rencanautusan@gmail.com
27 Julai 2018 12:00 PM
Pada tahun ini, genap 101 tahun rakyat Palestin hidup dalam kesengsaraan, malah menjadi pelarian di negara sendiri. Semuanya itu angkara kejahatan 'Dajal Dunia' Yahudi yang terus bermaharajalela sehingga hari ini melakukan kekejaman dan kezaliman mengatasi batas perikemanusiaan demi merampas tanah air Palestin.
Penjajahan Yahudi di Palestin dengan pencabulan hak-hak rakyat Palestin itu bermula selepas termaktubnya perjanjian haram dikenali Deklarasi Balfour.
Dokumentasi dalam bentuk kenyataan awam itu tercatat dalam bentuk surat yang ditulis pada 2 November 1917 oleh Setiausaha Luar Britain, Arthur James Balfour kepada Lord Walter Rothschild, seorang tokoh terkemuka Zionis di Britain.
Surat tersebut menyebut secara jelas bahawa negara berkenaan menyokong penubuhan sebuah negara Yahudi di atas tanah air milik Palestin. Sejak itu, terusirlah rakyat Palestin secara beransur-ansur manakala bilangan orang Yahudi semakin bertambah yang dahulunya hanya berjumlah enam orang di Palestin.
Perjanjian menjijikkan Deklarasi Balfour itu turut didedahkan oleh Profesor Tamu Kehormat Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Abd. Al-Fattah El-Awaisi. Dalam satu program bual bicara kritis al-Maqdisi '100 Tahun Selepas Deklarasi Balfour: Penganiyaan atau Pembebasan?' pada November tahun lalu, beliau menceritakan hasil kajiannya selama berpuluh tahun di Arkib London.
Kajian bersama para ahli politik Palestin serta British itu telah menemui beberapa agenda penting yang tersirat di sebalik deklarasi tersebut yang antara lain adalah strategi Britain, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) dalam memisahkan penyatuan negara-negara teluk yang kaya dengan sumber asli seperti petroleum.
Dr. Abd. Al-Fattah |
Menurut Dr. Abd. Al-Fattah: "Deklarasi Balfour adalah sebagai ejen pemangkin penting dalam memisahkan negara-negara Arab daripada bersatu. Israel pula telah dijadikan sebagai sebuah negara proksi di tengah-tengah negara teluk itu dalam menjayakan hasrat mereka ini".
Dalam program bual bicara yang diadakan di UUM Kuala Lumpur itu, Dr. Abd. Al-Fattah yang juga Profesor Perhubungan Antarabangsa dan Felo Persatuan Sejarah Diraja United Kingdom (UK) turut mengemukakan bukti-bukti bertulis yang diperoleh daripada Arkib London serta surat yang ditulis oleh beliau sendiri kepada Perdana Menteri Britain.
Surat itu adalah berhubung tuntutan beliau supaya kerajaan negara berkenaan harus meminta maaf secara terbuka akibat kesan 100 tahun pewujudan Deklarasi Balfour ini.
Program yang dianjurkan oleh Institut Kecemerlangan Pengajian Islam Jerusalem (IEIJS), UUM itu telah menarik minat media antarabangsa, Al-Jazeera dalam membuat sebuah dokumentari khas yang telah pun disiarkan mengenai pandangan dan reaksi Malaysia dalam Deklarasi Balfour.
Menurut Pengarah IEIJS, Dr. Aminurraasyid Yatiban, dengan kejayaan besar program bual bicara itu dalam sumbangan pembangunan serta pembebasan Palestin, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bakal mengundang sekali lagi Dr. Abd. Al-Fattah untuk berbicara berhubung perkembangan terkini di Palestin selepas pengisytiharan dan pemindahan kedutaan AS ke Baitulmuqaddis.
Kata beliau, Dr. Abd. Al-Fattah yang berpengalaman selama 30 tahun dalam pengajaran dan penyelidikan mengenai hubungan antarabangsa akan turut membangkitkan siri tindakan keras serta tekanan yang tiada kesudahan oleh Israel melalui kupasan tajuk 'We Are all Baitulmuqaddis' dengan mengetengahkan apa yang telah, sedang dan yang sepatutnya dilakukan oleh negara-negara dan umat Islam di dunia termasuk Malaysia
Ceramah berkenaan akan diadakan sempena program majlis minum petang amal dan Pelancaran Monograf Baitulmuqaddis bertempat di EDC Hotel, Kuala Lumpur yang akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, esok.
"Penganjuran program seumpama ini diharap dapat menyemarakkan usaha pembebasan Baitulmuqaddis dengan agenda kesedaran media massa dan keilmuan selain menyatupadukan tindakan dalam kalangan institusi dan organisasi ke arah agenda lebih tersusun demi memperjuangkan negara itu.
"Selain itu, kita juga mahu mengemukakan alternatif malah mencabar naratif zionis dan sekutunya dalam mengupas hal ehwal Baitulmuqaddis serta kepentingannya bagi ummah dan dunia sejagat," katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Hari demi hari, isu Palestin tidak pernah sunyi daripada kekejaman Israel. Tindakan mereka semakin melampau apabila Presiden AS, Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember tahun lalu iaitu satu keputusan bersejarah yang mengubah dasar negara kuasa besar itu sejak berdekad-dekad.
Terkini, pada 21 Julai lalu, Parlimen Israel pula meluluskan undang-undang menjadikan Israel sebagai negara bangsa Yahudi ditambah dengan kebiadaban 1,000 pelampau Yahudi dengan bantuan polis Israel dilaporkan telah menceroboh Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis sekali gus dikhuatiri bakal tercetus perang agama.
Persoalannya, sampai bilakah ketidakadilan ini akan terus berlaku? Umat Islam seluruh dunia terutama pemimpin-pemimpin negara Islam perlu bangkit mempertahankan Baitulmuqaddis kerana dalam al-Quran menyebut bahawa tidak ada pemerintah yang boleh mengizinkan penganut agama lain menguasai Baitulmuqaddis melainkan Islam.
No comments
Post a Comment