama lain. Kami akan mengkaji dulu."

Adakah rancangan Permata untuk kanak-kanak pintar akan diteruskan?

"Projek-projek yang baik kita teruskan. Tapi,audit perlu dibuat dulu ke atasnya dan kita akan mengkaji ia."

Adakah akta anti-berita palsu yang dikatakan menimnulkan hasutan dan fitnah akan dimasuhkan?

"Kita perlu tengok samada terdapat akta-akta lain yang boleh digunapakai jika mansuhkan akta terbaru ini; atau kita gubal semula dengan hanya memansuhkan perkara-perkara yang tidak sepautnya ada. Ya, kita akan kajikan ia."

Bagaimana dengan badan-badan ehwal agama Islam,seperti Jakim, yang diura-urakan akan tutup atau diresapi ke badan lain?

Memang ada cadangan seperti itu. Kita akan kaji dan buat keputusan sebaik-baiknya.

Apa akan berlaku kepada projek seperti Bandar Malaysia yang sedang dibangunkan di tapak pengkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi?

Kementerian Pertahanan akan mengkaji samada projek-projek seumpama ini telah mengikut syarat-syarat perundangan. Kita akan mengkaji dulu.

Apa pendirian kerajaan mengenai projek-projek berupa bandar baru yang dibangunkan oleh pemaju asing?

Kami tidak mahu projek seperti itu kerana Malaysia punyai kepakaran sendiri untuk membangunkan bandar-bandar baru dan projek-projek infrastruktur rakyat. Kita mengkajinya dulu.

Kerajaan Harapan juga mahu kaji semula semua projek mega; di antaranya Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sepanjang 688km menghubungkan Pelabuhan Kelang dan Kota Baru; Laluan Keretapi Pantas (HSR) di antara Kuala Lumpur dan Singapura; dan Lebuhraya Pan-Borneo yang merentasi Sabah dan Sarawak.

Ada tiga kaedah untuk mengendalikan projek-projek seumpama ini oleh kerajaan baru, lebih lagi yang melibatkan rakankongsi luar negara; iaitu:
Teruskan dengan mengurangkan kos dan bilangan pekerja;
Teruskan dengan pengubahsuaian seperti mengecilkan projek; atau
Hentikannya menghentikannya sama sekali.

Mungkin, inilah yang dimaksudkan pentadbiran Harapan untuk terlebih dulu mengkaji keadaan.

Bagaimanapun, kerajaan Singapura telah menyatakan ia mungkin akan menyaman Malaysia untuk menuntut gantirugi sekiranya projek laluan keretap pantas itu dibatalkan.

Sementara, itu polemic mengenai hutang negara masih belum ada muktamadnya.

Dr Mahathir berkata hutang negara sudah mencecah RM1trillion.

Pada mulanya, Guan Eng bersetuju. Kemudian dia mengakui jumlah itu di sekitar RM680billion saja. Dr Mahathir tidak mahu menerima angka ini.

Berlatar-belakangkan scenario yang tidak tentu arahnya ini, amat sukar untuk menghuraikan apa sebenarnya di minda pemimpin-pemimpin Harapan yang sepatutnya menumpukan perhatian terlebih dulu pada penjagaan dan kebajikan rakyat.

Mengikut trend jawapan menteri yang diberi kepada beberapa isu penting, kita dapat merumuskan bahawa pemimpin-pemimpin

Harapan baru sedar bahawa mereka selama ini bercakap tanpa menyedari betapa susahnya untuk merubahkan sesuatu dasar.

SANG HAPRAK BERSORAK

Sebelum PRU14, Dr Mahathir dan kelompok Harapan telah memujuk pengundi supaya menepikan kerajaan Barisan yang kononnya telah menyuapkan "dedak" dan "gula-gula" kepada mereka selama ini untuk menutup segala penyelewengan pentadbiran.

Lagi pun, kata mereka,Barisan (juga dikenali sebagai Perikatan dari tahun 1955 hingga 1970) sudah berkuasa selama lebih enam dekad dan pemimpin-pemimpin mereka sudah banyak mengaut hasil dari rasuah dan penipuan.

Tuduhan seperti ini menular dengan begitu cepat dari kota besar ke kampong paling terpencil hingga menyukarkan pemimpin dan penyokong tegar Barisan berkempen untuk memenangkan calon-calon parti.

Seperti pernah dikatakan suatu ketika dulu oleh Dr Mahathir sendiri bahawa "Melayu mudah lupa", pengundi-pengundi yang sekian lama dibantu, dibimbing dan dilatih dalam pelbagai bidang, khususnya di bidang pendidikan dan perusahaan, sekelip mata bersikap alpa dan ramai-ramai menolak Barisan di PRU14.

Sementara itu, pihak yang pernah dilabelkan Dr Mahathir sebagai haprak (istilah Pulau Pinang yang bermaksud orang tak guna),kini menjadi sekutunya yang paling akrab.

Merekalah paling seronok kerana dapat menakluki Putrajaya dengan hanya menepuk tangan apabila negarawan yang pernah megetuai parti pemerintah selama 22 tahun kini memperlekeh dan melecehkan parti yang beliau menerajui dulu.

Apa pun, rakyat Malaysia sudah memilih.


SHAH ADYLL DADAMEAH  ialah bekas wartawan berpengalaman di akhbar The Star

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo