KUALA LUMPUR 26 Julai - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengumumkan pendiriannya untuk bertanding dalam Pemilihan PKR menjelang hari pencalonan peringkat Majlis Pimpinan Pusat pada 5 Ogos nanti.
Setiausaha Politiknya, Hilman Idham berkata, Mohamed Azmin masih melihat setiap potensi kemungkinan yang ada dan hanya akan membuat keputusan menjelang hari pencalonan tersebut.
"Tak perlu tergopah-gapah, masih ada ruang sehingga 5 Ogos nanti dan kita akan menilai dan melihat kemungkinan yang ada. Menjelang hari pencalonan nanti, Datuk Seri Azmin akan mengumumkan jawatan yang akan ditandinginya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pengesahan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu, Ogos nanti.
Sementara itu, jelas Hilman, PKR merupakan sebuah parti yang demokrasi dan mengamalkan keterbukaan kepada mana-mana ahli atau kepemimpinannya yang berhasarat bertanding dalam pemilihan parti itu.
"Cuma dalam pertandingan ini kita harulah memelihara disiplin ahli dan pastikan berlaku proses demokrasi yang sihat dan tidak di belenggu budaya fitnah melampau.
Apa yang penting kita perlu jaga tatasuisla, dan yang penting kita pastikan PKR mampu diterajui oleh kepemimpinan yang kukuh dan mantap," katanya. - UTUSAN ONLINE
No comments
Post a Comment